Sunday, March 23, 2008

Ketua-ketua kampung di Perak jangan durhaka!

(Matchemor minta saya komen isu ini dan memang saya pun kebetulan terpanggil mahu ulas setelah membaca berita tersebut di muka lima Mingguan Malaysia hari ini)

"Ketua kampung mahu boikot program" demikianlah tajuk berita di muka lima akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Pertubuhan Ketua-ketua Kampung Negeri Perak atau PKKNP dilaporkan akan memboikot semua program anjuran kerajaan negeri Perak keranan kononnya mereka dilantik oleh kerajaan negeri BN yang lampau.

Menurut ahli EXCO pertubuhan itu, Kassim Said, tempoh tamat perkhidmatan mereka adalah 31 Disember 2008. Dan mereka kononnya dilantik untuk kerajaan BN dan bukan kerajaan yang baru. Kassim juga dilaporkan akan menghubungi ketua-ketua kampung yang lain seluruh Perak agar menerima keputusan mesyuarat khas PKKNP bagi menjayakan pemboikotan itu.

Saya tidak pasti berkenaan Perak, tetapi di Selangor ketua-ketua kampung biasanya dilantik dikalangan ketua-ketua atau pimpinan Umno cawangan. Mereka inilah membentuk mekanisma pentadbiran peringkat kampung dan mukim. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan dipengerusikan dari kalangan mereka juga. Begitulah juga operasi masjid, surau dan badan-badan belia serta wanita di kampung-kampung semuanya didominsasi oleh Umno cawangan-cawangan kerana mereka merupakan parti yang memerintah.

Hari ini Umno sudah duduk di bangku pembangkang bukan hanya di Perak malah di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan sekali lagi di Kelantan. Yang menolak Umno adalah rakyat melalui proses demokrasi. Ekoran keputusan rakyat itu DYMM Sultan atau dalam kes Pulau Pinang Yang Dipertua Negeri telah memberikan tauliah dan keizinan untuk Barisan Rakyat iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP untuk membentuk kerajaan sah yang baru.

Lalu semua pihak suka ataupun tidak perlu akur dan menerima keputusan ini, menentang arus atau bertindak memulaukan keputusan rakyat ini bermakna menolak amalan demokrasi sekaligus suatu penderhakaan bukan hanya kepada parti-parti yang membentuk kerajaan yang baru itu tetapi juga terhadap Tuanku Sultan dan rakyat jelata sendiri.

Memang ketua-ketua kampung berkenaan telah dilantik oleh kerajaan BN Perak, tetapi mereka harus ingat kerajaan itu sudah hilang kuasa dan status mereka sejak tengah malam 8 Mac lalu dan secara rasminya apabila Tuanku Sultan melantik MB yang baru. Oleh itu mereka adalah tertakluk kepada kerajaan yang baru. Saya percaya mereka tidak perlu bersusah-susah memulaukan majlis-majlis kerajaan kerana jawatan-jawatan mereka sekiranya benar lantikan politik (dari kalangan pimpinan Umno cawangan pula seperti Selangor) belaka, insyallah akan ditamatkan oleh kerajaan baru ini dan perlantikan baru dari kalangan parti yang memerintah akan dibuat.

Kembalilah kepangkuan parti masing-masing dan lepaskanlah segala jawatan negeri secara terhormat, hanya dengan cara itu Umno akan disegani orang. Jika tidak selama-lamanyalah nanti akibat pendurhakaan anda, rakyat akan menolak Umno dulu, kini dan selama-lamanya di Perak.

No comments: