Wednesday, March 12, 2008

Ketepi perbezaan demi rakyat Perak dan Selangor

Seawal minggu hadapan kita akan menyaksikan pembentukkan dua buah kerajaan negeri yang komposisinya tidak pernah terbentuk dalam sejarah politik Malaysia sebelum ini. Minggu ini setelah Menteri Besar kedua-kedua negeri itu iaitu Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim ) dan Perak (Sdr Ir Nizar) mengangkat sumpah jawatan maka akan disusuli pula oleh EXCO masing-masing maka benyawa dan bergeraklah satu bentuk kerajaan negeri baru di negeri-negeri berkenaan.

Kedua-dua kerajaan negeri ini sedang diperhatikan dengan penuh minat oleh kawan dan lawan. Mampukah mereka beroperasi, mampukah mereka menggerakkan jentera kerajaan negeri yang selama ini digerakkan oleh nafas dan kudrat Umno dan Bn sejak zaman berzaman?!
DAP, PAS dan PKR boleh bersyarikat memerintah kerajaan! Namun itulah kemahuan dan kehendak rakyat, ianya bukan dirancang tetapi terjadi atas kehendak Allah swt melalui pilihan rakyat.

Sudah pastilah kedua-kedua Perak dan Selangor yang memuatkan parti politik alternatif yang terbesar dalam negara iaitu PAS dan DAP, yang sering bercakaran dan tidak sehaluan itu, akan menjadi tontonan ramai, sejauh manakah mereka boleh duduk memikul amanah dan tanggungjawab bersama demi kepentingan rakyat dan negeri.

Kerana itu PAS dan DAP perlu mempamirkan kematangan, apa sahaja perbezaan yang mungkin ada harus ditolak ketepi (dan tidak dibesar-besarkan), sebaliknya dicari dan diutamakan lorong-lorong kesamaan yang boleh membuahkan hasil yang manis dan bererti buat rakyat jelata.

Disinilah peranan PKR selaku rakan penstabil penting.

Biar nanti kita perintah kedua-dua negeri ini dengan penuh tertib dan baik sehingga tiada lagi rakyat yang merempat dan menderita. DAP, PAS dan PKR perlu membuktikan yang mereka lebih baik dari BN dan Umno. Lebih telus, lebih bersih dan lebih efisyen. Kerana itu ini bukan masanya untuk bertelagah dan berselisih faham. Rakyat telah beri undi kepada kita, janganlah gadaikan maruah agama dan bangsa melalui mandat besar ini yang belum tentu akan kekal buat selana-lamanya.

Ayuh bersama kita menyumbang tenaga dan fikiran ke arah Perak dan Selangor yang aman, cekap dan bebas rasuah.

No comments: