Thursday, March 20, 2008

Tan Sri Muhammad vs Tan Sri Khalid

Seorang bekas MB yang muncul semula sebagai menteri kabinet dan seorang lagi bekas tokoh korporat yang kini terjun ke kancah politik dan menjadi MB.

Kedua-duanya anak Selangor. Seorang pernah dicekup membawa USD1 juta wang tunai yang sampai kini diragui puncanya manakala seorang lagi diketahui telah mendedahkan orang Melayu ke dunia pelaburan sehingga menaikkan taraf ekonomi masyarakat Bumiputera melalui ASN dan ASB.

Itulah Tan Sri Mat Taib dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam akhbar Malay Mail hari ini Mat Taib mendakwa yang Selangor akan menderita di bawah kerajaan baru pimpinan Khalid. Alasannya PKR, PAS dan DAP masing-masing memiliki matlamat yang berbeza, dan ini kelak akan menyukarkan perjalanan kerajaan lalu mendatangkan masalah kepada Selangor.

Ringkasnya rakyat dan negeri akan punah ditangan Khalid.

Betulkah akan begitu?

Dalam akhbar yang sama Khalid memberikan reaksinya. Kata Khalid dari sibuk campurtangan dalam urusan kerajaan negeri lebih baik Mat Taib memberi tumpuan kepada tanggungjawab barunya di Kementerian Luar Bandar. Kata Khalid melalui peluang kedua Mat Taib ini (yang sebelum ini dipaksa letak jawatan MB Selangor atas pelbagai skandal) beliau sepatutnya insaf dan bertaubat serta menjalankan tugasnya dengan penuh amanah.

Tambah Khalid semasa Mat Taib MB dahulu, terdapat jurang yang luas antara golongan kaya dan miskin di negeri ini. Lebih baik melalui tugas barunya Mat Taib berusaha merapatkan jurang ini dengan membela kebajikan masyarakat di luar bandar.

Sebaiknya Mat Taib dan Khalid masing-masing beri tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Mat Taib sudah pasti akur dan tahu akan kelayakan dan kemampuan Khalid berbanding dengan beliau sendiri. Berilah peluang kepada Selangor untuk dipimpin oleh mereka yang dipilih rakyat. Mereka yang bersih, telus dan beramanah seperti Khalid dan rakan-rakan. Mat Taib perlu ingat yang beliau dahulu sudah diberi peluang menjadi MB, tetapi apa yang jadi?
Pakatan PKR, PAS dan DAP di Selangor ini memang baru dan belum diuji lagi, namun yang pastinya ia tidak seperti BN. Ia diangkat oleh rakyat untuk menggantikan BN yang pada fikiran rakyat sudah tidak boleh diyakini lagi. Tak perlulah Mat Taib meramalkan sesuatu yang negatif buat Selangor semata-mata atas alasan yang pakatan baru ini sukar bekerjasama. Sekurang-kurangnya mereka sudah boleh bersetuju duduk dan berbincang sesama mereka, yang pentingnya mereka tidak memiliki rekod sebagaimana Umno, MCA atau MIC dan Gerakan.

Mat Taib risau yang Selangor akan menderita bawah Khalid. Tetapi kita lebih risau sebuah kementerian di pusat diberikan kepada Mat Taib lalu Mat Taib mengulangi perangai buruknya mengangkut jutaan ringgit duit yang diragui ke hulu ke hilir, termasuklah anak-anak raja yang berwajah licin dan jelita!

No comments: