Tuesday, March 25, 2008

Selamat Hari Polis

Hari ini adalah ulangtahun Hari Polis yang ke 103 . "Tegas, adil dan bersih" diperkenalkan sebagai slogan baru pasukan menggantikan "Mesra, cepat dan betul" yang diperkenalkan pada tahun 1999.

Saya berasal dari keluarga polis. Saya malah dilahirkan di kuarters Ketua Polis Daerah Kuala Krai dan membesar dari satu negeri ke satu negeri, sesuatu yang lazim bagi keluarga pasukan. Saya berbangga di atas khidmat ayah saya yang lampau (yang bersara pada tahun 1985). Namun saya lihat polis dahulu jauh bezanya dengan yang ada sekarang.

Kerana itu mungkin slogan baru yang diperkenalkan itu, perlu dizahirkan bukan sekadar slogan tetapi dijiwai dan ditanam di dalam hati sanubari setiap anggota pasukan dari konstabel sehinggalah sarjan merjar, sub inspektor, inspektor sehinggalah ke Ketua Polis Negara.

Tegas adalah satu sikap yang perlu dalam pasukan beruniform apalagi pasukan polis. Namun ketegasan di sini tidaklah bermaksud sehingga mengenepikan sama-sekali nilai kemanusiaan dan belas kasihan. Berbudi-bicara dan bertimbang-rasa adalah elemen yang jangan dinyahkan dalam pada kita memikul ketegasan. Berpada-padalah dalam bertegas, kita pernah melihat penganiayaan dan kekasaran dikenakan oleh pihak polis walau terhadap mereka yang tidak melawan, wanita dan orang tua. Tegas tetapi biar bertempat.

Adil adalah satu yang saya kira ketandusan dalam pasukan. Pihak Umno dan BN bila mereka bertaraf kerajaan, bebas bermaharajalela mengadakan program dan aktiviti, tetapi bagi parti-parti lain pelbagai kekangan dan syarat dikenakan, dimanakah keadilan? Saya sendiri pernah menghadiri program yang diganggu pihak polis sedangkan apabila pemimpin BN turun bagi program yang sama, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Oleh kerana adil ini tandus dalam pasukan, maka perlu merek ditunjuk dan diajar akan apakah maksudnya adil yang sebenar.

Bersih juga malangnya semakin berkurangan dari pasukan. Kita sedar bahawa peluang untuk menjadi tidak bersih sangat meluas dalam pasukan. Jika mereka tidak minta disogok ada pula yang menyogok sehingga mencabar keimanan seorang yangh bersih. Nilai sogokan sekarang sudah memakan ratusan ribu malah mencecah jutaan ringgit! Lencana atau kempen tidak membawa erti jika jiwa dan diri kotor, kerana itu ketaqwaan perlu dibina dalam setiap individu pasukan.

Apa pun saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Polis kepada seluruh anggota pasukan yang masih menghargai nilai ketegasan, keadilan dan kebersihan yang sebenar. Semoga pasukan polis kita kembali sebagai pasukan yang terbaik dirantau ini termasuklah diperingkat dunia.

MAAF: Versi sebenar slogan baru PDRM adalah " Tegas, adil dan berhemah" (bukannya "bersih")

Terima kasih Md Hazali.

No comments: