Thursday, March 27, 2008

Menegur wakil-wakil kita

Seorang pekerja parti berbangsa Cina menemui saya semalam. Calon beliau baru sahaja memenangi kerusi Parlimen dalam PRU ke 12 baru-baru ini. Dengan kemenangan datangnya tanggungjawab, dan kawan tadi mengeluh berkenaan pelbagai masalah yang beliau hadapi setelah menang ini. Beliau turut sedang menghitung-hitung tarikh bagi mengadakan majlis jamuan sempena kemenangan YB baru itu.

Saya beritahu kepada beliau yang penting sekarang ini adalah untuk YB berkenaan membuka Pejabat Khidmat Masyarakatnya. Saya kira itu lebih utama dari mengadakan majlis makan, malah kalau perlu sangat makan buatlah sempena pelancaran pusat khidmat itu. Segera buka dan segera lantik kakitangan, ianya perlu beroperasi sepanjang masa kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat dari kita.

Kesemua ahli-ahli Parlimen dan ADUN Barisan Rakyat tak kiralah samada dari PAS, PKR atau DAP perlu memenuhi pengharapan rakyat. Kita semua telah bekerja keras, menggadaikan masa, tenaga dan wang ringgit untuk meyakinkan rakyat agar menyokong parti dan calon-calon kita. Sekarang rakyat telah memberikan kpercayaan kepada kita, maka junjunglah sebaik-baiknya amanah ini, jika tidak bersedialah untuk ditendang keluar oleh rakyat.

Rakyat telah melihat kepincangan dan ketempangan wakil-wakil BN yang lampau. Kita jangan jadi seperti mereka, kita perlu jauh lebih baik dari mereka, kerana rakyat boleh dan bijak membeza.

Lalu saya berseru kepada semua wakil-wakil ini agar memberi tumpuan kepada tugas dan tanggugjawab masing-masing. Jangan pula sibuk melobi dan melibatkan diri dalam politik cantas mencantas untuk meneguhkan kedudukan masing-masing. Jangan asyik menyelak dan membongkar kelemahan dan kesalahan orang lain, takut tidak sedar aib dan kelemahan kita sebenarnya terselak dimata rakyat. Jadilah wakil yang baik, berakhlak, rendah diri dan sentiasa berbaik sangka.

Jangan sampai kita gagal memenuhi kehendak rakyat.

No comments: