Monday, November 02, 2015

Tuduhan mesra BN kerana bimbang kekuatan PAS

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2093 Edisi Isnin  muka F15



Sejak kebelakangan ini banyak tumpuan diberikan terhadap PAS. 

Mungkin kejayaan Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, baru-baru ini meyakinkan banyak pihak bahawa PAS merupakan sebuah parti yang tahan diuji, konsisten, teguh, bersatu dan memiliki keupayaan dan tenaga untuk memikul amanah  yang lebih besar dimasa hadapan.

Ini terbukti apabila PAS tidak berkocak dalam menghadapi krisis dalaman partinya. Pengkhianatan dalam partinya ditangani dengan penuh tertib dan keluarnya beberapa indidividu dari PAS terus digantikan dan diisi tanpa sedikit pun menjejaskan pengurusan dan jentera partinya. Malah diketika mereka yang mengkhianati perjuangannya lari keluar parti, PAS menerima ribuan ahli baru dari bulan ke bulan membuktikan popularitinya sedikit pun tidak terjejas.

Hakikatnya PAS tidak lagi bersama dalam pakatan politik baru yang disertai Dap, PKR dan PAN. Namun demikian ia terus menjalin kerjasama politik dengan PKR rakan setianya dalam Pakatan Rakyat yang dikatakan telah berkubur itu.

Bagi para pemerhati walaupun PAS disingkirkan begitu sahaja oleh rakan lamanya Dap, namun penyingkiran itu tidak sedikit pun menggegar kepercayaan rakyat terhadapnya termasuk oleh masyarakat bukan Melayu. Sokongan yang diberikan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) umpamanya  terus meningkat dan masyarakat bukan Islam contohnya di Kelantan terus senang dan memberikan sokongan kepada kerajaan PAS walaupun cuba dimomokkan oleh musuh-musuhnya.

Terakhir beberapa ketua masyarakat bukan Islam telah mengunjungi Menteri Besar Kelantan selain Presiden PAS sendiri dialu-alukan ketika mengunjungi gereja di Sibu, Sarawak menandakan masyarakat bukan Islam selesa dan sedikit pun tidak membencinya.
Realitinya PAS tidak pernah mendatangkan masalah pada rakyat Malaysia. Rakyat kenal PAS sebagai sebuah parti Islam sejak sebelum Merdeka lagi yang berjuang untuk memartabatkan Islam dengan penuh istiqamah  tanpa meminggirkan kehadiran masyarakat minoriti bukan Islam, malah membela dan mempertahankan kepentingan mereka.
Sejarah membuktikan ketika rusuhan kaum tercetus dalam persitiwa hitam 13 Mei, masyarakat Cina minoriti di Kelantan langsung tidak terancam.

PAS memerintah Kelantan kini berturut-turut sejak 1990, tidak pernah kedengaran masyarakat minoriti bukan Islam ditekan dan ditindas atau berhijrah keluar dari Kelantan kerana bimbangkan PAS. Begitu juga ketika PAS memerintah Terengganu satu penggal pada tahun 1999 dan di Kedah pada tahun 2008.

Sesungguhnya yang rimas dan risau pada PAS adalah Umno dan hari ini Dap dan PAN sebaris dengan mereka dalam memusuhi PAS.

Atas dasar itu Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen baru-baru ini menegaskan bahawa PAS akan terus menjadi pembangkang tanpa Pakatan Harapan.

PAS akan mengambil pendekatan menerang dan bukannya menyerang dalam usahanya mendekati rakyat dan memenangi sokongan mereka. PAS mahu bersama rakyat meneroka perubahan buat negara tercinta, akan tetapi perubahan tersebut akan diteroka dengan berteraskan Islam yang merupakan dasar dan matlamat perjuangan PAS.

Anehnya apabila Tuan Guru menegaskan bahawa PAS sedia bertemu dan bersemuka dengan mana-mana pihak bagi tujuan ini termasuk pihak kerajaan, terus sahaja kenyataan ini diputarbelit, digunakan dengan niat jahat untuk menggambarkan seolah PAS sudah mula bermesra dengan BN dan mahu mewujudkan kerjasama politik dengan Umno.

Sesungguhnya itulah sahaja modal dan senjata untuk menyerang dan memburukkan PAS. Inilah modal sama yang telah pernah digunakan sebelum Muktamar PAS di Kuala Selangor baru-baru ini, semasa Muktamar dan kini berbulan selepas Muktamar terus dinyanyikan oleh pihak-pihak yang sebenarnya gerun dan goyang dengan kehadiran dan kekuatan PAS walaupun ia bersendirian.

Modal ini sudah lapuk dan tidak lagi mampu menggugat kekuatan PAS.

Dalam perbahasan Bajet 2016 di Parlimen baru-baru ini Tuan Guru Presiden PAS telah menyatakan bahawa PAS sanggup kalah teruk dan memperolehi sedikit kemenangan kerana kemenangan yang ia kejar terlalu jauh. Tidak seperti parti-parti lain PAS berjuang dengan mengejar janji Allah swt iaitu untuk memperolehi dua bukannya satu kemenangan. Iaitu kemenangan di dunia dan juga di akhirat.

Oleh itu ahli-ahli PAS begitu yakin mereka kini berada di atas landasan yang benar. Keyakinan ini akan mereka bawa untuk meyakinkan rakyat Malaysia pula bahawa pilihan yang terbaik buat mereka diwaktu negara diselimuti kegawatandan ketidaktentuan  ini adalah untuk meletakkan harapan pada PAS.

PAS sebagaimana ditegaskan Tuan Guru Presiden akan mempertahankan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak. PAS akan menghormati konsep Raja berperlembagaan dan sentiasa kehadapan memelihara dan mempertahankan hubungan dengan masyarakat majmuk dalam negara termasuklah di Sabah dan Sarawak.
Politik perkauman, politik ekstrimis, adu-domba dan pengkhianatan tiada dalam agenda PAS. Begitu juga politik api dalam sekam, gunting dalam lipatan sebagaimana yang sedang menghantui Umno hari ini.

Dalam suasana sebegini PAS akan memberikan kefahaman dan menerang sebaik mungkin kepada rakyat Malaysia bahawa perubahan yang mereka inginkan bagi menyelamaykan negara yang tercinta akan diperjuangkannya dan hanya akan menjadi realiti apabila kepercayaan diberikan pada PAS dan rakannya, PKR serta NGO-NGO lain yang berkongsi cita-cita dan matlamat bersama PAS.

PAS akan mengemukakan formula dan penyelesaian Islam, jika perlu berunding dan bersemuka dengan Umno dan BN umpamanya, ia akan lakukannya sebagaimana hari ini PAS memberikan kerjasama baik sehingga memungkinkan kerajaan negeri Selangor kekal di bawah PKR, PAS dan Dap walaupun PAS tiada lagi hubungan dengan Dap.

Yang penting ahli-ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia perlulah memberikan kepercayaan kepada PAS tanpa ambil pusing, fitnah dan tohmahan pihak musuh yang hanya mahu merumitkan lagi keadaan negara dan mencampakkannya ke jurang kebinasaan. roslansms@gmail.com

No comments: