Friday, November 27, 2015

Itulah sahabat saya MSO

Saya mengenali Mohd Sayuti Omar atau MSO sekitar musim Reformasi lewat 1990an ketika kami masing-masing rancak menulis. Saya lebih rapat dengan beliau sekitar tahun 2005. Sebagai seorang blogger tulisan-tulisan beliau samada dalam akhbar, buku-bukunya dan blog banyak saya baca walaupun tidak semestinya saya setujui. Saya perhatikan beliau menulis tanpa ada sempadan dan batas pantang-larang. Beliau berani kerana itu sering memijak kaki orang lainsamada secara sengaja atau tanpa disedari.

Itulah sahabat saya MSO.

Semasa saya memegang jawatan Setiusaha Akhbar Presiden PAS saya begitu rapat dengannya. MSO ini walaupun rupa fizikalnya kelihatan rock ala-ala Ramli Sarip, tetapi beliau amat memahami politik Islam dan sungguh menghormati para ulamak.

Tetapi dalam keghairahan beliau menulis, ikut apa sahaja yang terlintas dalam kepalanya, terkadang ulamak pun disasar dan diserangnya. Kerana itu saya terkilan apabila beliau banyak mengkritik Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak dalam buku kontroversinya “Inside Story: Kejatuhan kerajaan PAS Kedah”, tetapi itu hak dan pandangan beliau walaupun saya yakin tidak ramai aktivis PAS Kedah dan saya sendiri boleh bersetuju dengannya dalam hal itu

Itulah sahabat saya MSO.

Siapa yang tidak pernah disasarkannya. Mahathir dijadikan bahan, Anwar Ibrahim pun tidak terlepas dari sindiran, begitu juga Tuan Guru Hj Abd Hadi, “Tiga Abdul”. Hari ini beliau intim dengan Husam Musa tetapi beberapa ketika dahulu beliau kuat mengkritik Husam sehingga menganggu Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz. Saya ada bersama beliau di Jalan Stonor apabila Almarhum nasihatkan beliau agar hentikan serangannya terhadap Husam kerana ketika itu PAS bakal berhadapan PRU 2008.

Saya dan beliau pun walau bersahabat pernah bertikam di dunia penulisan.

Sebentar tadi saya sempat mengiringi YB Ustaz Nasaruddin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat menziarahi MSO yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan thyroid di HUKM. Pertemuan pertama kami setelah tidak berkesempatan jumpa hampir 5 tahun.

Terus sahaja beliau bangkitkan isu saya pernah tuduh di rumah beliau tiada gambar Tok Guru Nik Abd Aziz satu ketika dahulu. Ketawa besar saya. Kata beliau pada YB Ustaz, dia mahu seret saya lihat rumahnya untuk tengok sendiri.

Sebenarnya isu yang dimaksudkan berkaitan dengan penilaian kami terhadap Mawi Juara Akademi Fantasia 2005. Berbeza dengan arti lain Mawi yang baru naik ketika itu lebih “Islamik” dari sudut keterampilan. Lalu apabila pihak media membuat liputan menyeluruh berkenaannya dan keluarganya, terdapatlah satu video yang menunjukkan gambar Tok Guru Nik Abd Aziz terpampang di dinding rumah Mawi.

Saya telah menulis memuji langkah kerajaan Kelantan mengundang Mawi membuat persembahan dan mengaturkannya berjumpa Tok Guru. MSO memilih untuk mengkritik langkah kerajaan Kelantan itu. Lalu bertikamlah kami di dunia penulisan.

Disitulah dalam satu tulisan saya ada saya menulis, “…sekurang-kurangnya di dinding rumah Mawi ada tergantung gambar Tok Guru, tidak pastilah ada gambar yang sama atau tidak di rumah MSO”

Lalu berbalahlah kami ketika itu.

Itulah sahabat saya MSO.

Ada orang kata MSO ini penulis upahan. Sama standard dengan Pak Habib. Saya tidak pasti tetapi pada saya MSO ini seorang yang mahu dilihat bebas dan bergerak ikut naluri dan kemahuannya. Beliau tidak mudah tunduk ikut kemahuan mana-mana pihak, kerana kalau beliau sudah bosan kawan pun boleh dilutunya.

Semasa beliau menjadi Ketua Pengarang dan penggerak akhbar Siasah dahulu, beliau berikan satu ruangan untuk saya. Katanya beliau suka cara penulisan saya (walaupun kami tidak selalu berkongsi pendapat yang sama) dan saya bebas menulis apa sahaja ikut gaya saya.

Kerana itu walaupun beliau banyak mengkritik dan menyerang pimpinan yang saya hormati dan kasihi hari ini termasuklah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan MB Kelantan merangkap Timbalan Mursyidul Am PAS saya tetap hormati beliau. Walaupun nampaknya beliau lebih cenderung pada PAN dan tokoh tertentu, saya masih mengakaguminya.

Itulah sahabat saya MSO.

Apapun secara peribadi saya yakin dan percaya MSO tidak mahu melihat PAS roboh dan rebah apatah lagi di Kelantan. Perjuangan Islam PAS akan tetap disokong sehingga tercapai matlamatnya. MSO mungkin lebih rapat dan intim dengan tokoh dan individu tertentu, tetapi dalam keadaan begitu pun saya tahu jauh di sudut hatinya, sebagaimana beliau kasihkan Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz, beliau akan tetap bersama dan menyokong PAS.

Semoga sahabat saya cepat sembuh dan terus berkarya.

Banyak yang diceritakan kepada saya semasa mengunjungi beliau tadi dan banyak yang kami kongsi bersama tetapi lantaran hubungan kami, yang rahsia tetap rahsia, tidak akan dijadikan bahan untuk menjatuhkan sesama kami. 

Itulah sahabat saya MSO.

No comments: