Ahad lepas berlangsung Mesyuarat Agung Pemilihan DAP Negeri
Selangor.
Beberapa hari sebelum pemilihan tersebut Pengerusi DAP
Selangor Tony Pua yang juga ahli parlimen PJ Utara telah memberitahu wartawan
bahawa partinya akan bertanding di sekurang-kurangnya 8 kerusi yang diwakili
PAS di Selangor dalam PRU akan datang.
Kerusi-kerusi berkenaan adalah Chempaka (YB Dato Iskandar
Abd Samad – Naib Presiden PAS/PJ Selangor), Paya Jaras (YB Khairuddin Othman –
SU Perhubungan PAS Selangor), Taman Templer (YB Zaidy Talib – Bendehari PAS
Selangor), Tanjong Sepat (YB Hazlin – Pengarah PR PAS Selangor), Lembah Jaya
(YB Khasim – YDP PAS Ampang), Dusun Tua (YB Razali – YDP Hulu Langat), Meru (YB
Dr Abd Rani Osman), Seri Serdang (YB Noor Hanim).
Menurut Tony DAP boleh memenangi kerusi-kerusi ini walaupun
ia masing-masing memiliki lebih 50% pengundi Melayu kerana menurut beliau DAP
punya pengaruh yang luas di kawasan-kawasan berkenaan.
Rasionalnya DAP mahu mengambil kesempatan pertembungan PAS
dan Umno di kawasan-kawasan ini dan mencuri undi bukan Melayu bagi pihaknya.
Di DUN Chempaka contohnya terdapat 54% pengundi Melayu.
Secara tradisinya bilangan ini akan berpecah antara memihak ke PAS ataupun
calon Umno.
Pengundi Cina pula 38% dan India 7%. DAP berkemungkinan
yakin ia dapat meraih majoriti pengundi-pengundi Cina dan India ke pihaknya.
Selain itu ia juga kini yakin bahawa terdapat beberapa segmen pengundi Melayu
sudah mula terbuka hati padanya.
Kononnya PAS boleh menang di kerusi-kerusi ini dahulu
lantaran sokongan padu pengundi-pengundi bukan Melayu yang mengundi PAS atas
desakkan DAP. Kini kerana tiada lagi kerjasama politik antara PAS dan DAP, maka
DAP mahu merampas kerusi-kerusi ini.
Bagi saya DAP jangan terlalu taksub sehingga beriktikad
bahawa pengundi bukan Melayu itu semua tunduk padanya selama-lamanya. Saya
melihat pengundi bukan Melayu hari ini khasnya di Selangor senang pada
wakil-wakil PAS yang memberikan khidmat tanpa mengira warna. Dan dalam waktu
yang sama mereka bimbang pada sikap bongkak dan sombong DAP yang tidak kondusif
buat masyarakat berbilang kaum di Selangor.
Mereka tidak takut pada Islam yang dijunjung wakil-wakil PAS
ini.
Selangor bukan Pulau Pinang. Selangor negeri berbilang kaum
yang rakyatnya boleh hidup aman dan tenteram di bawah kerajaan negeri yang MB
nya silih berganti orang Melayu yang kini disandang PKR. DAP yang dominan hanya
akan menggerhanai kuasa politik Melayu yang akhirnya akan mencetuskan
ketegangan dan ketidakstabilan dalam negeri yang aman damai ini berpayungkan
Tuanku Sultan Selangor.
Dalam hal ini Dewan Himpunan
Penyokong PAS atau DHPP khasnya telah banyak meneroka dan menguasai hati
dan minda masyarakat bukan Melayu sehingga membawa mereka lebih memahami dan
dekat pada PAS dan pimpinannya.
Saya yakin kali ini pengundi bukan Melayu akan lebih
berhati-hati dan meletakkan kestabilan negeri dan keseimbangan hubungan kaum
mengatasi nafsu politik DAP yang sedang memuncak itu.
Bagaimana pula dengan sokongan pengundi Melayu?
DAP mungkin telah berjaya mendapatkan sebilangan kecil
orang-orang Melayu menyokongnya, tetapi bilangan itu terlalu kecil. Ini
membuktikan orang-orang Melayu masih menganggap DAP ini parti dominan Cina dan
tidak ada tempat untuk orang-orang Melayu.
Buktinya dalam pemilihan jawatankuasa DAP Selangor baru-baru
ini sebagaimana saya sebutkan di atas, dari 36 calon yang bertanding untuk 15
jawatan tertinggi negeri, tidak ada seorang pun pemimpin Melayu yang berjaya
ditempatkan di “top” 15.
Undian tertinggi iaitu 736 diperolehi Gobind Singh ahli
parlimen Puchong, dan tempat ke 15 oleh Ong Kian Meng ahli parlimen Serdang
yang memperolehi 414 undi.
Calon Melayu yang terdekat iaitu Edry Faizal jatuh ke tempat
22 dengan hanya berjaya memungut 272 undi.
Jika DAP benar sebuah parti berbilang kaum sudah pasti
pimpinan tertingginya di negeri Selangor hampir 50% didominasi oleh orang-orang
Melayu. Dari 15 sepatutnya orang Melayu menang sekurang-kurangnya 7. Tetapi
terbukti tidak seorang pun yang menang.
Ini menunjukkan DAP belum bersedia menjadi parti berbilang
kaum yang sebenar kerana hakikatnya ia didominasi oleh orang-orang Cina
semata-mata.
Kalau begitulah keadannya bersediakah pengundi-pengundi
Melayu khususnya di 8 DUN yang dinamakan di atas menerima seorang wakil dari
DAP untuk mewakili mereka? Tidak kiralah samada calon DAP itu nanti Melayu atau
bukan Melayu, soalnya sanggupkah kita beri kepercayaan kepada sebuah parti yang
sekadar mengambil kesempatan mengelabui mata orang-orang Melayu Islam.
Sanggupkah DAP nanti mengambil tahu dan memperjuangkan nasib
Melayu dan Islam dikalangan kita sedangkan parti mereka didominasi bukan
Melayu.
Dalam beberapa perkara melibatkan agama Islam sebelum ini
DAP lah yang paling ke hadapan menentangnya, lupakah kita?
Perlaksanaan hukum hudud di Kelantan ditentangnya mati-matian
sehingga mendiang Karpal Singh pernah mengugut langkah mayat beliau dahulu.
Begitu juga apa sahaja usaha untuk memperkenalkan nilai-nilai Islam dalam
pentadbiran tidak pernah disenangi DAP dan ini bukan rahsia lagi.
Oleh itu sudah sampai masanya bagi pengundi-pengundi Melayu
Islam khasnya selain pengundi bukan Melayu, mengajar DAP dengan menghentikan
kesombongan mereka. Kita tunjukkan pada mereka bahawa keamanan dan kestabilan
politik negara buat kita lebih utama dan penting dari meletakkan seorang calon
DAP sebagai MB Selangor apatah lagi PM Malaysia.
Katakan “TIDAK” pada DAP!
No comments:
Post a Comment