Friday, November 06, 2015

DAP jangan besar kepala

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2094 Edisi Jumaat muka F8



Walaupun PAS tidak lagi bersama DAP dalam satu pakatan kerjasama politik sebagaimana dahulu ketika bersama-sama PKR membentuk Pakatan Rakyat, PAS tetap membentuk dan menguasai kerajaan negeri Selangor bersama-sama DAP dan PKR.

Hubungan ini nampak agak unik dan aneh malah tidak ada dalam sejarah Malaysia sebuah kerajaan dapat dibentuk sedemikian rupa.

Walaubagaimanapun dalam keanehan itulah terserlah satu bentuk politik yang matang dan bertanggungjawab yang sesungguhnya mendahulukan rakyat. Pengkiritk mungkin mempertikaikan kerajaan ini akan tetapi hakikatnya ia mencerminkan bagaimana bagi PAS contohnya, walaupun tiada lagi hubungan politik apa sekalipun dengan DAP tetap meletakkan amanah dan mandat rakyat di hadapan dan terus mendukung kerajaan ini walaupun DAP bukan lagi rakan politik seperti dahulu.

Bagi PAS dan saya percaya bagi PKR juga, rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan ini, kerajaan tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Memutuskan hubungan apalagi mencetuskan kegawatan politik di tengah-tengah kerajaan ini disanjung dan disenangi rakyat bermakna mengkhianti kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap ketiga-tiga parti.

Bukan senang mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Mengkhianatinya mudah-mudah akan memberi isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan ini tidak meletakkan kepentingan rakyat di hadapan tetapi sebaliknya kepentingan dan nafsu politik masing-masing diutamakan. Rakyat akan merasa seolah-olah sokongan mereka selama ini dipermain dan dilacurkan.

Akibatnya tidak mustahil rakyat akan naik muak dan hilang kepercayaan lalu beralih kembali kepada BN lantas tamatlah riwayat kerajaan ini.

PAS sangat menghargai kemenangan bersamanya di Selangor yang kini masuk penggal kedua. Jika pada penggal pertama bermula 2008 PAS memenangi 8 kerusi, pada penggal kedua bermula 2013 prestasi PAS melonjak hampir dua kali ganda apabila berjaya memenangi 15 kerusi DUN.

PAS yang telah lebih 60 tahun berkecimpung dalam politik Malaysia sedar bahawa kepercayaan rakyat ini merupakan satu elemen yang sangat berharga buat mana-mana parti politik yang bertanggungjawab. Ia perlu dihargai, dipelihara dan dibalas dengan jasa dan pengorbanan yang setimpal tambah-tambah pula PAS mengamal dan memperjuangkan politik Islam.

Kerana itu sejak putus hubungan dengan DAP, PAS tidak banyak menghabaiskan masanya menyerang atau mensasarkan DAP. Meraih sokongan dan kepercayaan rakyat lebih utama dari bermain politik dengan DAP yang tiada membawa apa-apa faedah pun buat rakyat dan masa depan negara.

Walaubagaimanapun berlainan dengan PAS, DAP kelihatan secara terbuka menganggap PAS sebagai musuh. Sikap dan tindak-tanduknya menampakkan seolah-olah mereka bukan sekadar telah bercerai dengan PAS tetapi mahu memusuhi dan menyerang PAS pula.DAP yang sebelum ini banyak masuk campur dalam urusan rumah-tangga PAS kerana mahu menaikkan tokoh-tokoh tertentu satu ketika dahulu hari ini tidak segan-silu mahu PAS ditamatkan terus riwayatnya.

Desakkan kepada Menteri Besar Selangor Azmin Ali agar menendang PAS keluar dari kerajaan Selangor semakin lantang kedengaran. Mujurlah Azmin memiliki bacaan politik yang jauh dan matang berbanding DAP yang terlalu obses dan bernafsu itu. Mujurlah juga PAS memiliki pemimpin yang tinggi tahap kesabaran mereka dan tidak mudah melatah dengan asakkan dan kerja-kerja jahat DAP itu.

Sampai ke peringkat ini saya difahamkan tindak-tanduk DAP kebelakangan ini dilihat sangat keterlaluan dan melampau sehingga memual dan melemaskan rakyat jelata termasuk para pengundi Cina yang merupakan tulang belakang mereka.

Pengundi Melayu melihat DAP sedang menggasak dan menyerang PAS iaitu sebuah parti Islam yang selama ini ikhlas memperjuangakn Islam dalam tanahair dan sentiasa terbuka terhadap masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Saya terlalu yakin pengundi yang mahukan perubahan sudah faham dan menerima kombinasai PKR, PAS dan DAP ini. Pada mereka gandingan ini punya prospek merebahkan BN. Mencipta dan mencuba sesuatu yang baru apatah lagi memotong dan menerjang keluar sahabat yang selama ini setia dan konsisten tidak akan diterima malah dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan huru-hara.

Terbaru Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dengan bongkak telah mengisytiharkan bahawa DAP akan bertanding dan merampas sekurang-kuranya 8 kerusi negeri milik PAS di Selangor. Antara kerusinya yang kononnya mereka punya peluang termasuklah kerusi-kerusi yang diwakili EXCO PAS dan pimpinan kanan negeri dan Pusat.

Bagi Tony harapan DAP untuk menang di kerusi-kerusi ini besar kerana kononnya apabila berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, PAS dan DAP, maka undi Melayu akan berpecah manakala pengundi bukan Melayu akan “solid”pada mereka sahaja.

Tidakkah ini menghantar isyarat kepada pengundi-pengundi Melayu dan penyokong-penyokong PAS bahawa DAP sedang menyerlahkan agenda mereka untuk mencengkam kuasa dan pada waktu yang sama melemahkan kuasa politik orang-orang Melayu?

Tidakkah ini juga menceminkan betapa rakus dan sombongnya DAP, sedang mereka berada dalam kerajaan bersama PAS di Selangor tetapi dalam waktu yang sama mereka secara terang-terangan mengisytiharkan mahu “membunuh” PAS.

Tidakkah melalui pengumuman seumpama ini DAP memberikan isyarat bahawa mereka mahu melenyapkan PAS, yang memberi maksud mahu melenyapkan juga satu-satu parti yang memperjuangkan Islam dalam negara sejak negara Merdeka lagi.

Persepsi seumpama ini sedang hangat bermain diminda rakyat dan ia sudah pasti akan memuncak menjadi satu peristiwa yang merugikan banyak pihak khususnya DAP sendiri.

Jika Tony sudah kenal pasti 8 kerusi DUN untuk mereka rampas dari PAS, beliau sesungguhnya lupa bahawa formula yang sama sebenarnya boleh digunakan oleh PAS terhadap mereka pula. Bagi mereka kiranya berlaku pertembungan tiga penjuru contohnya di Taman Templer, undi Melayu PAS dan Unno akan berpecah, dan calon DAP akan menongkah arus membawa pulang undi bukan Melayu yang kononnya akan solid buat mereka.

Bagaimana pula kiranya PAS bertanding di kerusi DAP contohnya di DUN Sekinchan. Jika berlaku tiga penjuru di sini DAP akan berhadapan dengan calon MCA dari BN bermakna berlaku perebutan undi bukan Melayu antara DAP dan BN. Tidakkah PAS punya harapan mencungkil sokongan dari lebih 40% pengundi Melayu di sana dalam keadaan Umno tidak bertanding?

Banyak kerusi yang DAP menangi di dalam situasi yang sama di Selangor, tidakkah PAS juga punya peluang di kerusi-kerusi ini?

DAP perlu sedar dan segera memperbaiki sikap besar kepala dan bongkak mereka itu. PAS tidak pernah bercita-cita untuk mencari musuh tetapi kiranya musuh datang kita sekali-kali tidak akan lari. Jika benar DAP bersedia untuk melawan kita, PAS juga saya yakin bersedia menghadapinya. roslansms@gmail.com

No comments: