Selangor kekal stabil sebagai
salah sebuah negeri termaju di Malaysia. Baru-baru ini Dato Menteri Besarnya
Azmin Ali telah membentangkan Belanjawan negeri 2016 yang bertemakan “
Membangun Smart Selangor yang peduli” dengan peruntukkan besar sebanyak RM2.88
bilion yang terbesar dalam rekod negeri berkenaan.
Menurut Azmin ekonomi negeri
dijangka berkembang baik diantara 5 hingga 5.5 peratus pada 2016 iaitu
peningkatan berbanding perkembangan yang dijangka untuk tahun ini iaiaitu
sekitar 4.5 hingga 5.5 peratus.
Selangor menjangkakan anggaran
hasilnya sebanyak RM2.25 bilion bagi tahun 2016.
Demikianlah kemakmuran negeri
Selangor yang dikecapi rakyatnya hasil dari pentadbiran kerajaan negeri yang
bersih, berhemah dan berkebajikan. Kerajaan negeri Selangor kali ini berbanding
kerajaan BN yang runtuh pada tahun 2008 dahulu jauh lebih komited dalam
memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat disamping mengatur pembangunan yang
seimbang dan membawa manfaat buat rakyat jelata. Inilah yang diimpikan oleh rakyat
selama ini.
Pra PRU 2008 lalu rakyat Selangor
begitu bosan dan muak dengan pimpinan negeri di bawah BN yang dilihat telah
memungkiri amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh mereka. Rasuah, salahguna
kuasa, pembaziran dan kronisma merupakan barah yang menyerang pentadbiran
negeri di semua peringkat sehingga rakyat lemas lalu terdesak dan tertekan
untuk membuat perubahan.
Ketika itu tiada siapa sangka
yang Selangor di bawah BN boleh runtuh dan kecundang. Namun bahana kepincangan
BN negeri yang tidak boleh dirawat dan diselamatkan lagi akhirnya mendesak
rakyat membawa perubahan dengan mengundi keluar BN dan memasukkan kerajaan yang
baru dipimpin PKR, PAS dan DAP yang lebih mereka yakini.
Setelah lebih 7 tahun berlalu,
hari ini ternyata pilihan rakyat Selangor tidak sia-sia. Hari ini rakyat
Selangor semakin senang dan tenang dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh
gabungan tiga parti PKR, PAS dan DAP ini. Jika dahulu angkara propaganda Umno
dan BN, PAS umpamanya dibenci dan dipinggirkan masyarakat. Hari ini ternyata
PAS lah yang bangkit membela nasib rakyat, mempertahankan Islam selain
memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum.
Setelah PAS punya kuasa di
Selangor, ternayata wakil-wakil mereka lebih ikhlas, jujur dan bersungguh
membela kebajikan rakyat berbanding Umno yang berkuasa puluhan tahun sebelum
ini.
Walaubagaimanapun ditakdirkan Allah
swt kerajaan yang stabil ini hari ini diuji apabila parti-parti yang
mendukungnya kini meleraikan ikatan politik masing-masing akibat konflik dan
perbezaan pandangan.
Sengketa PAS dan DAP meletakkan
kedudukan kerajaan negeri ini dalam suasana yang cemas. PAS tetap mahu kekal
berkerjasama bersama PKR, manakala PKR pula mempunyai kerjasama politik bersama
DAP dan “anak emas” DAP yang baru dilahirkan iaitu PAN.
Sungguhpun DAP, lantaran putusnya
hubungan mereka dengan PAS, bersungguh mahu PAS dikeluarkan dari kerajaan
negeri dan keanggotaan PAS itu digantikan dengan kawan baru mereka itu namun sehingga hari ini desakkan itu tidak
dilayan.
Tidak berpuas hati PAN pula mendesak
agar ikatan antara Pakatan Harapan dengan PAS di Selangor diikat melalui satu
perjanjian yang lebih dilihat mahu memaksa PAS ke arah memberi pengiktirafan
bagi mereka selaku “player” baru.
Sekali lagi desakkan ini juga
tidak dipedulikan.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah baru-baru ini berkata: “Kita
(PKR dan DAP) terima PAS dalam kerajaan Selangor kerana Exco
PAS dipilih orang rakyat. DAP juga telah menegaskan mereka menyokong
kerajaan pimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, ”.
Kata kuncinya di sini adalah PAS sebagaimana
PKR dan DAP telah “dipilih” oleh rakyat Selangor. Benar PAS dan DAP mungkin
sudah tiada ikatan dan pegkhianat PAS yang membentuk parti baru kini merupakan
anggota baru dalam Pakatan Harapan yang turut dianggotai PKR dan DAP, namun
demikian sebagaimana semangat penegasan Dr Wan Azizah dan kenyataan MB Selangor
sendiri sebelum ini, rakyat Selangor telah memberi amanah kepada ketiga-tiga
parti ini iaitu PKR, PAS dan DAP untuk memerintah.
Merobah pilihan rakyat dipertengahan penggal ini
bermakna mengkhianati mandat dan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat
Selangor. Kerajaan ini telah terbentuk hasil dari keputusan rakyat dalam PRU
2013 lalu. Ketika itu PAS dan DAP tidak bersengketa manakala PAN pula belum
bernyawa pun.
Lantas semua pihak PKR, PAS dan DAP malahan
parti baru PAN suka tak suka perlu mengiktiraf hakikat itu.
Kematangan berpolitik Dr Wan Azizah yang
dipercayai bertindak atas nasihat Dato Seri Anwar, selain ketenangan dan bijaksananya
politik MB Azmin Ali ternyata dapat menstabilkan kedudukan dan lebih penting
lagi meyakinkan rakyat Selangor bahawa kerajaan yang telah mereka pilih akan
kekal sehingga ke akhir penggal memberikan khidmat terbaik buat mereka.
Sesungguhnya rakyat Selangor yang tinggal dalam
negeri maju ini boleh melihat sendiri bahawa kestabilan yang ada di negeri
mereka ini sebenarnya sedang diganggu bukan oleh Umno dan BN yang semakin
hanyut, tetapi gangguan itu ternyata datang dari segelintir kecil yang mahu
diberi kuasa kerana kononnya mereka kini sebahagian dari kerajaan.
Mereka inilah yang mahu menendang PAS keluar
dan mahu menggantikan tempat PAS dalam kerajaan. Segala jawatan dari EXCO
sampai ke lantikkan politik yang lain mahu mereka rampas dari PAS yang pada
kaca mata mereka tidak lagi layak duduk dalam kerajaan ini. Sedangkan
hakikatnya kerusi-kerusi mereka itu “dicuri” dari PAS.
Rakyat Selangor tahu siapa yang bersungguh dan
berhempas pulas menyelematkan mereka dari kepincangan BN pada PRU 2008. Pada
PRU 2013 rakyat Selangor memberikan mandat lebih besar buat mereka sebagai
tanda pengiktirafan jasa-jasa mereka itu.
Ketika itu DAP masih berkerjasama dengan PAS
dan PAS pula tidak dikhianati oleh segelintir kecil ahli-ahlinya yang kini
membentuk PAN.
Kesimpulannya rakyat Selangor cintakan kestabilan
dan keharmonian. Mereka mahu tinggal dalam sebuah negeri dengan aman dengan
diwakili parti-parti yang bertanggungjawab, tidak cenderung pada pengkhianatan,
apa lagi yang rakus laparkan kuasa dan kedudukan. Gergasi sebesar BN dan Umno
pun telah mereka tunduk dan benamkan, inikan pula parti yang setahun jagung
usianya.
Dalam pada itu PAS komited dan akan terus
berkerjasama dengan PKR dalam mendepani politik yang sopan,matang dan bijak. Tempoh
ini adalah tempoh berkerja dan menumpah jasa pada rakyat. Menjelang PRU nanti
PAS pasti akan mempertahankan 15 kerusi yang mereka menangi dan 5 lagi yang
belum. PAS akan berhadapan dengan seteru politiknya Umno dan BN dan sesiapa
sahaja apatah lagi mereka yang telah mengkhianati perjuangannya.
PAS bukan parti gilakan kuasa dan memakan kawan. PAS punya prinsip dan dasar yang jelas. PAS akan pertahankan kerajaan ini, bujur lalu melintang patah. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment