Saturday, November 07, 2015

Maaf tapi Husamlah yang keliru dan buang tabiat

Salah satu kitab yang menjadi teks usrah ahli-ahli PAS yang melalui proses pentarbiyahan dalam parti adalah kitab berjudul “Wabak sepanjang jalan” atau “Aafat ‘alat Toriq “ karangan Dr Al-Sayed Muhammad Noh yang diterjemahkan oleh Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak.

Di dalam kitab yang difahami dan diamalkan oleh para pejuang PAS ini disenaraikan tujuh wabak yang perlu dihindari oleh mereka. Ambillah vaksin atau immunisasi apasekali pun bagi mengelakkan wabak ini kerana kiranya sesiapa diserang olehnya, maka pengidap tadi akan bertindak merosak dan menghancurkan jemaah dan perjuangan.

Wabak ini tidak mengenali status atau kedudukan seseorang dalam hiraki parti. Paling malang jika ia menyerang seorang yang berstatus pimpinan.

Tujuh wabak yang dimaksudkan adalah:

1. al futur yakni terputus atau terhenti setelah bergerak dalam jemaah
2. al israf atau pemborosan
3. al isti’jal yakni gopoh atau terburu-buru dalam perjuangan
4. al uzlah yakni memencilkan diri dari perjuangan
5. al I’jab bil nafsi  yakni terpesona dengan diri sendiri
6. al ghuru yakni tertipu dengan diri sendiri
7. al takabbur yakni berbesar diri atau bersombong

Dalam laman portal TMI hari ini di bawah tajuk :

Husam cadang Tuan Ibrahim ambil alih kepimpinan, hentikan kekeliruan PAS “

Disiarkan betapa bekas Naib Presiden PAS dan kini ADUN Salor Kelantan dengan senang hati mencadangkan agar Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang melepaskan jawatannya sebagai Presiden PAS dan memberi laluan kepada pemimpin baharu yang mampu membawa perubahan kepada parti Islam itu, untuk mengambil alih.

Beliau mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Dato Tuan Ibrahim kerana menuduh PAS kini penuh dengan kekeliruan lantaran dipimpin oleh Tuan Guru.

Beliau mendakwa cara kepimpinan Tuan Guru khasnya dalam mendepani isu-isu semasa termasuklah hubungan dengan Umno, Perkasa,1IMDB semuanya mengelirukan dan mboleh merosakkan parti.

Dam saya tidak pasti samada TMI telah “spin” atau salah petik Husam, tetapi menurut laporan TMI lagi:

“Katanya, Hadi perlu diganti jika ahli berhasrat melihat pengakhiran kepada "kekeliruan " dan "haru biru" yang menyelubungi parti itu ketika ini, dengan pucuk kepimpinannya disifatkan sebagai "buang tabiat". “

Sepanjang saya berada di dalam PAS tidak pernah tertangkap oleh telinga atau pembacaan saya bilamana seorang tokoh PAS boleh menggunakan perkataan “buang tabiat” kepada pemimpinnya sendiri.

Siapa sebenarnya yang buang tabiat agaknya?

PAS baru sahaja melalui proses pemilihan peringkat tertinggi dalam Muktamarnya yang ke 61 baru-baru ini. Seluruh jawatan tertinggi telah dipertandingkan dari Presiden sehinggalah AJK Pusat.

Husam sebelum muktamar tersebut memegang jawatan Naib Presiden. Beliau dan mereka yang cenderung kepada kepimpinannya telah berusaha melonjakkan imej beliau untuk mensasarkan jawatan tertinggi parti itu bukan rahsia lagi.

Beliau telah turut menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden PAS menentang Tuan Guru.

Semasa proses pencalonan hampir berakhir, apabila Tuan Guru dilaporkan telah menerima pencalonan dari hampir 70 peratus kawasan-kawasan PAS dengan bakinya memihak kepada beliau dan Ustaz Ahmad Awang, Husam dan kawan-kawan mula goyah.

Kalau Husam benar mahu merobah PAS, mahu membawa PAS mengikut arah dan kepimpinannya, mengapa beliau tidak menerima pencalonan itu dan bertanding melawan Tuan Guru ketika beliau berpeluang.

Pada 4 April 2015 akhbar Sinar Harian melaporkan:

“Datuk Husam Musa mengakui dirinya kini dalam dilema dengan keputusan beberapa Pas kawasan yang mencalonkannya bagi jawatan Presiden Pas pada pemilihan parti itu akan datang. Husam berkata, pada masa yang sama beliau perlu memikirkan perasaan dan hak anggota parti yang telah membuat pencalonan itu walaupun dirinya masih berbelah bahagi untuk memberikan kata putus.”

Siapa yang hidupnya penuh keliru dan barangkali buang tabiat sebenarnya?

Husam akhirnya tarik diri dan sebaliknya hanya mempertahankan kerusi Naib Presidennya.
Dengan takdir Allah swt, Tuan Guru berjaya mengekalkan jawatan Presien dengan majoriti yang besar manakala regu beliau Dato Tuan Ibrahim berjaya merampas jawatan Timbalan Presiden dari Mohd Sabu juga dengan majoriti yang besar.

Husam turut menerima padah apabila tewas jawatan Naib Presiden.

Sukar baginya menerima kekalahan ini sedangkan ramai (mengikut sesetengah pihak) menganggapnya tokoh paling popular dalam PAS, “Deputy Prime Minister in the making”.
Husam kecewa tetapi ini bukanlah kekecewaan yang baru buatnya. 

Berkali-kali beliau dikecewakan. 

Pilihanraya Umum 2013 beliau tewas bertanding kerusi Parlimen Putrajaya.

Kemenengan di Putrajaya sudah pasti melonjakkan sahamnya ke tahap tertinggi maklumlah kononnya  Dato Seri Anwar dan DAP mahukan beliau menjadi TPM. 

Husam kecewa.

Lebih kecewa apabila di Kelantan sungguhpun menang DUN Salor, dan diwaktu hidup Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abd Aziz, beliau bukan sahaja tidak dinobatkan sebagai MB atau sekurang-kurangnya TMB tetapi sebagai EXCO pun namanya tidak direstui.

Tambah-tambah kecewalah beliau diikuti dengan kecewa kalah dalam Muktamar.

Apabila rakan-rakan akrabnya memilih untuk mengkhianati parti dan menubuhkan parti baru dengan membawa lari kerusi-kerusi yang dimenangi atas tiket PAS, Husam memilih untuk kekal dalam PAS.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati, Husam membantu menguatkan parti, sebaliknya terzahir kekeliruan yang bersarang dibenak hati dan kepalanya apabila beliau menggunakan posisi dalam parti untuk menyerang parti sendiri. Melapskan geram dan kekecewaannya itu.

Dalam sidang Dewan Kelantan beliau mengkritik dan menyerang kerajaan negeri tanpa mahu menerima hujah dan jawaban kerajaan negeri dan hari ini pula beliau dengan bongkak menyerang pula Tuan Guru Presiden.

Maaf secara peribadi laporan TMI hari ini jika ada asas dan kebenarannya, akan melenyapkan sama-sekali apa sahaja saki baki hormat yang ada pada diri saya terhadap Husam.

Sudah-sudahlah Dato.

You were given a chance to take a shot at the number one position but you chickened out, and today you chose instead to be a rebel rouser and undermine the leadership that were chosen by the party.

Maaf tetapi yang keliru itu Dato yang haru biru itu Dato yang jiwa kacau itu Dato yang kecewa itu Dato.

Malah yang tenat dengan wabak sepanjang jalan itu sebenarnya Dato.

Kami taat, redha dan menerima pucuk pimpinan parti yang telah dimandatkan oleh perwakilan mewakili 1 juta ahli PAS. Janganlah Dato mengadu-domba dan menaburkan onar.

Tak perlulah berdelima lagi, jalan terbaik buat Dato adalah mengikut jejak kawan-kawan Dato, tinggalkanlah PAS pada mereka yang istiqamah dan yakin dengan pimpinan yang ada. Orang seperti Dato tidak kami perlukan.

No comments: