Dua laporan dalam dua akhbar yang berbeza semasa saya menulis artikel ini memberi petanda betapa kedudukan kesihatan Umno dewasa ini nyata kelihatan semakin tenat dan kritikal.
Dalam akhbar Sinar Harian
dilaporkan 10 cawangan Umno dalam bahagian Sepang di Selangor telah mendesak
agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan rentetan
skandal 1MDB yang didakwa telah merosakkan imej Umno dan negara. Najib juga
dikritik kerana merombak kabinet Julai lalu dengan menyingkirkan Timbalannya
Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan kabinet semata-mata kerana Muhyiddin
banyak mengkritiknya.
Sebelum ini kita telah mendengar
desakkan yang sama datang dari 13 Ketua Umno cawangan –cawangan dalam bahagian
Teluk Kemang, Negeri Sembilan selain sebelumnya dari Pemuda Umno bahagian
Tampin dan beberapa pimpinan Pemuda Umno dari Johor.
Ahli-ahli dan pimpinan Umno sudah
mula bangkit menyuarakan secara terbuka ketidakpuasan hati mereka terhadap
pimpinan mereka sendiri sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Dalam akhbar The Star pula
dilaporkan ura-ura berkenaan kononnya Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkemungkinan besar tidak akan dibenar merasmikan Persidangan Tahunan
ketiga-tiga sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno kali ini. Selama ini tradisi
Umno menyaksikan persidangan tahunan sayap-sayap ini dirasmikan oleh Timbalan
Presidennya.
Tekanan menurut akhbar The Star
sedang dikenakan ke atas Majlis Tertinggi Umno untuk memulakan tindakan
disiplin terhadap Muhyiddin selain Naib
Presiden Shafie Apdal dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahahir Mohamad yang
dikatakan kebelakangan ini tindak tanduk dan
kenyataan mereka banyak merugikan parti.
Sekiranya suatu siasatan
tatatertib dimulakan terhadap mereka, berkemungkinan besar keahlian mereka akan
digantung dan ketika itulah Muhyiddin umpamanya akan dikira tidak layak hadir
dalam Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan bermula 8 Disember ini.
Dalam satu hari yang sama, dua
akhbar harian tempatan melaporkan masalah dalaman yang sedang kuat menyerang
Umno dari dalam, bagaikan api dalam sekam, bagaikan gunting dalam liputan, dua
ungkapan yang disebut oleh Najib semasa membentangkan Bajet 2016 tempoh hari.
Ternyata Umno hari ini berada
dalam suasana yang kritkal, goyang dan sangat tidak stabil. Presiden dan Majlis
Tertingginya pula seakan tidak berdaya dan tidak punya kekuatan politik untuk
mengawal partinya. Umno bagaikan telah hilang kawalan. Belayar tanpa arah tuju.
Dalam keadaan tenat sebegitu,
Umno yang memegang teraju negara berhadapan pula dengan pelbagai isu ekonomi
yang hari ini menghimpit kehidupan rakyat. Kenaikkan harga barangan dan
perkhidmatan selain harga minyak, tol, pengangkutan awam dan bebanan GST seakan
satu malapetaka yang tidak menyenangkan rakyat sedikit pun.
Tidak ada sebutir pun persepsi
yang positif yang boleh dilahirkan oleh kepimpinan Najib dan Umno hari ini
selain semuanya dipandang serong dan membangkitkan kekecewaan rakyat.
Tidak pernah berlaku dalam
sejarah Umno, ahli-ahlinya bangkit sebegini rupa diketuai Timbalan dan Naib
Presidennya sendiri selain bekas Presiden yang masing-masing berkongsi
pandangan bahawa tidak ada cara dan kaedah lain bagi memapah dan menyelamatkan
Umno dan negara kononnya selain pemimpin nombor satunya yakni Presidennya
disingkirkan dan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Mungkin pada sesetengah pihak 10
cawangan di Sepang selain sebelum ini 13 di Teluk Kemang itu tidak mewakili
suara 3.4 juta ahli Umno seluruh negara kecuali Sarawak. Namun bahayanya
sekurang-kurangnya buat Najib adalah bahawa api yang dalam sekam terus membakar
senyap-senyap dan gunting dalam lipatan terus menggunting mencarikkan kain.
Hakikatnya kemarahan dan ketidakpuasan hati diperingkat akar umbi terus
membusung dan membukit, mungkin meggunung satu hari nanti.
Kita tidak boleh menyalahkan
mereka di akar umbi kerana selaku pemimpin diperingkat berkenaan mereka
seharian berhadapan dengan rakyat jelata dan terpaksa menelan maki hamun dan
sumpah seranah rakyat yang sedang menderita menanggung keperitan angkara
kenaikkan kos hidup yang semakin menyiksa.
Dengan suasana dan reality sedemikian
kemanakah agakanya Umno mahu dipandu oleh Najib?
Pastinya diperingkat antarabangsa
pun pimpinan dunia sudah semakin terhakis keyakinan mereka terhadap Najibdan
negara kita lantaran berderetan isu yang
tidak selesai-selesai dan protes rakyat yang semakin nyaring kedengaran.
Berupayakah Najib menyabut
cabaran orang-orang kelilingnya untuk bertindak terhadap Muhyiddin, Shafie
Apdal, Tun Mahathir dan para penyokong mereka?
Najib tidak banyak pilihan
sebenarnya kerana jika tidak berbuat demikian dalam waktu terdekat Muhyiddin
selaku Timbalan Presiden akan mengikut tradisi Umno dan merasmikan Persidangan
Tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Malaysia. Itulah yang sangat
ditunggu-tunggu oleh beliau.
Sudah pastilah ianya kesempatan
terbaik buat Muhyiddin melepaskan segala yang terpendam dalam jiwanya yang
sudah tentu tidak akan menjanjikan sesuatu yang baik buat Najib.
Ditelan mati emak diluah mati
bapa, demikianlah delima yang dihadapi Najib hari ini.
Dalam suasana sebeginilah PAS
sewajarnya bersiap-siaga memastikan jentera dan kekuatannya bersedia untuk
menghadapi Umno yang paling lemah dalam sejarahnya. Umno tidak kelihatan akan
kebah dan bangkit pulih dalam waktu terdekat.
Kali ini orang-orang Melayu yang
merupakan sumber kekuatan Umno tidak lagi sebagaimana dahulu, sentiasa taat dan
bersedia menongkat dan menyelamatkan Umno apabila Umno bermasalah kerana banyak
terhutang budi. Hari ini orang-orang Melayu dari kampung ke desa sehinggalah bandar-bandar
besar, di tanah-tanah rancangan, di perkampungan nelayan, di sawah bendang,
semuanya rata-rata sudah bosan dan kecewa dengan Umno.
Mandat dan kepercayaan yang
mereka berikan buta-buta pada Umno sebelum ini telah dikhianati. Umno yang
memegang tunggak gagal menempatkan mereka di zon selesa sebaliknya angkara Umno
lah kehidupan mereka dan rakyat jelata keseluruhannya semakin susah, upah dan
gaji tidak meningkat tetapi belanja sara hidup semakin membesar.
PAS sudah menghadapi Umno dalam
13 pilihanraya sejak Merdeka. Dengan keahlian melebihi 1 juta dan ahli-ahli yang
istiqamah mendukung dan menjunjung perjuangan Islam PAS perlu bertanggungjawab
bangkit menghulurkan tangan bantuan kepada ahli-ahli dan penyokong Umno agar
beralih sokongan
Sebagaimana ditegaskan oleh
Presiden PAS sebelum ini Umno perlu dirihatkan kerana ternyata ia telah terlalu
penat dan tidak berupaya pulih lagi. PAS perlu yakinkan mereka agar lepaskanlah
tangan Umno itu. Marilah bersama PAS kita bersama memartabtkan Islam kerana
yakinlah apabila Islam dimuliakan maka ketika itu juga bangsa dan negara kita akan turut mulia dan
terselamat. Tepuk dada tanya selera. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment