Akhirnya terserlah bahawa bukan semua yang keras hati dan keras
kepala dalam DAP.
Walaupun pimpinan tertingginya seperti Lim anak beranak dan
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua bersungguh mahu mehambat keluar PAS dari
kerajaan negeri Selangor kerana inginkan anak asuhan mereka PAN masuk dalam kerajaan negeri, ada
juga pimpinan DAP yang berfikiran matang dan rasional.
Di lobi Dewan Negeri Selangor siang tadi EXCO Selangor Datuk
Teng Chang Khim yang juga AJK Pusat DAP menyatakan bahawa desakkan perwakilan dalam
Mesyuarat Agung DAP Negeri Selangor baru-baru ini agar PAS disingkir dari
kerajaan negeri Selangor bukanlah pendirian DAP Pusat.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Itu pandangan perwakilan
dan tidak mencerminkan pandangan kepimpinan pusat dan kepimpinan DAP Selangor”.
Beliau menambah tidak ada sebab untuk PAS disingkirkan dari
kerajaan Selangor kerana ketiga-tiga parti PAS. DAP dan PKR terikat dengan
manifesto dan janji PR dalam pilihanraya umum lalu.
Dan Teng menambah: “Semua pihak perlu matang dalam
berpolitik menggunakan pendekatan pragmatik. Sekarang mandat itu masih dengan
kita, melainkan kita mahu bertindak secara tidak bertanggungjawab dengan
membubarkan dewan.
Saya yakin rakyat juga tidak berhasrat melihat dewan ini
dibubarkan.”
Begitulah juga sebenarnya pandangan Dato MB Selangor dan
anggota EXCO mewakili PAS.
Teng langsung tidak mengambil sikap Setiausaha Agungnya Lim
Guan Eng yang dengan bongkak sebelum ini menyatakan bahawa DAP kekal di dalam
kerajaan Selangor bersama PKR dan PAS kerana mahu mengawal dan memastikan yang
PAS tidak melaksanakan program dan dasar Islam sewenang-wenangnya.
Saya percaya ramai lagi seperti Teng dalam DAP, dan ramai
lagi yang lebih rasional dan matang dari kalangan pengundi masyarakat Cina
khasnya di negeri Selangor.
Ini bukan masanya untuk bertelagah dan mencantas sesama
sendiri. Selangor perlukan kerajaan negeri yang kukuh dan stabil dari kalangan
parti-parti yang telah tebukti berkhidmat dan berjasa kepada rakyat dan negeri.
Rakyat Selangor terima dan mahukan PAS, bermusuhan dan
menyerang PAS yang terbukti merupakan satu-satunya parti yang istiqamah membawa
dan memperjuangkan Islam akan mencetuskan ketegangan dan kegusaran malahan
kemarahan di hati rakyat.
DAP sekadar ghairah dan terpesona dengan sokongan luar biasa
masyarakat bukan Melayu khasnya masyarakat Cina terhadap mereka sebelum ini. Namun
DAP jangan sekali-kali menganggap bahawa masyarakat Cina selama-lamanya akan
bersama mereka. Masyarakat Cina yang celik politik dan cintakan keamanan dan
kestabilan tahu bahawa Selangor yang stabil adalah Selangor yang mewakili
ketiga-tiga kaum dan menghormati istana, agama Islam, masyarakat majoriti Melayu.
Selangor bukan Pulau Pinang. Selangor terbina atas
kesapaduan dan keharmonian ketiga-tiga kaum Dahulu melalui BN yang diwakili
Umno, MCA, Gerakan dan MIC. Hari ini sejak 2008 melalui PR yang diwakili PAS,
PKR dan DAP.
Menendang keluar PAS adalah satu kesilapan dan DAP bakal
menerima padah akibat keghairahan dan nafsu memuncak mereka untuk berkuasa ikut
cara mereka.
1 comment:
Terbaik
Post a Comment