Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2100 Edisi Jumaat muka F16
Sewaktu
saya menulis artikel ini Presiden Amerika Syarikat Barack Obama baru sahaja
berlepas pulang dari Kuala Lumpur setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke
27 selama tiga hari.
Kehadiran
Presiden kuasa besar dunia itu sudah pastilah mendapat liputan meluas media
tempatan dan antarabangsa. Menurut laporan sepanjang tiga hari di sini, pihak
penganjur dan negara tuan rumah Malaysia telah menyusun padat aturcara buat
beliau selain menghadiri sidang dan upacara berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN
itu.
Sudah
pastilah kehadiran Presiden Amerika Syarikat itu mahu dieksploitasi sepenuhnya
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk melonjakkan lagi imej peribadi beliau dan kerajaannya yang sudah
sedia tercalar dan hitam akibat beberapa skandal dan ketempangan pentadbiran
dalam negara.
Diperingkat
antarabangsa mungkin tanpa Obama menyentuh langsung rekod Najib itu sepanjang
tiga hari beliau di sini sudah pastilah sedikit sebanyak telah membantu mengubati
imej Najib, namun sejauh manakah ianya mendatangkan impak ke atas persepsi
rakyat tempatan tidaklah diketahui.
Yang
pastinya kehadiran Obama sepanjang tiga hari itu tidaklah langsung membantu
mengangkat atau meringankan beban kos kehidupan yang ditanggung rakyat jelata
di Malaysia. Obama datang dan Obama pergi, kos sara hidup kita langsung tidak
berubah dan terus menekan dan menganggu kehidupan seperti biasa.
Bagi
saya kehadiran Obama selama tiga hari itu buat rakyat Malaysia kebanyakkan,
tidak ubahlah sebagaimana kehadiran selebriti-selebriti antarabangsa lain yang
pernah datang dan pergi. Ianya sekadar hiburan sementara yang datang dan pergi
begitu sahaja. Apa yang jelas sepanjang tiga hari di sini warga Kuala Lumpur
dihadiakan dengan kesesakkan lalu-lintas yang melampau akibat penutupan jalan-jalan
utama.
Dalam
pada itu beberapa pihak turut mengadakan protes dan bantahan di atas kehadiran
Obama itu.
Dua isu
besar yang mendorong protes serta bantahan ini adalah pertama campurtangan
ketenteraan Amerika Syarikat dalam konflik di Timur Tengah khasnya di Syria
selain penglibatan mereka di Iraq dan Afghanistan. Turut berkaitan adalah
kecenderungan berterusan Amerika Syarikat memberikan perlindungan kepada regim haram
Zionis Israel.
Kedua
pula melibatkan Perjanjian Perkongsian Trans
Pasifik atau TPPA. Perjanjian berkenaan yang digerakkan oleh Obama merupakan
perjanjian perdagangan yang bakal melibatkan 12 negara termasuk Amerika
Syarikat, Peru, Singapura, Mexico, Chile, Brunei, Vietnam, Jepun, Kanada,
Malaysia, New Zealand dan Australia.
Perjanjian ini walaupun kelihatan
memberi peluang kepada pasaran produk dan hasil Malaysia ke negara-negara
berkaitan namun demikian dalam waktu yang sama Malaysia terpaksa membuka
pintunya seluas-luas bagi penglibatan negara-negara lain tadi dalam memasar dan
melaburkan pula produk, hasil dan perkhidmatan mereka ke sini tanpa sekatan dan
batasan.
Dan
Amerika Syarikatlah yang diyakini akan meraih keuntungan paling besar kerana
TPPA nanti akan membuka laluan bagi negara kuasa dunia itu mendominasi 40
peratus perdagangan dunia.
Kunjungan
Obama kali ini dipercayai lebih untuk melobi kejayaan TPPA ini dan mendapatkan
sokongan Malaysia.
Berdasarkan
isu-isu besar yang membabitkan Amerika Syarikat dan Obama khasnya, protes dan
bantahan pelbagai pihak itu sempena lawatannya ke sini sesuatu yang berasas dan
sewajarnya diberikan perhatian khususnya oleh kerajaan Malaysia.
Namun
demikian apa yang dikesali adalah lawatan Obama kali ini rupa-rupanya diraikan pula
oleh beberapa NGO dan penggerak masyarakat sivil. Kesudian Obama duduk bersama
–sama beberapa tokoh tertentu walaupun atas nama kebebasan dan hak asasi
sangatlah dikesali kerana langsung tidak mencerminkan hasrat rakyat Malaysia
yang lebih “concerned” berkenaan aktivisma ketenteraan Amerika Syarikat dan
TPPA yang berat sebelah itu.
Mengapa
harus kita meluahkan masalah dan isu-isu hak asasi dan politik tempatan kepada
seorang pemimpin asing yang mewakili kuasa besar dunia? Adakah dengan membawa
isu-isu ini ke telinga Obama maka beliau boleh menyelesaikannya? Atau adakah
kita berhasrat mahukan Amerika Syarikat masuk campurtangan dalam isu dan masalah
dalaman kita?
Jika
yang dikunjungi adalah Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu atau
UN, mungkin ada juga rasional dan munasabahnya, tetapi berjumpa dengan Obama
bagi tujuan yang disebutkan sangatlah meragu dan mengelirukan.
Menurut
laporan antara tokoh-tokoh yang bertemu Obama adalah Pengerusi Bersih Maria
Chin Abdullah, penaung Negaraku Datuk Ambiga Sreenevasa, pengarah C4 Cynthia
Gabriel, wakil Justice for Sisters Nisha Ayub, Pengerusi Majlis Peguam Steven
Thiru, Presiden IDEAS Tunku Zain al Abidin ibni Tuanku Mukhriz dan Pengarah
Eksekutif Good Shepard Teresa Symons.
Bagi
saya tokoh-tokoh ini sekadar mewakili kepentingan segelintir kecil masyarakat
dan tidak sebenarnya membawa suara hampir 30 juta rakyat Malaysia.
Kita
akui lantaran kepincangan pentadbiran dan kepimpinan negara, Malaysia dibebani
dengan pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik selain isu-isu hak asasi.
Akan tetapi permasalahan ini sewajarnya diputuskan oleh rakyat Malaysia sendiri
dan bukannya kuasa asing apatah lagi kuasa yang sama sedang terlibat dalam
pertumpuhan darah rakyat yang tidak berdosa khasnya di negara-negara yang
berkonflik di Timur Tengah.
Tokoh-tokoh
NGO berkenaan mungkin berpuas hati kerana dapat bergesel bahu dan duduk sebilik
dengan Obama, tetapi apakah sebenarnya pencapaian mereka dari perjumpaan
sedemikian?
Sesungguhnya
usaha untuk menghapuskan kepincangan yang kita semua hadapi dan membawa
perubahan khasnya perubahan politik sedang giat diusahakan oleh parti-parti
politik dalam negara termasuklah PAS dan lain-lain. Sistem demokrasi
berparlimen yang kita amalkan masih dipercayai dan diyakini oleh rakyat
Malaysia walaupun ia masih memerlukan sedikit sebanyak penambah-baikkan.
Sistem
inilah akan kita gunakan untuk merintis perubahan dan menyelamatkan rakyat dan
negara.
Dalam
bulan April lalu apabila bercakap kepada
pemberita pada majlis Kongres Profesional Muslim SeMalaysia Presiden PAS Datuk
Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah menegaskan:
"Kita
tidak mahu apa yang berlaku di Asia Barat berlaku di sini walaupun kita berbeza
pandangan dalam kalangan kumpulan Islam dan pemerintah sendiri. Kita tetap
pilih demokrasi berparlimen walaupun ada kelemahan yang kita tak setuju tapi
tak sampai jadi macam Asia Barat yang ada campur tangan asing.”
Mengundang
atau memberi peluang kepada kuasa asing termasuklah Amerika Syarikat untuk
campurtangan dan terlibat dalam urusan tanahair kita sangatlah dikesali dan
sebarang tindakan ke arah itu pastinya
akan ditentang sekeras-kerasnya oleh warga Malaysia dari mana-mana kelompok
sekalipun.
Tokoh-tokoh
NGO dan masyarakat sivil berkenaan seharusnya melakukan kajian dan pungutan
suara sejauh manakah inisiatif sia-sia mereka itu sebenarnya mewakili kehendak
dan suara rakyat Malaysia. Mereka mendakwa mewakili rakyat Malaysia sedangkan
tidak ramai dikalangan kita yang berkongsi pendapat dengan mereka dan saya
percaya sebilangan besar lagi langsung tidak kenal atau tahu tentang kewujudan
mereka.
Mengambil
inisiatif yang kononnya mewakili suara rakyat Malaysia seumpama itu sangatlah
tidak adil dan tidak bertanggungjawab.
Dalam
Ucapan Dasarnya pada Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor pada Jun lalu sekali
lagi Tuan Guru Presiden PAS menegaskan bahawa PAS tidak sekali-kali akan
mengizinkan campurtangan asing dalam menentukan urusan dan nasib mana-mana bumi
umat Islam yang sudah pastinya termasuklah bumi Malaysia ini.
Semoga tindakan yang dikesali itu
tidak diulangi oleh pihak-pihak berkenaan dan lebih penting lagi sewajarnya
ditekankan bahawa nasib dan masadepan rakyat Malaysia biarlah diperjuang dan
ditentukan oleh rakyatnya sendiri tanpa campurtangan mana-mana pihak asing
termasuklah Amerika Syarikat. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment