Monday, November 02, 2015

Awas ancaman politik DAP



Pada Pilihanraya Umum 1999, salah satu parti pembangkang yang memperolehi kemenangan yang terbesar adalah PAS. Selain mempertahankan kerajaan negeri Kelantan, PAS juga turut merampas negeri Terengganu.

Selain itu di Parlimen PAS menguasai 27 kerusi iaitu peningkatan 20 kerusi berbanding PRU 1995 manakala DAP menang 10 dan Parti Keadilan 5.

Kejutan terbesar dalam PRU itu bukannya kemenangan PAS termasuklah menguasai Terengganu. Kejutan terbesar ketika itu sesungguhnya adalah kekalahan dua tokoh besar pembangkang yang selama ini menguasai Dewan Rakyat iaitu Lim Kit Siang dan Karpal Singh di Pulau Pinang.

Lim umpamanya tidak pernah tewas dalam PRU sejak mula bertanding pada tahun 1969 kecuali pada tahun 1999.

Ketika melihatkan kemenangan besar PAS itu, Lim Kit Siang telah menulis dalam blognya: 

“The danger of the  historic electoral setback for UMNO in the 1999 general election and the emergence of PAS as the dominant Opposition in Parliament with 27 seats and a very marginalised DAP with ten seats  is that  Parliament in the next five years will principally become the battleground between UMNO and PAS for the hearts and minds of the Malays in the Malay heartland, resulting in a spiral of Islamisation and Malay-isation policies - threatening not only a democratic secular Malaysia but even  Vision 2020 and  the concept of Bangsa Malaysia.”

(Bahaya yang muncul dari kekalahan Umno tahun PRU 1999 ini dan kemunculan PAS dengan 27 kerusi sebagai parti pembangkang yang paling dominan (sebelum ini DAP) serta penguncupan kuasa politik DAP dengan hanya 10 kerusi di parlimen dalam tempoh 5 tahun mendatang akan melihat pertembungan untuk menguasai hati dan fikiran orang-orang Melayu di kawasan-kawasan Melayu, yang akan mengakibatkan kebangkitan usaha-usaha Islamisasi dan “Memelayu” kan dasar-dasar yang nanti bukan hanya akan mengancam Malaysia yang demokratik dan sekular ini tetapi juga menggugat Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia.)

Itu tulisan Kit Siang 16 tahun lalu, ketika beliau kalah dan ketika PAS menang besar. Barangkali ketika itu dengan kemenangan kita di Kelantan dan Terengganu serta 27 kerusi Parlimen, kita tidak berapa beri perhatian pada pandangan Kit Siang itu.

Tetapi ternyata Kit Siang memang tidak senang apabila kuasa politik dalam negara beralih tangan ke orang-orang Melayu Islam sebagaimana pada PRU 1999.

Pada Kit Siang jika kuasa politik negara beralih ke tangan orang-orang Melayu maka ketika itu ia menjadi ancaman kepada negara, kononnya menggugat kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara sekular dan akan beralih menjadi negara yang lebih Islam dan lebih Melayu.

Adakah ini sebagai bukti bahawa Kit Siang bimbang pada politik Islam dan Melayu?

Kita orang Melayu Islam dididik menghormati hak dan kebebasan rakan-rakan kita masyarakat bukan Melayu Islam. Kita dididik menghormati kepercayaan, adat dan budaya serta hak mengamalkan Bahasa ibunda rakan –rakan kita. Dalam erti kata lain rakan-rakan bukan Melayu dan Islam merupakan sebahagian dari kita warga Malaysia.

Tiba-tiba Kit Siang menzahirkan dirinya sebagai seorang yang tidak boleh terima sekiranya hak demokrasi memberi penguasaan dan tunggak kuasa politik kepada orang-orang Melayu Islam.
Tidakkah ini rasis dan chauvinis?

Seakan tanpa kuasa politik ditangan orang bukan Melayu dan bukan Islam sebagaimana pada tahun 1999, hak dan kebebasan masyarakat bukan Melayu dan Islam terancam, benarkah demikian?
Itu 16 tahun lalu.

Hari ini Kit Siang dan partinya DAP semakin berani. Dari tindak-tanduk partinya contohnya di Selangor DAP sudah bercita-cita mahu mengambil alih sepenuhnya kuasa politik negeri. Pertembungan antara PAS dan Umno mahu diambil kesempatan olehnya dengan meletakkan calon DAP di kawasan-kawasan ini.

DAP percaya bahawa sudah ada segolongan orang-orang Melayu yang boleh mendakap perjuangannya dengan menolak perjuangan Islam PAS. Mereka yang liberal dan fikiran kononnya terbuka sudah tidak kesahkan sangat perjuangan agama atau bangsa. Ditambah dengan kononnya sokongan maksima pengundi bukan Melayu, DAP menjangkakan kemenangan besar buatnya.
DAP Selangor mengisytiharkan akan bertanding di 8 kerusi DUN yang dikuasai PAS hari ini antaranya kerusi Cempaka yang diwakili oleh kerusi Peseuruhjaya PAS Selangor dan Naib Presiden PAS.

Apakah rasional tindakan ini?

Anggaplah melalui penyertaan ini, DAP ditakdirkan menang dan PAS kalah. 8 kemenangan tambahan akan memberi DAP 23 kerusi dengan menganggap ia kekal menang di 15 kerusi yang ia kuasai hari ini. Ini bermakna dalam PRU akan datang DAP menjangkakan ia boleh menguasai 23 kerusi DUN di Selangor. Dengan tambahan 6 kerusi dari rakan pakatannya DAP lah kuasa dominan di Selangor kerana itu sudah ada “pakar perlemabgaan” dalam partinya yang mengatakan tiada halangan sebenarnya untuk bukan Melayu menjadi Menteri Besar.

Itu baru Selangor, bagaimana dengan Perak, Malaysia?

DAP sedang menuju ke arah penguasaan total politik Malaysia dengan sedikit sebanyak bantuan dari rakan-rakannya. Menghapuskan kuasa dan dominan politik Melayu nanti akan membolehkan DAP merobah negara ini menuju ke wawasan sekular yang ia perjuangankan selama ini.
Jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara sekular, dimana agama tidak lagi menjadi keutamaan dan sandaran, merobah dasar yang telah dipersetujui dan diamalkan bersama sejak Merdeka, bolehlah kita menimbang-nimbang untuk menolak parti-parti lain khasnya PAS dan gantikan dengan DAP.

Cita-cita DAP ini suatu ancaman yang serius buat kuasa politik Melayu Islam sebagaimana Kit Siang melihat lonjakkan penguasaan kuasa poilitik Melayu dalam Parlimen 1999 itu suatu ancaman buat beliau dan partinya.

Semoga kita semua tidak lalai dan terlepas pandang ancaman besar ini.

No comments: