Thursday, November 19, 2015

Si "Robocop" yang menembak sesuka hati

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2098 Edisi Jumaat muka F8

Politik ekstrim, sempit dan mengadu-domba tidak pernah mendapat tempat dalam hati masyarakat Malaysia tidak kiralah samada orang Melayu, Cina, India atau masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini sudah pasti berkait rapat dengan budaya dan tradisi masyarakat kita yang sememangnya menghargai hubungan sesama kaum dan cintakan keamanan dan kedamaian.

Kekuatan inilah yang telah menyatukan pelbagai kaum dalam negara ini walaupun kita masing-masing berbeza ras dan agama.

Sejarah menunjukkan apabila sahaja pendekatan seumpama ini diambil oleh mana-mana parti politik, popular mana sekalipun ia, pasti tindakan berkenaan akan mencetuskan kegusaran dihati rakyat, kerana ternyata rakyat Malaysia tidak bersedia untuk melihat atau menerima politik ekstrim dan ketagangan menjadi pendekatan dan kaedah berpolitik mana-mana golongan sekalipun.

Parti Kominis Malaya atau PKM contohnya sebelum ia diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948 dahulu, asalanya sebuah parti populis yang sangat dikagumi oleh sesetengah pihak. Kesatuan-kesatuan sekerja banyak mnedapat bantuan darinya. Dalam salah sebuah buku karangan beliau, Allahyarham Ahmad Boestamam ada menulis bagaimana satu peristiwa pihak PKM membantu seorang peniaga durian di Ipoh yang menghadapi masalah memasarkan duriannya pada hari berkenaan. Kata Boestamam apabila beliau memohon bantuan pejabat PKM berdekatan, pegawai PKM dihantar membeli kesemua durian peniaga tersebut yang sudah pasti menyenangkan hati peniaga kecil itu dan menjadi buah mulut masyarakat.

Akan tetapi sebaik sahaja ia diharamkan penjajah, PKM telah berjuang mengangkat senjata. Dari sejak itu popularitinya menurun dan akhirnya disisihkan oleh masyarakat. Menurut rekod, orang Melayulah yang paling kurang menyokong atau menyertai PKM setelah itu.

Peristiwa hitam 13 Mei 1969 juga merupakan satu lagi contoh dimana tindakan radikal dan ekstrim parti-parti pembangkang dan pemerintah masing-masing dalam meraikan keputusan pilihanraya berkenaan telah mengakibatkan tragedi yang malang berlaku sehingga rakyat serik mahu meletakkan kepercayaan kepada parti-parti politik.

Sesungguhnya pendekatan politik yang ekstrim dan radikal sering menghantui parti-parti yang merasakan dirinya telah begitu popular dan mendapat sokongan ramai. Ketaksuban dengan kuasa mengakibatkan ia merasakan segala tindak-tanduknya walau se ekstrim atau se radikal mana boleh diterima masyarakat sedangkan di Malaysia sejarah membuktikan sebaliknya.

Ketika Datuk Haris Salleh menjadi Ketua Menteri Sabah diantara 1976-1985 begitulah pendekatan beliau diakhir pemerintahannya. Ketaksuban dengan kuasa mengakibatkan beliau dan partinya BERJAYA menjadi ekstrim dan radikal dalam pendekatan. Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang disingkir dari BERJAYA telah bertanding dan menang dalam Pilihanraya Kecil Tambunan melawan parti Haris pada bulan Disemberi 1984.

Haris bertindak balas dan menganaktirikan daerah Tambunan yang akhirnya membangkitkan kemarahan ramai sehingga apabila Pairin menubuhkan partinya sendiri PBS, ia telah berjaya mengalahkan Haris dan merampas kerajaan negeri Sabah pada tahun 1985. Rakyat Malaysia dimana sahaja mereka berada tidak boleh menerima mana-mana parti atau pemimpin yang zalim.

Ketika saya menulis artikel ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng baru sahaja merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP. Di dalam ucapannya Guan Eng telah mengambil kesempatan menyerang PAS habis-habisan sehingga menjadi bahan oleh kebanyakkan portal berita.

Sejak PAS dan DAP putus hubungan, Guan Eng tidak henti-henti bertindak sedemikian terhadap PAS, barangkali kerana mahu membantu “anak kelahirannya” PAN agar menggantikan tempat PAS dipelbagai peringkat.

Di kongres berkenaan beliau dipetik sebagai berkata bahawa DAP kekal dalam kerajaan Selangor kerana mahu menghalang PAS dari terus bermaharajalela dan “tidak buat jahat” di Selangor. Beliau turut mendakwa bahawa satu undi PAS samalah dengan satu undi untuk Umno.

Kenyataan ekstrim seumpama ini sudah pastilah bermaksud mahu memburukkan PAS dan mahu menjaja kepada rakyat bahawa kononnya PAS ini sudah menjadi musuh dan setaraf dengan Umno.

Begitu tebal sekali kebencian Guan Eng pada parti Islam seperti PAS ini.

Kalau beliau mahu memain peranan politik “Robocop”, yakni robot polis yang “soulless” atau tidak berjiwa, menjadi juara jurubicara ummah dan rakyat, ketahuilah bahawa politik “robocop” inilah yang telah menghancurkan DAP di Pulau Pinang ketika Projek Tanjung 3 dalam PRU 1995 dahulu.

Dalam PRU berkenaan ayahnya Lim Kit Siang telah dimodelkan oleh DAP Pulau Pinang sebagai “Robocop” iaitu robot yang tegas dan bersih yang kononnya boleh menyelamatkan Pulau Pinang dari tangan BN dan Gerakan.

Akhirnya DAP kalah dan Kit Siang akui bahawa penggunaan imej seumpama “Robocop” itu sangat tidak sesuai dan sehingga pihak BN telah memainkan propaganda bahawa “Robocop” Kit Siang sesungguhnya tidak berjiwa dan akan meranapkan Pulau Pinang.

Hari ini Guan Eng sudah menjadi “Robocop” baru menyerang dan membelasah PAS dalam apa sahaja ruang dan majlis yang ada. Beliau mahu rakyat Malaysia menolak dan mematikan PAS dari politik Malaysia.

Tidakkah pendekatan agresif ini sudah menjadi sangat keterlaluan? Apakah masyarakat Cina khasnya yang telah sekian lama mengenali PAS boleh percaya dan makan mentah-mentah serangan Guan Eng itu?

Sekali lagi saya terlalu yakin “paranoia” dan keghairahan Guan Eng dan DAP ini sudah mula dibimbangi rakyat Malaysia. Masyarakat Malaysia yang kenal PAS, dan menerima PAS sebagai parti Islam yang berkhidmat untuk semua, “PAS for all”, yang menghormati hak dan kebebasan semua, nanti pasti akan simpati pada PAS lantaran asakkan keterlaluan si “Robocop” itu.

Ketaksuban Guan Eng pada rakan barunya PAN mengakibatkan beliau memukul PAS tanpa memikirkan kesan dan impaknya terhadap partinya sendiri apatah lagi PAN. Sebagaimana Haris di Sabah dan “Robocop” DAP Pulau Pinang pada 1995 itu, Guan Eng diyakini akan menempah nasib yang sama kiranya berterusan begini.

Malah ada yang mengatakan bahawa serangan Guan Eng sudah  tidak lagi disasarkan pada BN tetapi lebih pada PAS. Mungkinkah pada mata Guan Eng PAS sudah menjadi ancaman yang terlalu besar buat DAP lebih besar dari BN lagi?

Jika begitu PAS cuma perlu meningkatkan lagi usahanya dan terus istiqamah mendepani

masyarakat dengan politik bijaksana dan penuh hikmah. Biarkan si “robocop” menembak dan menyerang sesuka hatinya kerana rakyat Malaysia sejak dahulu lagi tidak pernah terpesona apalagi terbuka hati pada politik ekstrim, sempit dan adu-domba seumpama itu. roslansms@gmail.com

No comments: