Tindakan para pengeluar rokok menaikkan harga produk mereka
sebanyak 40% baru-baru ini telah menjadi bahan bualan hangat masyarakat. Para
penagih dan pengguna rokok yang mewakili sekitar 4.7 juta orang itu sudah
pastilah marah dan kecewa dengan kenaikkan mendadak itu manakala majoriti
mereka yang tidak merokok mengalu-alukannya.
Kenaikkan tinggi ini dilaporkan susulan tindakan para
pengeluar memindahkan beban yang mereka pikul akibat kenaikan cukai eksais dan GST
yang berkaitan yang ditimpakan ke atas mereka kepada pengguna.
Bagi para pengguna kenaikkan sehingga contohnya RM3.20
sekotak kepada RM17.00 sudah pastilah satu beban yang besar diwaktu kos
kehidupan yang terlalu menekan dewasa ini. Bagi menunjukkan betapa besarnya
kenaikkan ini sehingga ada pihak-pihak yang membuat perbandingan bahawa nilai sedemikian
boleh membeli 8 liter petrol RON95 atau 6 kilogram beras atau 32 biji telur
ayam.
Malah ada pihak lebih sinikal dengan menyatakan bahawa
sekiranya perokok itu berhenti merokok pada kos rokok hari ini ia dapat
menjimatkan RM510 sebulan ataupun RM6120 setahun jika mereka menghisap sekotak
sehari, cukup bagi membiayai kos menunaikan umrah!
Menurut Presiden NGO Malaysian Women’s Action for Tobacco
Control and Health atau MyWatch Datuk Hatijah Ayob, di Malaysia satu pertiga
kanak-kanak remaja dari usia 13 ke 15 tahun dididapati merupakan perokok
manakala terdapat 1% dari wanita dewasa juga merupakan perokok.
Langkah seterusnya menurut Datuk Hatijah adalah bagi
kerajaan menaikkan usia yang dibenarkan membeli rokok iaitu dari 18 ke 21
tahun.
Apa pun kita mengharapkan kenaikkan harga rokok ini akan
mendorong para perokok mengurangkan atau menghenti sama-sekali tabiat buruk
yang menganggu kesihatan itu dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Disamping dapat
sekurang-kurangnya menghindari anak-anak kita dari mengamalkan tabiat ini.
Langkah-langkah sebegini sesungguhnya sangat bermakna
diwaktu negara berhadapan dengan krisis ekonomi dan rakyat pula terjejas dengan
belanja hidup yang membebankan. Diwaktu seperti
inilah sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif menggalakkan rakyat berjimat
cermat khasnya dengan mengelakkan tabiat yang tidak membawa apa-apa pulangan
buat dirinya dan keluarga masing-masing.
Dalam perspektif yang lebih luas sepatutnya diwaktu sebegini
bukan hanya industri rokok menjadi sasaran, tetapi juga industri-industri lain
yang kesannya tidak kurang parah sebagaimana rokok tadi.
Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga
Perdana Menteri baru-baru ini bertemakan “Mensejahtera kehidupan rakyat”.
Membina kesejahteraan rakyat diwaktu rakyat mengeluh dengan kehidupan yang
susah,sesungguhnya tidak cukup dengan
janji-janji pembangunan dan bantuan “one off” umpama BRIM semata-mata.
Kerajaan perlu realistik, sebagaimana dalam kes rokok tadi,
memastikan yang segala peluang dan ruang untuk mengamalkan tabiat yang buruk
dan merosakkan masyarakat dan negara jika tidak pun diharamkan, dijadikannya
lebih mahal dan diluar jangkauan masyarakat ramai.
Malangnya Bajet 2016 contohnya yang mahu membawa
kesejahteraan hidup buat rakyat itu tidak langsung menyentuh industri maksiat
atau “sin industry” yang di”halal”kan oleh kerajaan walaupun ia jelas haram
pada masyarakat Islam.
Dalam suasana gawat ini dan kesungguhan kerajaan kononnya
mahu menjanjikan kesejahteraan buat rakyat, hasil dan aktiviti industri ini
sebagaimana rokok tadi sepatutnya diberikan tekanan maksima.
Menurut rekod Industri arak dan judi terus mencatatkan
keuntungan mencecah berbilion ringgit diwaktu rakyat dan negara sedang bergelut
dalam kehidupan. Anehnya Bajet 20016 langsung tiada menyentuh mereka dari sudut
kenaikkan cukai seakan-akan mereka ini diberi lesen mengambil kesempatan atas
kesempitan hidup rakyat.
Fakta menunjukkan
rakyat Malaysia berbelanja USD 500 juta setahun untuk arak dan Malaysia
termasuk senarai 10 negara tertinggi didunia yang meminum arak dengan kadar 7
liter per kapita. Angka ini sudah pasti membimbangkan dan kerajaan kelihatan
tiada langsung menzahirkan inisiatif bagi mengekang tabiat buruk meminum arak ini.
Tidak seperti rokok kali terakhir duti eksais ke atas arak
dinaikkan adalah 10 tahun dahulu iaitu pada tahun 2005 apabila kerajaan
menaikkan dutinya kepada 23.3% ataupun RM7.40 sen seliter.
Mengapa industri ini seakan dilindungi oleh bajet
“Mensejahtera kehidupan rakyat”?
Jangankan mahu mengambil insiatif mengharamkan jualan arak
dikalangan masyarakat Islam sebagaimana yang dilakukan kerajaan Kelantan lebih
25 tahun lalu, sebaliknya ia dibiarkan terus membanjiri pasaran dengan mudah
didapati di kedai-kedai serbaguna 24 jam dan terus dihidangkan di pesawat milik
negara.
Jika rokok dinaikkan harganya untuk menghindarkan rakyat
dari tabiat buruk ini, mengapa arak yang sebenarnya membawa akibat yang lebih
buruk tidak dipedulikan?
Kerajaan yang kononnya mahu membina kesejahteraan rakyat
langsung tidak ambil pusing pada nasib kakitangan, pemegang saham dan lembaga
pengarah dikalangan rakyat beragama Islam yang terjerumus dan terjebak dalam
industri ini.
Dalam pada itu satu lagi industri yang turut melahirkan tabiat
buruk sehingga berupaya meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat tetapi
tidak disentuh oleh bajet 2016 adalah indutri perjudian. Islam mengharamkan
perjudian tetapi ia dilesenkan oleh kerajaan.
Bagi tahun berkahir 2014 berikut adalah pendapatan dan keuntungan
yang dicatatkan oleh pemain-pemain terbesar industri ini di Malaysia. Genting Berhad pendapatan RM18.22 bilion
keuntungan RM1.5 bilion, Berjaya Sports Toto pendapatan RM5.28 bilion
keuntungan RM362 juta dan Magnum Corporation pendapatan RM2.8 bilion keuntungan
RM257 juta.
Kalau dibuat perbandingan pendapatan Berjaya Sports Toto
sebanyak RM5.28 bilion itu ianya hampir bersamaan dengan bajet 2015 bagi 3 buah
negeri iaitu Selangor, Perak dan Terengganu yang berjumlah 5.82 bilion.
Bagi syarikat ramal nombor atau tikam ekor umpama Sports
Toto dan Magnum selaku “Number Forecast Operators” atau NFO cukai yang
dikenakan ke atas mereka adalah 8% dan 8% lagi duti ke atas pendapatan judi
terkumpul atau “pool betting duty on net revenue”.
Bagi operator kasino umpama Genting Highlands pula, cukai
kasino yang dikenakan adalah sebanyak 25%.
Malangnya cukai perjudian atau “gaming tax” ke atas NFO ini
telah kekal pada paras 8% sejak 17 tahun lalu terakhir pada tahun 1998.
Manakala cukai 8% ke atas pendapatan judi terkumpul terakhir dinaikkan pada
tahun 2010 iaitu 5 tahun lalu. Cukai kasino 25% pula terakhir dinaikkan juga 17
tahun lalu pada tahun 1998.
Sekali lagi mengapa Bajet “Mensejahtera kehidupan rakyat”
tidak cadang menaikkan cukai ke atas industri judi ini dan membiarkan mereka
terus mengaut keuntungan dari rakyat jelata. Tiada langsung inisiatif contohnya
menghindarkan umat Islam dari industry haram ini. Sekali lagi nasib pekerja,
pemegang saham dan lembaga pengarah dari kalangan rakyat beragama Islam dilepas
pandang oleh kerajaan.
Kesimpulannya jika pada rokok kita boleh naikkan cukainya
mendadak, jika pada pengguna lebuhraya kita boleh naikkan tol, jika pada
pengguna awam kita boleh longgokkan GST apa istimewanya arak dan judi? roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment