Sudah sah Majlis Tertinggi Umno telah pun memutuskan bahawa
buat pertama kali dalam sejarah Umno, Timbalan Presidennya tidak akan
merasmikan persidangan tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puterinya tahun
ini.
Tan Sri Muhyiddin Yasin yang tiada lagi jawatan dalam
kabinet itu setelah digugurkan, akan digantikan oleh Ketua-ketua sayap
masing-masing, sekaligus memecah tradisi Umno sejak sekian lama.
Sejak memilih untuk mengkritik kerajaan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka, Muhyiddin semakin dianak-tirikan.
Dalam sekelip mata beliau kini menjadi “api dalam sekam, gunting dalam lipatan”
disisihkan oleh mereka yang berkuasa dalam parti Melayu tertua itu.
Sekurang-kurangnya apabila Tan Sri Musa Hitam berundur
sebagai Timbalan Perdana Menteri dahulu kerana berlaga-angin dengan Perdana
Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohammad, Musa yang masih Timbalan Presiden
Umno, masih dijemput merasmikan persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno.
Bezanya Musa Hitam dahulu berundur secara terhormat,
manakala Muhyiddin dipecat. Itulah barangkali yang mencetuskan kebimbangan
dihati Najib, iaitu kemungkinan Muhyiddin akan menggunakan platform sebagai
Timbalan Presiden membelasah Najib pula kalau dibenarkan merasmikan persidangan
berkenaan.
Cuma sebagai penghias kata, Majlis Tertinggi Umno
mengumumkan bahawa keputusan tersebut diambil atas kononnya permintaan
ketua-ketua sayap.
Muhyiddin mengeluh dan merintih, apalah dosanya terhadap
Umno sehingga diperlakukan sedemikian. Kini beliau sedar bagaimana hebatnya
budaya “cah keting” dan politik cantas-mencantas dalam Umno. Dulu semasa tidak
kena atas batang hidung sendiri, tidak terasa. Hari ini Muhyiddin menjadi
mangsa menanggung derita dan peritnya.
Saya tidak pasti apa pula helah Umno nanti semasa
Perhimpunan Agungnya selepas selesai sayap-sayap bersidang. Kerana mengikut
tradisinya Timbalan Presiden akan diberikan slot dalam ucapan penangguhan
sebelum giliran Presiden. Atau apakah maklumat bahawa Muhyiddin akan digantung
keahlian sebelum perhimpunan benar-benar jadi nyata nanti?
Demikianlah kusut dan berkecamuk pengurusan dan pentadbiran
Umno hari ini. Umno bawah Najib menjadi semakin gelabah, takut pada
bayang-bayang sendiri dan secara terbuka menjadi bahan senda gurau dan
dilekehkan masyarakat.
Sekurang-kurangnya PAS walau berhadapan berbagai kemelut
dalaman parti, tiada pula mana-mana kelompok yang disekat atau dihalang berucap
semasa Muktamarnya. Tiada pula Timbalan Presiden yang tidak sehaluan dengan
Presiden dihalang dari merasmikan Muktamar Pemuda dan Muslimat. Itulah beza PAS
dan Umno buat mereka yang tidak maklum.
Ternyata perkembangan yang berlaku menjadikan Umno semakin
menguncup. Tiada lagi boleh ia dakwa dirinya sebagai parti pembela masyarakat Melayu
yang terbuka dan prihatin. Melalui tindak-tanduknya Umno hari ini menjadi
semakin eksklusif, satu kuasa politik yang dikuasai gerombolan tertentu yang
memimpin secara autokratik, tiada lagi meraikan suara akar-umbi dan ahli
kebanyakkan.
Kalau mahu naik dan menjadi pemimpin dalam Umno, berdasarkan
pengalaman Muhyiddin ini, jangan pandai-pandai atau berani melawan arus. Kalau
mahu selamat, kalau mahu kekal pada jawatan dan kedudukan, terlepas dari
menjadi mangsa “cah keting” maka puji dan pujalah para pimpinan teratas
sehingga melangit tingginya. Lagi tinggi lagi selamat.
Dalam pada itu Umno yang bercelaru terus mengeluarkan
keputusan yang makin menyempitkan survival masadepannya.
Dalam pada menyisihkan Muhyiddin dari arus perdana parti,
terbaru, Umno juga sedang menimbang-nimbangkan untuk menyaring atau mungkin
menyekat pula sama-sekali liputan media dalam Perhimpunan Agungnya kali ini.
Keputusan muktamad belum dibuat namun kemungkinannya sangat besar.
Kononnya menurut Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku
Mansor pihak media gemar memutar-belitkan laporannya. Beliau mungkin
menjangkakan perhimpunan partinya kali ini “panas” apatah lagi berikutan
tindakan yang dikenakan terhadap Muhyiddin dan tindakan semakin lantang dari
cawangan-cawangan Umno seluruh negara yang mahukan Najib melepaskan jawatannya
sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Najib sudah pasti menjadi sasaran utama para perwakilan dan
jurucakap semasa pehimpunan Umno itu nanti.
Sesungguhnya bahang dan bahana tekanan ekonomi yang
mengakibatkan mencanak naiknya kos sara hidup rakyat, bukan hanya menghantui
orang bukan Umno, malah ahli dan pimpinan akar-umbi Umno pun turut sesak dan
lemas angkaranya. Skandal 1MDB dan pelbagai kepincangan lain sudah menghakis
dan menghilangkan kepercayaan ramai terhadap beliau.
Inilah faktor yang membimbangkan pimpinan Umno hari ini.
Mampukah mereka menyekat kebangkitan ini, atau ianya nanti
akan melimpah bagaikan tsunami menghanyutkan keseluruhan pimpinan dan pasukan
Najib malah dengan Umno sekali kecundang?
Kita tidak mahu kegagalan Umno ini dinisbahkan oleh rakyat
sebagai kegagalan kepimpinan politk Melayu dan Islam. Kita tidak mahu
ketempangan dan kepincangan kepimpinan Umno mengakibatkan ahli-ahlinya yang
lebih 3 juta itu bergayut pada sistem dan ideologi lain yang asing dan hanyut
jauh dari Islam.
Kerana itu PAS bangkit menghulurkan tangan sebagai penasihat
atas platform kebenaran Islam. Hakikatnya orang-orang Melayu merupakan majoriti
penduduk dalam negara ini dan sewajarnya kekal sebagai teraju memimpin rakyat
berteraskan Islam. Namun jangan mudah kita berputus asa.
Benar pimpinan Umno sudah gagal dan tidak bertenaga lagi
untuk membaik-pulih negara. Dalam keadaan demikian orang-orang Melayu dan
majoriti ahli-ahli Umno sewajarnya menyahut ajakkan dan seruan Islam yang
dibawa dan dikepalai oleh PAS.
Tiba masanya kita bersama menyelamatkan negara dan
mengelakkan umat dari berpecah dan tidak ketahuan hala. Umno sudah gagal tetapi
jangan kita hilang keyakinan kepada kepimpinan Melayu dan Islam kerana jika
Umno gagal, PAS penuh dengan kepimpinan yang ikhlas, jujur dan bertenaga yang
berupaya memandu umat dan negara berlandaskan Islam.
Semoga kita semua kembali kepada
Islam demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment