Sunday, November 08, 2015

Akhlak dan keperibadian wakil PAS di dewan

The StarOnline melaporkan bahawa mereka berjaya menghubungi ahli parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang kini berada di Mekah, berhubung isu “balik tongsan” yang dikaitkan dengan beliau semasa perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Azeez mengakui mengeluarkan kata-kata tersebut yang ditujukan kepada ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, dan telah diminta tarik balik kenyataan tersebut oleh Speaker Dewan.

Memang kebelakangan ini sekiranya kita berpeluang menonton secara langsung sidang Dewan Rakyat kita akan melihat gelagat dan ucapan “sesuka hati” beberapa kalangan wakil rakyat yang tidak menggambarkan langsung status mereka sebagai ahli yang berhormat yang mewakili puluhan ribu rakyat dari kawasan masing-masing.

Sungguh mengecewakan kadangkala ungkapan dan sebutan yang kita dengar hampir sama bagai yang diucapkan di pasar dan di tepi-tepi jalan sedangkan 222 orang dari mereka mewakili lebih 30 juta rakyat Malaysia!

Walaubagaimanapun syukurlah sejak berlaku peristiwa pengkhianatan terhadap PAS, baki wakil-wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat diketuai Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Ketua Penerangan dan lain-lain benar-benar memelihara akhlak masing-masing, cantik susunan bahasanya dan benar-benar mencerminkan 
keperibadian seorang pemimpin gerakan Islam.

Dulu bukan sahaja wakil seperti Azeez malah dari parti-parti lain termasuk satu dua dari PAS pun lebih kurang sama akhlaknya. Membodohkan orang lain, terpekik-terlolong, menuduh orang lain tidak bersekolah dan sebagainya, syukurlah mereka ini tiada lagi dibangku wakil-wakil PAS di Dewan Rakyat dan orang-orang PAS rata-rata boleh berbangga dan berdiri megah dengan “performance” wakil-wakil mereka.

Biar satu Malaysia lihat, dengar dan amati hujah-hujah wakil-wakil PAS sebenar, inilah contoh pemimpin-pemimpin Islam apabila diberikan amanah dan kepercayaan pada mereka.

Kita mahu lihat wakil-wakil kita mewakili suara Islam sebenar, dan menjadi contoh serta tauldan pada masyarakat diluar yang akhirnya akan mampu diterjemahkan pada undi dalam pilihanraya nanti.

Terus istiqamah, wakil-wakil PAS di Parlimen dan di lain-lain dewan negeri.


No comments: