Monday, November 09, 2015

Nasihat demi kesejahteraan rakyat

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2095 Edisi Isnin muka F15



Kerjasama politik dan kerjasama membantu demi kepentingan rakyat adalah dua perkara yang berbeza.

Ahli parlimen Pasir Mas yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS baru-baru ini memaklumkan wartawan di lobi Parlimen bahawa PAS bersedia memberikan sumbangan kepada kerajaan (Persekutuan). Selama ini PAS dipinggirkan dari terlibat dalam sebarang penyumbangan tenaga dan akal-fikiran ke arah penambahbaikkan negara. ata beliau jika kerajaan benar-benar mahu berubah maka kerajaan perlu libatkan PAS, PKR dan DAP dalam proses perubahan itu.

Beliau sesungguhnya memanjangkan saranan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebelum ini bahawa PAS bukannya hendak berebut jawatan dalam kerajaan tetapi PAS mahu membetulkan dan mengemukakan nasihat dari luar terutama dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan dan masalah rakyat serta negara.

PAS kini mahu mengambil pendekatan pro aktif, ketika  kerajaan ternyata kelemasan dalam menghadapi pelbagai isu dan permasalahan yang tidak kelihatan menjanjikan penyelesaian dalam tempuh terdekat. Keadaan ekonomi tidak menentu, matawang ringgit jatuh menjunam (semasa menulis ini kadar pertukaran 1 dolar Singapura bersamaan RM3.08), harga komoditi dan minyak mentah dunia menurun, kos kehidupan rakyat mencacak naik, terbaru harga tol dan tambang pengangkutan awam pun naik.

Gaji, upah dan pendapatan rakyat tidak menokok sedangkan bebanan hidup mereka terus meningkat.

Dalam keadaan sebeginilah PAS menawarkan sumbangan idea dan pemikiran terutama pendekatan dan penyelesaian Islam bagi membantu negara keluar dari kemelut yang terus mencengkam dan meyusahkan rakyat ini.

Dalam perbahasan Bajet 2016 baru-baru ini umpamanya, wakil-wakil rakyat PAS yang berkesempatan berbahas termasuklah Presiden, Naib Presiden, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda dan lain-lain telah mengemukakan pelbagai cadangan termasuk merubah dasar cukai negara, menambah-baik sistem dan kaedah pentadbiran negara, membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Kaedah pendekatan proaktif seumpama ini dilakukan demi bersama-sama membantu menyelamatkan rakyat dan negara dari terus dihimpit kesusahan. Negara sedang dalam suasana pancaroba, ia perlukan suntikkan nasihat dan idea yang membina demi menyelamtakannya. PAS tidak sanggup melihat hasil dari ketempangan Umno rakyat dan negara porak-peranda. Lantaran itu pelbagai cadangan dan teguran dikemukakan kepada kerajaan dalam usaha ini.

PAS bukannya mahu menghulurkan kerjasama politik. Ia tidak sekali-kali pula mahu menjalin pakatan dengan Umno atau BN. Buat masa ini PAS tetap kukuh bersama rakan politikya PKR setelah rakan lamanya DAP memilih untuk bercerai dengannya.

Buktinya PAS masih mendukung kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato Menteri Besar Azmin Ali dari PKR dan konsisten menaburkan jasa kepada rakyat walaupun hakikatnya tiada lagi kerjasama politik dengan DAP.

Cuma dalam suasana kemelut sebegini PAS merasakan pengalaman dan pengetahuannya khususnya dalam mengemukakan penyelesaian Islam boleh dikongsi bersama kerajaan demi manfaat rakyat dan negara.

Dalam “World Islamic Economic Forum” ke 11 baru-baru ini umpamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui bahawa sejak krisis ekonomi dunia 2008, permintaan terhadap sistem kewangan Islam meningkat secara mendadak diseluruh dunia. Di Malaysia sendiri menurut Perdana Menteri lebih ramai masyarakat bukan Islam menggunakan sistem kewangan Islam berbanding masyarakat Islam dalam urusan urusniaga dan kewangannya.

PAS sejak 60 tahun lalu berterusan mengemukakan kaedah penyelesaian Islam bukan hanya dalam sistem kewangan ini malah dalam seluruh aturcara kehidupan bermasyarakat dan bernegara sebagai satu kaedah alternatif menyelamatkan rakyat dan negara dari kemelut sebagaimana yang kita hadapi hari ini.

Kesungguhan PAS untuk melaksanakan kanun jenayah syariah di Kelantan umpamanya satu lagi contoh dimana pendekatan Islam mahu dikemukakan bagi menjamin keamanan negeri dan menyelamatkan nyawa dan hartabenda rakyat. Mungkin DAP menentang usaha ini, walaubagaimanapun PAS yakin ianya akan didukung dan disokong oleh semua ahli-ahli Parlimen lain yang beragama Islam termasuklah dari Umno dan PKR apabila ia nanti dikemukakan ke Dewan Rakyat.

Malah dalam isu antarabangsa sekalipun dengan kedudukan Presiden PAS sebagai Naib Presdien Kesatuan Ulamak Sedunia selain hubungan akrab PAS dengan gerakan Islam sedunia, sepatutnya PAS dilibatkan dalam isu-isu berkaitan demi manfaat dan kepentingan negara. Konflik di Selatan Thai dan Selatan Filipina selain yang melibatkan masyarakat minoriti Rohingya di Myanmar contohnya sewajarnya diberi laluan kepada PAS untuk bersama terlibat memberikan pandangan dan penyelesaian.

Bukannya jawatan dan kedudukan yang mahu dikejar oleh PAS dalam mengambil inisiatif ini sebaliknya keprihatinan untuk memastikan nasib dan kepentingan rakyat serta negara terpelihara itulah keutamaannya. Ia jangan pula dianggap sebagai satu kerjasama politik seolah-olah PAS mahu lari meninggalkan PKR kerana mengejar Umno sebagaimana DAP lari meninggalkan PAS lantaran tergiur dengan PAN.

PAS adalah satu jenama politik yang telah “establish” di negara ini lantaran berada dipersada politik jauh lebih lama dari mana-mana parti pembangkang yang lain. Ia telah melalui pelbagai cabaran dan tribulasi sepanjang usia politiknya. Istiqamahnya PAS dalam memegang dasar dan prinsip perjuangan Islamnya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak pun malah dihormati dan dipandang tinggi.

Justeru itu PAS muncul dengan berani hari ini menawarkan diri sebagai penasihat. Walaubagaimanapun sebagaimana ditegaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS, kiranya tawaran ini tidak dihargai, PAS sudah bersedia untuk menghadapi Umno dan BN bersama rakan-rakannya PKR dan NGO-NGO yang bersamanya. Samada Umno diberi nasihat atau Umno direhatkan, apa pun PAS sudah bersedia berperanan. roslansms@gmail.com

No comments: