Monday, November 30, 2015

Siapa yang sebenarnya "memperkuda" dan "diperkuda"

Tidak cukup dengan mengkhianti perjuangan PAS apabila lari menubuhkan parti baru. Tidak cukup dengan “mencuri” kerusi yang dimenangi atas tiket PAS. Tidak cukup dengan melanggar sumpah baiah yang diangkat dengan kerelaan diri. Beliau terus menyerang PAS dan kepimpinannya jika dulu dari dalam kini dengan ghairah dan bebas dari luar pula.

Khalid Samad terbaru mendakwa PAS "memperkudakan" PKR dengan meminta parti itu menghalang PAN bertanding dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan kerusi PAS melawan Umno.

Barangkali beliau sungguh terganggu dengan hubungan baik PAS dan PKR dan kini merasakan hubungan itu bakal mengancam kedudukannya dan partinya yang baru lahir mengejut itu.

PAS dan PKR tidak pernah memperkuda atau diperkuda.

Beliau sendiri tahu betapa akrabnya hubungan kedua parti itu, tetapi hari ini kerana PAS sudah menjelma sebagai musuh pada matanya, maka segala yang dilakukan PAS perlu diserang dan diperlekehkan, beliau memang “specialist” atau pakar dalam menyerang dan memburukkan sesiapa sahaja sejak dari dulu lagi.

Apa perlu PAS “memperkudakan” PKR kononnya untuk menghalang PAN dari bertanding pada PRU akan datang. PAS telah tegaskan ia akan kekalkan “status quo” dan bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan kepadanya pada PRU lalu, jika adapun perubahan saya yakin ianya melibatkan pertukaran kerusi atas dasar suka sama suka antara PAS dan PKR.

Siapa PAN?

PAS tiada hubungan dan tidak pernah mengiktiraf PAN.

Dan PAS sedar ia tidak boleh memaksa PKR dalam hubungan mereka dengan Pakatan Harapan, tetapi jika ditakdirkan tiada pilihan lain dan PAS perlu bertembung dengan PAN dan BN dalam pertandingan tiga penjuru, PAS tidak perlu mengadu atau berlutut pada PKR, PAS bersedia lawan siapa sahaja, termasukllah PAN yang tidak pernah ia iktiraf.

Dalam kes Parlimen Shah Alam contohnya, apa faedah PAS perkuda PKR atau sesiapa sahaja kerana sudah pasti PAS akan bertanding dan seluruh jentera PAS akan berkerja keras merampas kembali kerusi PAS yang telah dicuri secara tidak amanah itu.

Mungkin kerana sudah terlalu manja, dan lama dibelai dan diusap diberi dedak serta diperkuda oleh DAP, tiba-tiba bila nampak PAS dan PKR terus akrab, timbul cemburu dalam hati Khalid sehingga mencipta cerita baru untuk menganggu hubungan baik PAS dan PKR.

Khalid ni memang tukang karut berbakat luarbiasa mengalahkan Sabri Yunus dalam “Karoot komedia”. Mungkin jika tidak ahli parlimen lagi Astro boleh mengambil beliau ganti Sabri.

Jangankan orang PAS, orang-orang PKR pun saya percaya kenal sangat peribadi dan akhlak Khalid Samad dan tiap-tiap seorang golongan kecewa yang melukut tepi gantang dalam PAN itu.

Khalid tak perlu berlakon dan menagih simpati. Beliau dan PAN boleh bertanding dimana sahaja kerusi PAS, insyallah jentera dan ahli PAS menunggu-nunggu, tidak sabar, untuk mengajar mereka yang telah mengkhianati perjuangannya itu.

Pergilah mengadu pada DAP, pergilah melutut pada mereka kerana sesungguhnya yang jelas membenarkan diri mereka ditunggangi sejak dari dalam PAS lagi adalah kalangan mereka yang kecewa dan kini duduk dalam PAN. DAP menunggang mereka sejak sebelum PAN lagi dan kini ada PAN mereka terus ditindik hidung dan ditunggangi semahu nafsu DAP.

Cerminlah diri sebelum nak mengata orang.

No comments: