Menurut Datuk Hamidah Othman bekas Ketua wanita Umno Gopeng yang dipecat oleh MT Umno baru-baru ini, "Demokrasi dalam parti (Umno) telah berkubur".
Kata beliau buktinya adalah proses pemecatannya itu tidak mengikut prosedur yang diamalkan Umno. Selain itu katanya budaya menutup mulut ahli-ahli Umno juga tanda betapa demokrasi dalam Umno telah mati. Malah kini katanya sudah ada usaha menghalang orang-orang tertentu dari bercakap dalam Perhimpunan Agung Umno Disember ini.
Beliau dipercayai dipecat kerana menganjurkan program Diskusi Bicara Negara yang menjemput bekas PM dan Presiden Umno Tun Dr Mahathir sebagai penceramah.
Sementara itu dalam NST online hari ini, Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin pula mendakwa bahawa Umno lah parti yang paling demokratik dalam negara berbanding parti-parti politik yang lain. Buktinya para perwakilan di bahagian-bahagian bebas mengundi menentukan pucuk pimpinan partinya.
Selaku Ketua Pemuda dan orang kanan Presiden Umno, sudah pastilah Khairy mahu mempertahakan "boss" nya terutama dari serangan berani Hamidah itu.
Takkanlah beliau mahu bersetuju dengan menyatakan memang demkorasi telah mati dalam Umno. Sebagai pemimpin muda Khairy tentu sahaja beliau mengidamkan jawatan lebih kanan selepas ini, jika Najib yang dulu Ketua Pemuda boleh hari ini menjadi PM, mengapa tidak Khairy satu hari nanti?
Oleh itu jangan lawan arus, ikut sahaja, jika tidak anda akan hanyut dan tersisih sebagaimana Hamidah dan selepas ini Muhyiddin dan Shafie Apdal.
Begitulah demokrasi versi Umno.
Betullah kata Khairy para perwakilan bebas mengundi dalam Umno, tetapi barah "politik wang" yang merupakan budaya yang lahir dari perut Umno itu meletakkan kebebasan mengundi yang dimaksudkan Khairy itu bagaikan satu dongeng.
Benar perwakilan bebas mengundi tetapi undiannya sudah dipengaruhi oleh "RM" yang bukan sikit-sikit disumbatkan ke dalam kocek masing-masing.
Takut berkata benar, dan belayar ikut arus sebagaimana sikap Khairy di atas sesungguhya membenarkan hujah Hamidah.
Ketua Pemuda yang dizaman awal Umno dahulu lantang-lantang belaka hari ini tumpul taringnya, dari singa garang dizaman Allahyarham Jaafar Albar, Haurn Idris, hari ini menjadi tikus mondok yang montel tunggu diusap dan diberi makan.
Sekatan terhadap Muhyiddin merasmikan Persidangan Tahunan sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri 8 Disember ini adalah bukti kebebasan bersuara sudah tiada dalam Umno.
Hamidah yang mahu membuka peluang kepada ahli-ahli Umno mendengar versi Tun Dr Mahathir, mengulas isu-isu semasa berkaitan Umno, terkorban akibat keberaniannya. Masih adakah kebebasan dan demokrasi dalam Umno kalau begitu?
Porak-peranda dalam Umno dijangkan lebih serisu dan meruncing selepas ini.
Kalau hari ini demokrasi dalam Umno telah terkubur, barangkali Umno sendiri tidak lama lagi turut akan ditalkinkan. Sama-samalah kita tunggu.
No comments:
Post a Comment