Thursday, October 29, 2015

Najib, siapa api dalam sekam yang dimaksudkan?

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2092 Edisi Jumaat muka F8


Jumaat lepas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Dato Seri Najib Tun  Razak telah membentangkan Bajet 2016 dengan peruntukkan 267.2 bilion ringgit iaitu 6.5 bilion ringgit lebih berbanding peruntukkan dipinda 2015 yang memperuntukkan 215.2 bilion ringgit.

Anggaran kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2016 adalah sebanyak 225.7 bilion iaitu peningkatan 3.2 bilion ringgit berbanding 2015.

Unjuran hasil dan perbelanjaan ini dijangka mewujudkan defisit fiskal yang menguncup pada 3.1 peratus untuk 2016.

Tema bajet Najib kali ini berbunyi : “Mensejahtera kehidupan rakyat”.

Bajet ini nanti akan dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diluluskan atau sebaliknya. Sekarang ini pun ia sedang hebat dikiritik dan diperbahaskan di media sosial dan media perdana.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali umpamanya menganggap bajet berkenaan sekadar kelihatan indah di atas kertas tetapi hakikatnya terlepas pandang isu-isu besar seperti hutang isi rumah, alam sekitar dan masalah jerebu selain penguncupan nilai ringgit dan pergantungan negara pada hasil minyak.

Selagi rakyat tidak terlepas dari beban kos hidup yang meningkat, kesejahteraan mereka tidak akan terjamin, dan selagi itulah bukan hanya bajet malah keyakinan rakyat pada kerajaan Persekutuan akan semakin terhakis dan terkikis.

Tetapi bagi pemerhati politik selain membahaskan perincian Bajet 2016 ini, satu perkara yang menarik yang terkandung dalam ucapan Najib kali ini adalah serangan sinisnya pada satu sasaran yang spesifik.

Di satu bahagian ucapannya itu Najib menyebut:

“Lalunya berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia yang tercinta ini kita berasa kesal bahkan sebenarnya kita amat-amat kesal dengan tindak tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam mahupun luar yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

Pada kita perbuatan segelintir pihak ini akan hanya memporak perandakan sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.

Waima wujud setengah orang yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka atau terduga-duga ibarat api di dalam sekam, menjadi gunting di dalam lipatan.”

Ucapan Bajet Menteri Kewangan dan dalam hal ini  juga Perdana Menteri Malaysia secara tradisinya di tayangkan secara langsung oleh TV dan siaran langsung radio selain teksnya tersiar dalam kebanyakkan akhbar keesokkan harinya.

Apabila ucapan sepenting itu mengandungi serangan sinis pada pihak-pihak tertentu sudah pastilah ia mengundang perhatian negara, siapakah agaknya yang dimaksudkan oleh Najib itu sehingga perlu memasukkannya dalam teks bajetnya itu.

Kata Najib beliau berhadapan dengan individu atau kelompok yang merupakan api di dalam sekam dan gunting dalam lipatan. Peribahasa Melayu yang dipetik ini merujuk kepada mereka yang mencetuskan onar dan mahu memporak-perandakan suasana sehingga merugikan semua pihak.

Sudah pastilah dalam suasana negara yang pincang akibat ditadbir oleh mereka yang tempang, kehadiran pengkhianat seumapama ini tidak akan membantu sama-sekali. 

Siapakah pengkhianat yang dimaksudkan Najib itu?

Kalau beliau menuding ke arah partinya sendiri, memang kebelakangan ini serangan bertalu-talu dilontarkan oleh pelbagai pihak dalam Umno khasnya terhadap beliau dan ini bukan rahsia lagi. Rakyat sudah mendengar dan membaca betapa Timbalan Presiden berserta Naib Presidennya telah mengkritik beliau secara terbuka dan mereka pun telah dilucutkan dari jawatan kabinet masing-masing. Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir juga menyerang beliau dan demikian juga bekas Setiausaha Agung Umno Sanusi Junid. Dan tidak terkecuali ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Selain itu beberapa pimpinan Umno di peringkat cawangan dan bahagian disamping Pergerakan Pemuda dan wanita masing-masing dilaporkan turut mensasarkan Presiden mereka.

Adakah mereka ini yang dimaksudkan Najib yang mempunyai kemampuan memporak-peranda dan memusnahkan negara?

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang pertama memberikan reaksi menafikan beliau dalam kelompok yang dimaksudkan. Dalam satu majlis forum anjuran sebuah akhbar harian baru-baru ini beliau dilaporkan berkata:

"Saya bukan gunting dalam lipatan atau api dalam sekam, tak mungkin saya akan berbuat begitu kerana saya sayangkan Umno,"

Setelah dilucutkan dari jawatan kedua tertinggi dalam negara sudah pastilah Muhyiddin akan menafikan beliaulah pengkhianat yang dimaksudkan Najib itu. Dan saya percaya beberapa orang suspek lain turut akan membuat penafian yang sama mungkin termasuklah Tun Dr Mahathir, Shafiee Apdal, Sanusi Junid, Tengku Razaleigh dan malah MB Kedah Mukhriz Mahathir.

Kalau semua menafi, siapakah pengkhianat yang dimaksudkan?

PAS umpamanya telah mengenal-pasti siapa pengkhianat dalam partinya, dan mereka ini pun telah keluar parti melahirkan parti baru, melepaskan PAS dari api dalam sekam dan gunting dalam lipatan yang mengancam kestabliannya selama ini.

Bagi Najib bagaimana, siapakah mereka itu?

Apabila Perdana Menteri mengumumkan ada anasir seumpama ini yang mampu mengancam kestabilan negara, beliau bertanggungjawab untuk menjelaskannya. Sekurang-kurangnya jika mereka itu telah melakukan sebarang kesalahan, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.

Dalam keadaan negara pincang dengan kos hidup yang mencengkan dan ekonomi yang tidak menentu, kita tidak mahu kestabilan negara pula terancam.

Saya mengharapkan setidak-tidaknya ahli-ahli Parlimen PAS perlu bangkit semasa perbahasan Bajet 2016 nanti, minta Menteri Kewangan dan Perdana Menteri untuk jelaskan siapakah pengkhianat negara yang beliau maksudkan itu. roslansms@gmail.com
 

No comments: