Thursday, October 22, 2015

Himpunan Fastaqim tanda PAS sudah bersedia

Pastinya kemegahan dan kejayaan Himpunan Fastaqim (H60K) di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini terus meniti di bibir ramai. Mereka yang kagum dan terharu termasuklah mereka yang gerun dan barangkali benci terus menjadikan himpunan berkenaan sebagai tajuk bualan dan bahan perbahasan hingga hari ini dan entah sampai bila-bila.

Komitmen dan kesungguhan ahli-ahli PAS yang istiqamah bersama gerakan Islam PAS ini membuahkan kejayaan yang begitu besar dan bermakna disaat ramai menelah dan menjangkakan bahawa PAS sudah semakin dingin dan dipinggirkan ekoran perkembangan politik semasa kebelakangan ini.

Bagi orang-orang PAS mereka tahu dan dapat merasakan bahawa sejak mereka diserang dan ditekan termasuklah dikhianati oleh sahabat-sahabat sendiri, parti mereka bukannya menjadi semakin lemah sebaliknya semakin berdiri gagah, ahli-ahli semakin merapatkan saf memperteguhkan jemaah dan malah keahlian parti turut semakin meningkat.

Barangkali mana-mana parti lain yang ditimpa nasib yang sama tidak mungkin dapat bertahan lama, malah boleh saja jatuh terlentang gulung tikar begitu sahaja. Tetapi anehnya PAS terus gagah, ahlinya semakin bersatu dan Himpunan  Fastaqim tempuh hari menjadi bukti hakikat ini buat semua.

Inilah membezakan PAS dengan parti-parti lain. Islam yang ia junjung dan martabatkan akan selama-lamanya menjadi obor kekuatan membakar semangat ahli-ahlinya yang tidak mudah mengalah dan putus asa.

Kerana itu pada pandangan saya siapa sahaja yang mahu berkawan dan mengikat kerjasama politik dengan PAS tidak sekali-kali akan rugi. Mereka berkawan dengan sebuah parti yang ahli-ahlinya istiqamah, penuh berdisiplin dan mempunyai jati diri yang luarbiasa. DAP umpamanya tahu akan rahsia kekuatan PAS ini, cumanya mereka terlalu gelojoh sehingga mahu menguasai pula arah dan halatuju PAS, mereka mau menjadi pengarah bukan lagi kawaan. Mereka tidak sedar Islam yang PAS junjung tidak sekali-kali akan ia gadaikan walau berkawan dengan sesiapa pun, itu prinsip yang PAS pegang sejak zaman-berzaman.

Himpunan Fastaqim baru-baru ini turut diadakan bersempena ulangtahun ke 25 pemerintahan PAS di negeri Kelantan, tiada mana-mana parti atau gerakan Islam punya rekod pemerintahan sekian lama selain PAS tegas Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Mengimbau kembali sejarah asal-usul penubuhan PAS di Kelantan lebih 60 tahun lalu, pasti akan mendorong ahli-ahli PAS hari ini semakin teguh istiqamah pada perjuangan keramat ini. Hari ini PAS memerintah Kelantan lebih 25 tahun berturut-turut dari 1990-2015, sebelumnya selama 19 tahun dari 1959-1978. Lantaran keikhlasan, kesungguhan dan pengorbanan mereka yang terdahulu telah membawa PAS kepada kedudukan yang ia ada pada hari ini khususnya di Kelantan.

Menurut Hj Mohd Amin Yaakub di dalam bukunya : “Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990 (terbitan Pusat Kajian Strategik 2001)” mereka yang terdahulu telah tabah melalui kesusahan demi memperjuangkan PAS. Antara pengalaman penulis sebagaimana dinukilkan dalam bukunya itu:

“Allahyarham Mohd Daud Hj Salleh (pengasas PAS Kota Bharu) bersama dengan penulis sendiri menaiki bas dari Kota Bharu dan turun di simpang tiga Kg Kadok untuk menghadiri majlis perjumpaan yang akan diadakan di masjid Imam Abdul Rahman Awang Sulong di Mukim Beta Hulu. Menurut penulis mereka berjalan kaki sehingga masuk waktu Maghrib sedangkan perjalanan masih jauh, jadi solat Maghrib terpaksa dikerjakan disebuah wakaf yang berada di tepi jalan tersebut. Selepas itu mereka meneruskan perjalanan ke Majis Mukim Beta Hulu dan sempat menuanikan solat Isyak berjemaah di masjid tersebut….”

Demikianlah satu contoh pengorbanan mereka yang terdahulu, yang meredah kampung dan halaman, berjalan kaki demi menegakkan perjuangan Islam ini, apalah sangat berbanding pengorbanan kita bermotosikal, berkereta dan berbas dari kawasan masing-masing ke Kota Bharu bagi menghadiri Himpunan Fastaqim.

Bermula dari berjalan kaki lebih 60 tahun dahulu berkempen, hari ini PAS memerintah Kelantan selama 25 tahun berturut-turut!

Kisah Hj Mohd Amin lebih 60 tahun lalu tidak berkahir di situ, beliau menyambung di dalam bukunya:

“Oleh kerana tiada kenderaan mereka terpaksa bermalam di masjid Imam Abdul Rahman. Pagi esoknya mereka terpaksa berjalan kaki pula untuk ke simpang tiga Kg. Kadok dan menumpang bas pagi pulang ke Kota Bharu untuk menjalankan tugas sara hidup masing-masing seperti biasa. “

Semangat pengorbanan yang dianjurkan oleh Islam memang telah diwarisi dan diamalkan sebagai sebahagian dari hidup dan amalan orang-orang PAS sejak parti ini ditubuhkan. Kesusahan mereka yang terdahulu merintis jalan buat PAS telah dan akan terus dikenang dan dihargai malah diulangi lipat kali ganda lagi demi mengejar keberkatan perjuangan.

Inilah kekuatan orang-orang PAS yang telah menggegar dan membuka hati sanubari rakyat jelata pelbagai kaum khasnya masyarakat Melayu Islam dari di perkampungan nelayan, sehinggalah sawah dan kebun di tanah-tanah rancangan, kampong tradisional sehinggalah ke bandar. Mereka menolak politik yang mementingkan diri, politik khianat dan bongkak, dan menerima secara terbuka kesungguhan dan keikhlasan politik Islam yang dibawa PAS.
Oleh itu sekali lagi diulangi bahawa istiqamah orang-orang PAS ini sewajarnya menjadi kriteria penting bagi kawan-kawan untuk menjalin kerjasama politik dengannya. Setakat ini PKR yang kelihatan bijak mahu meneruskan kerjasama politik dengan PAS demi mahu mengejar agenda membawa perubahan sehingga ke Putrajaya.

PAS sebagaimana ditegaskan dalam Himpunan Fastaqim ini sudah bersedia untuk melangkah ke hadapan. Kejayaan Kongres Rakyat tempoh hari yang menggabungkan lebih 200 NGO membuktikan kesediaan PAS untuk bersama masyarakat sivil memikul tuntutan nasib dan cita-cita rakyat untuk diperjuangkan secara terbuka dikepalainya dan rakan-rakan.

Semoga kerjasama politik PAS dan PKR dapat diperkukuh dan dipertingkatkan melalui kebijaksanaan dan jauhnya bacaan politik pemimpin-pemimpin mereka seumpama Dato Seri Anwar, Dr Wan Azizah dan Azmin Ali.

Dalam 25 tahun PAS memegang teraju di Kelantan, 6 pilihanraya umum telah ia lalui. Ada yang melalui kerjasama politik dengan parti-parti kawan dan ada juga yang ia bertarung secara bersendirian.

Apa pun PAS akan terus menjulang panji-panji perjuagan Islam ini. Himpunan Fastaqim menjadi manifestasi kesiapsediaan PAS untuk melonjak ke hadapan. Soalnya samada bersendirian ataupun dengan kerjasama kawan-kawan. Isyaratnya PAS sudah bersedia. roslansms@gmail.com

No comments: