Tuesday, October 20, 2015

Formula Kit Siang tak masuk akal

Rakan saya yang merupakan seorang pengamal media baru sahaja menghubungi saya minta saya mengulas formula yang dikemukakan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang pada PAS untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang.

Formula tersebut kononnya bagi mengelakkan PAS bertembung dengan rakan baru Kit Siang hari ini iaitu Parti Amanah yang bersama PKR dan partinya hari ini menubuhkan pakatan politik baru iaitu Pakatan Harapan.

Formula itu kononnya meminta PAS memberi tumpuan dan bertanding di negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu sahaja, manakala negeri-negeri selebihnya diserahkan ke Parti Amanah iaitu merujuk kepada kerusi-kerusi Melayu/Islam yang ditandingi PAS sebelum ini.

Tidakkah ini membuktikan betapa akrab dan sayangnya Kit Siang pada Amanah yang merupakan parti baru yang menghimpunkan mereka yang telah mengkhianati perjuangan PAS. Terlalu akrab dan sayangnya Kit Siang pada mereka sehingga ia lupa bahawa PAS memiliki 3 kerusi Parlimen dari luar negeri-negeri tersebut iaitu Bukit Gantang, Temerloh dan Hulu Langat tidak termasuk 4 yang telah dicuri Amanah iaitu Parit Buntar, Sepang, Kota Raja dan Shah Alam. Kesemua ini dimenenagi atas tiket PAS.

Selain itu PAS punya puluhan lagi kerusi-kerusi DUN di negeri-negeri lain termasuk Pahang, Perak, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Melaka sebelum beberapa dicuri juga oleh Amanah.

Formula ini terlalu dangkal danlebih mahu menyelamatkan nasib Amanah dan ia jelas menghina PAS.

Malah Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang pun telah memberikan jawapan sebagaimana dipetik oleh BERNAMA baru-baru ini:

PAS menolak cadangan pembahagian kerusi yang dicadangkan bekas rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP, untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan bertanding di seluruh negara, malah akan menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya.

"Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh negara...belum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan raya umum). Kita bukan parti kenegerian dan parti perkauman," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Fastaqim (Himpunan Kebangkitan) di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Sabtu malam.

Saya tidak pernah melihat satu cadangan yang separuh masak begini yang pernah terbit dari kepala Kit Siang yang terkenal dengan idea-idea hebatnya. Mungkin kerana mabuknya beliau dalam menjalin kasih-sayang dengan pimpinan Amanah yang dilahirkannya itu, maka akibat dari itu beliau telah terbit dengan cadangan yang tidak masuk akal ini.

PAS punya jentera dan kekuatan akar umbi seluruh negara dan malah di Selangor, PAS merupakan sebahagian dari kerajaan negeri. Takkanlah PAS mahu tutup semua bilik gerakannya di negeri-negeri ini dan berhijrah ke Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, meninggalkan negeri-negeri lain yang telah ia terokai dan bangunkan selama puluhan tahun senang-senang kepada Amanah?!

Saya percaya seluruh ahli dan penyokong PAS bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Presidennya. PAS tiada ikatan apa sekalipun dengan Amanah malah dengan DAP sekalipun. Untuk itu PAS wajar mempertahankan semua kerusi yang pernah ia tandingi sebelum ini dan wajar juga menimbanng bertanding dibeberapa kerusi tambahan termasuklah yang ditandingi DAP.

Dewan Himpunan Penyokong PAS sentiasa bersiap sedia bertanding di kerusi-kerusi yang dimaksudkan.

Kit Siang tak perlulah bersusah payah fikirkan PAS. PAS tahu membawa dirinya kerana PAS jauh lebih dewasa dari DAP sendiri. Kerana ghairah dan taksub akan Amanah, maka bersedialah DAP duduk setaraf dengan BN dan Umno pada pandangan PAS.


No comments: