Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2088 Edisi Jumaat muka F8
Pada tahun 2000, iaitu kira-kira 15 tahun yang lampau, ketika Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor, menyandang jawatan Presiden PAS dan Ketua Pembangkang di Parlimen beliau pernah berdoa meminta agar Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohammad, agar dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk beliau melihat sendiri kemusnahan hasil dari kezaliman yang telah dilakukan olehnya sendiri semasa memegang jawatan.
Hari ini Almarhum Ustaz Dato Fadzil sudah lama tiada, namun
samada secara kebetulan ataupun sebaliknya, Tun Dr Mahathir walaupun sudah
bersara lebih 12 tahun dahulu tetapi masih sihat dalam usia yang kini mencecah
90 tahun.
Tun Dr Mahathir dilanjutkan usia untuk menyaksikan dua orang
Perdana Menteri selepas beliau, Tun Abdullah Badawi dan kini Datuk Seri Najib
Tun Razak berkuasa.
Anehnya Tun Dr Mahathir tidak pernah kelihatan duduk berihat
diusia persaraannya. Sejak dari zaman Tun Abdullah dan lebih-lebih lagi di
zaman Datuk Seri Najib ini, beliau begitu vokal dan sering dilihat ke hadapan
khasnya dalam mengkritik dan menentang polisi dan dasar kerajaan serta
kepimpinan Perdana Menteri itu sendiri.
Dulu Tun Abdullah dituduhnya seorang Perdana Menteri yang
lemah. Dan hasil dari tekanan khasnya dari kalangan dalaman Umno sendiri, Tun
Abdullah telah terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menterinya sungguhpun baru
memegang jawatan tertinggi negara itu dalam tempoh sekadar 6 tahun berbanding
Tun Dr Mahahtir yang memegang jawatan berkenaan selama 22 tahun.
Kini beliau mensasarkan pula serangannya terhadap Perdana
Menteri Datuk Seri Najib iaitu orang yang sama yang beliau tonjolkan untuk
menggantikan Tun Abdullah dahulu.
Dalam “posting”
terbaru blognya, Tun Dr Mahathir telah menuduh bahawa Malaysia hari ini telah
menjadi “pariah state” ekoran tindakan kerajaan khasnya Datuk Seri Najib dalam
menyalahgunakan undang-undang demi melindungi kes skandal 1MDB. Menurut Tun Dr
Mahathir sesiapa sahaja boleh ditangkap,
disoal siasat dan ditahan serta didakwa dengan menyalahgunakan undang- undang
negara di bawah kepimpinan Perdana
Mneteri hari ini.
Beliau dipercayai menerbitkan komen yang keras itu berikutan
penahanan bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya,
Matthias Chang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012
(SOSMA) kerana membuat laporan antarabangsa mengenai syarikat 1MDB.
Istilah “Pariah state” ini merujuk kepada sesebuah negara
yang telah tekeluar dari amalan atau norma antarabangsa. Ia mengamalkan dasar
yang provakatif dan bertentangan dengan amalan negara-negara dunia yang lain.
Negara seperti ini biasanya dipulaukan oleh dunia.
Itulah Malaysia hari ini menurut Tun Dr Mahathir.
Menurut Tun Dr Mahathir lagi, Malaysia menjadi “pariah
state” apabila Pejabat Peguam Negara akan menolak ke tepi apa sahaja laporan
salah laku terhadap Perdana Menteri. Malahan sudah ada pemimpin kerajaan yang mengatakan bahawa tidak ada sesiapa
termasuklah pihak Raja-raja yang berhak memberi komen terhadap penyalahgunaan
undang-undang oleh pihak kerajaan.
Harus diakui bahawa Malaysia hari ini sedang berhadapan
dengan delima krisis keyakinan. Rakyat amnya sudah mula mempertikaikan dasar
dan cara pentadbiran negara yang kelihatan lebih merugikan dari membawa
pulangan yang memanfaatkan rakyat dan negara.
Benar sebagaimana telahan Tun Dr Mahathir bahawa kepimpinan
Perdana Menteri mula dipertikaikan bukan hanya oleh pihak pembangkang tetapi
hari ini suara bantahan dan protes kedengaran dari rakyat di akar umbi
sehinggalah dari kalangan ahli-ahli dan pimpinan Umno dan BN sendiri malah
melangkaui sehinggalah ke serambi istana.
Isunya jika benar Malaysia hari ini berstatus “pariah state”
umpama Korea Utara, sebagaimana tuduhan Tun itu adakah jari kita wajar menuding
ke arah Datuk Seri Najib seorang sahaja atau adakah pihak-pihak lain juga yang
terpaksa menanggung kesalahan ini?
Jawapannya mungkin dapat dibaca kiranya kita meneliti doa
Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor tadi.
Kerajaan Persekutuan Malaysia ini dipimpin sejak Merdeka
oleh hanya satu kuasa politik. Dahulunya Perikatan dan kini Barisan Nasional
yang bertulang-belakangkan Umno sejak zaman-berzaman. Bermula dengan Tunku Abd
Rahman, diikuti Tun Abd Razak, Tun Hussien, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan
kini Datuk Seri Najib.
Bermakna apa yang diwarisi hari ini oleh Datuk Seri Najib
sesungguhnya adalah apa yang ditinggalkan oleh pimpinan yang terdahulu dari
beliau termasuklah Tun sendiri.
Kalau itulah ukuran Tun terhadap Datuk Seri Najib,
berdasarkan apa yang nyata, kita akui ada asas dan kebenarannya. Namun kalau
benar Malaysia “pariah state” sesungguhnya ia telah demikian bukan hari ini
malah sejak dari zaman Tun lagi.
Kalau lantaran kes 1MDB ini serta tindak-tanduk Pejabat
Peguam Negara yang meragukan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa itu, apa
kurangya dizaman Tun Perdana Menteri dahulu?
Mungkin kerana beliau Perdana Menteri diwaktu Almarhum Ustaz
Dato Fadzil dahulu, maka beliau tidak sedar apa yang telah dilakukannya, yang
mungkin hari ini diwarisi Datuk Seri Najib.
Dizaman Tun dahulu contohnya jangankan satu dua tangkapan
sebagaimana yang digunakan melalui SOSMA hari ini untuk memadamkan suara
bantahan, semasa beliau PM dahulu cotohnya dalam tempoh 48 jam melalui Operasi
Lalang pada tahun 1987 beliau telah menangkap tanpa bicara di bawah ISA seramai
rekod 106 orang penentangnya. Beliau juga dalam tempoh itu telah membatalkan
lesen percetakkan 3 buah akhbar iaitu The Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh.
Hari ini Tun menuduh Peguam Negara seakan “tali barut” buat
Perdana Menteri. Dulu semasa beliau PM jangankan Peguam Negara, Ketua Hakim
Negara yang tidak tunduk padanya telah dipecat dan hakim-hakim yang cuba
membela dan menegakkan keadilan turut dikenakan tindakan yang sama.
Mungkinkah Tun Dr Mahathir sedang menyaksikan kezaliman yang
pernah beliau pupuk dan bina satu hari dahulu, kini menjelma di hadapannya
sebagaimana doa Almarhum Ustaz Fadzil dahulu?
Benar, tindak-tanduk Datuk Seri Najib hari ini merugikan
negara. Itu tidak sedikit pun kita pertikaikan cumanya apabila yang bangkit
mengkritik itu adalah Tun Dr Mahathir sendiri, sewajarnya Tun disedarkan bahawa
apa yang ada hari ini sebenarnya adalah kerja tangan beliau sendiri. Beliau
sepatutnya orang yang terakhir yang mengkritik, kerana kepincangan dizamannya
jika tidak setanding barangkali lebih kronik dari yang ada hari ini.
Lantaran itulah saranan Presiden PAS agar Umno dirihatkan
sangatlah relevan apabila mengambil kira keseluruhan kepincangan yang telah dan
sedang berlaku di hadapan mata kepala kita hari ini angkara pemimpin-pemimpin
Umno silih-berganti.
Semoga Allah swt mencucuri rahmat
dan kasih sayangnya ke atas roh Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor. Alfatihah. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment