Baru-baru ini bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Tan Sri Yuen
Yuet Leng telah meninggal dunia pada usia 88 tahun. Beliau merupakan salah
seorang wira negara kerana terlibat dalam pelbagai operasi menentang pengganas
kominis dan turut terlibat dalam membawa mereka kemudiannya ke meja perundingan
sehingga termetrainya Perjanjian Damai Hatyai 1989.
Jika mendiang berusia 88 tahun bermakna beliau telah bersara
sekitar awal tahun 1980an.
Saya membawa perkara ini kerana teringat baru-baru ini bekas
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khoo Ah See yang juga pernah terlibat
dalam operasi bersama Pasukan Polis Hutan (PPH) menentang pengganas kominis
sekitar tahun 60an sehingga 80an, ada menulis di ruangan surat pembaca dalam
akhbar The Star.
Datuk Khoo dalam suratnya merayu bagi pihak bekas anggotanya
dalam pasukan polis khasnya PPH yang pernah banyak berjasa kepada negara dalam
tempoh 60-80an apabila menghadapi keganasan pihak PKM. Beliau memohon agar
kerajaan memberi perhatian pada kebajikan mereka ini.
Kata Datuk Khoo dengan kegawatan ekonomi hari ini dan kos
sara hidup yang meningkat, beliau tidak dapat membayangkan bagaimanakah agaknya
keadaan hidup mereka. Kiranya mereka iaitu anggota polis pangkat rendah,
bersara sekitar 10 ke 15 tahun dahulu, iaitu tahun 2000-2005, dan pencen mereka adalah 50% gaji
pokok terakhir sudah pastilah ianya terlalu kecil untuk hidup hari ini.
Bagaimana pula mereka yang bersara sekitar tahun 1980an
sebagaimana mendiang Tan Sri Yuen?
Kata Datuk Khoo yang beliau tahu seorang sub inspektor menerima
pencen sekitar RM1400. Cukupkah jumlah itu bagi menampng zaman tua mereka dan
isteri pada hari ini? Bagaimana dengan konstabel yang pencen yang sudah tentu
lebih rendah lagi jumlah pencennya.
Tambah Datuk Khoo lagi semasa beliau bersama anggotanya
dalam PPH menghadapi pengganas kominis dulu, berbagai cabaran telah mereka
hadapi di hutan. Ini termasuklah terpaksa menghadapi keadaan pakaian dan kasut yang
lembap dan basah semasa di hutan berhari-hari. Kadangkala mereka terpaksa
bermalam dalam keadaan demikian apabila situasi memaksa. Keadaan sedemikian
dimasa muda sudah pasti menganggu kesihatan mereka di usia yang lanjut kini.
Mereka telah berkorban untuk negara. Tanpa mereka barangkali
para pengganas kominis berkemungkinan masih menjadi anacaman buat negara.
Menurut Datuk Khoo beliau pernah berjumpa dengan seorang
bekas Sarjan yang berkhidmat dalam unit komando Polis yang sekarang berusia
sekitar 70an tahun. Demi mendapatkan rezeki yang lebih sarjan tadi terpaksa
berkeja sebagai pemotong rumput ditepi jalan di Ipoh. Adilkah seorang wira
terpaksa melakukan demikian di usia 70an tahun?
Wajar sangatlah pihak kerajaan memandang serius nasib
wira-wira kita ini khasnya yang telah menggadai dan mengorbankan nyawa demi
keselamatan dan kedaulatan negara. Bilangan mereka pun sudah tidak ramai
dikalangan kita.
Dalam surat beliau Datuk Khoo mencadangkan agar pencen mereka
yang terlibat ini dinaikkan 50%. Apalah sangat kenaikkan kecil ini dibandingkan
dengan jasa mereka yang terlalu besar itu.
Mudah-mudahan dalam sidang belanjawan nanti jika perkara ini
tidak diberi perhatian, mohon ahli-ahli parlimen kita menyuarakannya. Belalah
nasib mereka yang selama ini terabai.
No comments:
Post a Comment