Friday, October 09, 2015

Rakyat Malaysia bersatu berjuang menentang kominis



 Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2086 Edisi Jumaat muka F8

Pagi 1 Oktober lepas seorang lagi wira negara pergi meninggalkan kita. Pada usia 88 tahun Tan Sri Yuen Yet Leng bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak telah meninggal dunia kerana serangan jantung.

Beliau dan ramai lagi bekas anggota polis dan tentera, ada yang masih hidup dan ramai yang telah pergi meninggalkan kita, sesungguhnya telah menabur jasa mempertahankan tanahair khasnya semasa negara berhadapan dengan ancaman pihak Parti Kominis Malaya (PKM).

Ancaman keganasan dan serangan gerila PKM yang mahu menjadikan Malaya dan kemudiannya Malaysia sebuah Republik yang berfahaman kominis telah bermula sejak parti berkenaan diharamkan oleh pihak penjajah British pada tahun 1948. Diketika itu anggota PKM telah memutuskan berjuang mengangkat senjata bagi menuntut kemerdekaan peringkat awalnya menentang British dan kemudiannya terhadap kerajaan Malaysia yang Merdeka.

Perjuangan bersenjata mereka berakhir dengan Pejanjian Damai Hatyai pada 2 Disember 1989, iaitu hampir 41 tahun yang telah menyaksikan ribuan rakyat Malaysia, tentara dan warga British tercedera dan terkorban akibat perjuangan sia-sia mereka.

Antara tokoh-tokoh besar yang telah mati dibunuh oleh PKM dan sekutunya sepanjang tempuh berkenaan termasuklah Sir Henry Gurney bekas Pesuruhjaya Biritsh ke Malaya di tembak mati di Bukit Fraser 1951, Tan Sri Abd Rahman Hashim bekas Ketua Polis Negara ditembak mati di Kuala Lumpur 1974, dan Tan Sri Khoo Chong Khong bekas Ketua Polis Perak ditembak mati di Ipoh 1975.

Ini tidak termasuk ratusan lagi anggota pangkat rendah yang terkorban atau tercedera angkara keganasan pihak PKM.

Malah mendiang Tan Sri Yuen sendiri pernah ditembak di dada semasa bertempur dengan pihak pengganas ini pada tahun 1951. Saya difahamkan serpihan peluru berkenaan masih tersangkut ditubuhnya dan dibawa bersama-samanya sehingga beliau meninggal dunia.

Selain tokoh, individu dan kumpulan yang menjadi mangsa ratahan kejam dan ganas pihak PKM ini, rakyat Malaysia tidak sekali-kali boleh lupa akan beberapa peristiwa serangan yang dilancarkan oleh mereka sepanjang kempen berdarah mereka selama 41 tahun itu.
Seawal 1949-1950 dua peristiwa berdarah yang besar telah berlaku di tanahair angkara keganasan PKM ini. Pertama adalah kejayaan mereka menyerang dan menawan Pekan Gua Musang termasuk Balai Polisnya selama beberapa hari dan keduanya pada Febuari 1950 adalah serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Johor yang telah mengorbankan lebih 20 anggota polis, isteri mereka dan orang awam.

Pada 26 Ogos 1975 pihak pengganas telah mengebom Tugu Negara dan dua minggu kemudian melontarkan bom ke Kem Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, ketika anggota PPH sedang berlatih kawad yang telah mengorbankan dua angota polis manakala 41 lain tercedera.

Kesemua tindakan ganas dan kejam ini dilancarkan oleh PKM semata-mata kerana mahu merampas kuasa dan mengibarkan bendera bintang tiga mereka dan memerintah tanahair dengan fahaman kominis yang ditolak oleh Islam itu.

Jika tidak kerana kecekalan, keberanian dan keperwiraan mereka seumpama mendiang Tan Sri Yuen dan ramai lagi yang telah mengorbankan nyawa dan tenaga untuk tanahair tercinta barangkali hari ini kita belum tentu mengecapi kemerdekaan. Barangkali kita seumpama Korea Utara duduk terbelenggu di bawah regim kominis yang kuku besi dan kejam.

Apalah nasib rakyat Malaysia, apalah nasib Islam di bawah regim sedemikian.
PAS sejak dari awal-awal penubuhannya menolak dan menentang ideologi kominis apalagi perjuangan PKM. Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi semasa menyampaikan pidatonya semasa Persidangan Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada bulan Disember 1956 telah menyatakan:

“Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah bertentangan dengan aliran dan faham komunis. Islam dan komunisma tidak, dan tidak dapat disesuaikan.”

Bekas pemimpin PKM mendiang Chin Peng yakin bahawa Malaya dan kemudiannya Malaysia boleh maju dan makmur di bawah fahaman kominis. Beliau dan anggota pengganasnya berjuang mengangkat senjata bagi mengejar cita-cita ini walaupun kemudiannya selepas Merdeka terpaksa berhadapan dengan anak-anak bangsa sendiri yang bangkit mempertahankan kemerdekaan negara yang sangat bernilai dan bermakna ini.

Sebelum ini sikap beberapa pimpinan PAS tentang perjuangan kominis ini sungguh mengelirukan sehingga mengguris hati dan perasaan kalangan penyokong PAS khasnya mereka yang terdiri dari bekas tentera dan polis serta keluarga mereka.

Bekas Timbalan Presiden Mohammad Sabu contohnya pernah menganggap bahawa perjuangan PKM adalah sebahagian dari perjuangan kemerdekaan yang perlu diiktiraf dan bahawa serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong itu sesungguhnya serangan ke atas kekuatan British sedangkan yang mati terkorban adalah anak-anak watan sendiri.

Seorang lagi bekas pemimpin PAS, iaitu Hanipah Maidin pula telah menyokong cadangan agar abu mayat mendiang Chin Peng yang merupakan tokoh pengganas PKM nombor satu, diizinkan dibawa pulang dari Bangkok untuk disemadikan di tanahair dengan menganggap Chin Peng sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

Ini sama sekali bertentangan dengan sikap dan pendirian PAS yang menolak perjuangan kominis apatah lagi PKM.

Contoh terbesar sikap ini adalah apabila Almarhum Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat pada tahun 2004 telah berkeras menolak pencalonan seorang pemimpin kanan PKR untuk bertanding di parlimen Kota Bharu kerana pemimpin berkenaan cenderung dengan fahaman sosialis. Kata Almarhum ketika itu bahawa selama ini rakyat Kelantan dididik bahawa sosialisma itu merupakan “adik beradik” kominis, maka meletakkan calon sedemikian di Kelantan sangatlah tidak sesuai.

Akhirnya PKR telah menukar calonnya di Kota Bharu ketika itu.

Dalam satu kenyataan akhbarnya sempena Hari Kemerdekaan Negara pada tahun 2011 Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ada menyebut:

“Semua manusia tidak kira latar belakang mempunyai naluri untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka jasad dan akal fikirannya. PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok Timur atau Barat”.

Mujurlah bekas-bekas pemimpin yang disebutkan di atas hari ini sudah tiada lagi bersama PAS.

Kesimpulannya perjuangan mereka seumpama mendiang Tan Sri Yuen dan yang lain-lain ini perlu dihargai, diiktiraf dan diberi pembelaan sewajarnya oleh pihak kerajaan. Mereka menggadaikan nyawa demi kita dapat hidup aman dan bebas. Begitu besar jasa dan pengorbanan mereka yang sewajarnya dihargai dengan pembelaan terhadap nasib dan kebajikan mereka dan kaum keluarga mereka. roslansms@gmail.com

No comments: