Monday, October 19, 2015

Mengapa DAP menghalang dan menentang?



Semalam dianjurkan satu forum di Petaling Jaya bertajuk "Tanpa PAS ke mana Pakatan Harapan".

Saya akan mengulas pandangan salah seorang ahli panel forum berkenaan iaitu pemerhati politik, yang kebetulan kenalan saya Lim Hong Siang dalam posting lain.

Pada posting ini saya mahu “highlight” kan pandangan Naib Presiden PKR YB Tian Chua yang juga ahli Parlimen kawasan Batu dalam forum berkenaan.

Kata Tian Chua PAS dan DAP seharusnya bersatu dengan mengenepikan perbezaan mereka khususnya mengenai isu Hudud. Menariknya Tian Chua menyebut:

"Sampai kiamat pun kita tidak dapat selesaikan masalah ini. Selagi Islam ada, mesti ada orang hendak naikkan isu hudud ini. Selagi negara kita berbilang kaum, selagi kita berpijak di bumi nyata ini, isu perbezaan politik, perbezaan dalam ideologi ini akan wujud. Tidak mungkin kita akan satukan semua supaya kita setuju dengan satu sistem,”

Demikianlah pandangan seorang ahli politik bukan Islam yang matang dan ternyata jauh bacaan politiknya.

DAP mungkin tidak bersetuju dengan pandangan Tian Chua ini tetapi itulah hakikatnya.
Mana mungkin parti lain mahu mengatur, campurtangan apalagi membantah ideologi dan fahaman parti kawan yang lain. Tetapi itulah yang telah DAP lakukan pada PAS sehingga mengeruhkan hubungan anatara kedua parti dan akhirnya mengakibatkan ianya renggang dan putus sama-sekali.

Islam adalah agama rasmi Persekutuan namun setiap agama lain dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan, bebas mengamalkan agama dan kepercayaan mereka. Hudud adalah sebahagian dari Islam. Apa yang mahu dilaksanakan di Kelantan adalah merupakan usaha mahu melaksanakan kepercayaan Islam itu, ke atas sesama umat Islam, mengapa DAP menghalang dan menentang?

PAS berjuang untuk Islam dan telah hadir di persada politik tanahair lebih 60 tahun. PAS isitiqamah dari dulu sehinggalah hari ini mahu memartabatkan Islam dan melaksanakan hukum dan peraturannya sekurang-kurangnya ke atas sesama umat Islam. PAS berhak melakukan demikian sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, mengapa DAP menghalang dan menentang?

Selagi Islam ada sebagaimana di tegaskan Tian Chua, jangankan Hudud, apa sahaja berkenaan agama itu pasti mahu ditonjol dan dilaksanakan oleh penganutnya. Mengapa DAP menghalang dan menentang?

Tidakkah ini menunjukkan DAP sebenarnya menentang sebarang usaha umat Islam untuk kembali kepada agamanya sedangkan usaha itu tidak langsung menjejaskan kepentingan dan nasib masyarakat bukan Islam.

Keterlaluankah kalau kita kata begitu?

No comments: