Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan
bahawa kesemua pembesar suara yang ditempatkan di bahagian luar masjid dan
surau di seluruh negeri tersebut hanya boleh digunakan untuk laungan azan dan
iqamat sahaja.
Satu surat pekeliling difahamkan telah dikeluarkan oleh
Jabatan Mufti negeri kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
(JHEAINPP) bertarikh 1 September bagi menguatkuasakan keputusan berkenaan.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor,
keputusan ini dibuat setelah mengambil kira aduan yang diterima termasuk dari
masyarakat Islam sendiri yang terganggu dengan pembesar suara masjid dan surau
yang dipasang untuk ibadat dan acara lain selain azan dan iqamat.
Menurut Mufti berkenaan juga persekitaran hidup umat Islam
hari ini sudah berubah dengan ramai yang tinggal di kawasan perumahan yang
jaraknya sangat hampir dengan masjid. Tambah beliau acara ibadat umat Islam
sepatutnya tidak menganggu orang lain.
Dari tinjauan yang dibuat rata-rata pengguna laman sosial
khasnya tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mendakwa ianya dibuat
kerana desakkan politik. Begitu juga pandangan masyarakat Islam yang lain.
Walaubagaimanapun keputusan tersebut sesungguhnya tidak
mengharamkan laungan azan dan iqamat melalui corong-corong pembesar suara di
masjid dan surau, akan tetapi ianya melibatkan ibadat dan acara yang lain dari
pada laungan azan dan iqamat termasuklah bacaan al Quran sebelum solat dan
khutbah Jumaat.
Pihak yang marah dan kecewa dengan keputusan ini berhak
berbuat demikian sebagaiamana mereka yang barangkali bersetuju dan berpuas hati dengannya.
Saya tidak bermaksud mahu menghasut mana-mana pihak. Dan
kita menghormati institusi Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Jabatan Mufti.
Walaubagaimanapun tidakkah lebih molek jika perbincangan dan pandangan
pihak-pihak yang terlibat diambil kira terlebih dahulu khasnya para Nazir dan
jawatankuasa masjid dan surau selain pimpinan masyarakat kita sebelum sesuatu
keputusan sebesar ini dibuat.
Saya kira buat permulaan sepatutunya jawatankuasa berkenaan
terbit dengan arahan agar “volume” atau pun had bunyi alat-alat pembesar suara
ini dihadkan pada tahap-tahap tertentu apabila tidak melaungkan azan atau
iqamat. Satu tahap yang toleran patut dikaji dan dilaksanakan terlebih dahulu
dari mengambil tindakan drastik menghentikanyan sama-sekali.
Apabila tindakan drastik diambil khasnya dalam situasi Pulau
Pinang, lantaran itulah pelbagai spekulasi timbul dan ianya menyemarakkan
kemarahan dan ketidakpuasan hati masyarakat Islam bukan hanya dalam negeri itu
malah yang di luar walaupun mungkin ianya tidak ada kena mengena atau
dipengaruhi oleh tekanan dan desakkan politik.
Apa pun dengan keputusan ini sekali lagi umat Islam di
Malaysia terbit sebagai umat yang sangat toleran dan bertolak-ansur walaupun
dalam perkara yang melibatkan haknya beragama.
Demi menghormati masyarakat berbilang kaum dan agama banyak
perkara-perkara baru sebenarnya telah dan mungkin terpaksa diperkenalkan oleh
pihak-pihak berkuasa agama Islam. Dan kadangkala keputusan-keputusan itu
dilihat sebagai lebih merugikan umat Islam dan merendahkan maruahnya sedangkan
sebelum ini tidak pernah perkara-perkara seumpama ini berbangkit.
Untuk berlaku adil sepatutnya jangan hanya kita dilihat
memelihara hati dan perasaan serta ketenteraman satu pihak sahaja, sedangkan
perkara yang sama yang melibatkan kita tidak pula terpelihara atas nama
toleransi dan tolak ansur.
Banyak apa yang didakwa ketidakselesaan dan gangguan
terhadap masyarakat bukan Islam yang berpunca dari amalan masyarakat Islam
sesungguhnya kalau mahu dibandingkan turut dirasai oleh orang-orang Islam
apabila ianya melibatkan amalan dan kepercayaan bukan Islam pula. Tetapi atas
sifat toleransi dan tolak ansur ianya diterima atau didiamkan sahaja tanpa mahu
memanjang-manjangkannya.
Saya pernah menjadi ahli majlis disatu pihak berkuasa
tempatan di Selangor. Ketika itu bulan Ramadhan dan ianya bertembung dengan
perayaan “Hungry Ghost Festival” atau “Phor Thor” . “Phor Thor” ini biasanya
melibatkan majlis memuja mereka yang telah meninggal dunia. Ianya melibatkan
himpunan selama beberapa hari disatu-satu tapak dan diadakan upacara memuja
roh, membakar colok dan hantaran buat simati dan kadangkala diserikan dengan
majlis hiburan.
Kebetulan tapak “Phor Thor” yang mahu diadakan itu kira-kira
beberapa ratus meter dari surau yang akan sibuk dengan ibadah bulan Ramadhan
khasnya majlis berbuka dan solat tarawih. Setelah berbincang dengan pihak-pihak
yang terlibat kelulusan diberikan untuk majlis “Phor Thor” itu.
Kelulusan diberikan kerana sebagaimana masyarakat Islam di
kawasan-kawasan lain di Malaysia, amalan toleransi dan tolak ansur ini sudah
menjadi darah daging dan budaya masyarakat kita sejak berpuluh-puluh tahun
lagi.
Begitulah juga kita apabila berhadapan dengan majlis budaya
dan kegamaan rakyat Malaysia yang lain, contohnya Thaipusam, pembakaran mercun
dan tarian singa sepanjang musim Tahun Baru Cina, perarakan memperingati rahib dan wali-wali
Kristian. Selain itu umat Islam contohnya tidak protes apabila terpaksa lalu
dan menghidu bau khinzir bakar dan daging salai yang dijual di restoran dan
kedai-kedai kopi Cina di kawasan-kawasan bandar selain bau-bau colok yang
dibakar di depan-depan rumah dan tepi-tepi jalan kerana perayaan tertentu.
Semangat toleransi dan tolak ansur yang menjadi budaya masyarakat
kita yang dilahirkan oleh nenek moyang kita orang-orang Melayu, Cina dan India
zaman berzaman diakui semakin luntur dan perlu diperbaiki dan dihidupkan
semula.
Jika perkara ini tidak diberi perhatian lama-kelamaan masyarakat
akan mengasingkan diri dan terjadilah pengasingan komuniti menurut kaum dan
agama semata-mata kerana tidak ada lagi toleransi dan budaya tolak-ansur.
Berbalik kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang
itu, sewajarnya satu semakkan semula dilakukan. Semoga satu keputusan yang
lebih praktikal dan boleh diterima oleh semua pihak dapat diambil yang
mengambil kira budaya tolak-ansur dan toleransi tadi.
Biarlah dalam mengambil satu-satu
keputusan itu maruah umat Islam terpelihara dan dalam waktu yang sama
kepentingan dan keharmonian semua kaum dapat dipertahankan. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment