Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2089 Edisi Isnin muka F15
Sebaik sahaja Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri
Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan berikutan mesyuarat Pra-Majlis
Raja-raja di Istana Negara baru-baru ini, banyak pihak memberikan tumpuan dan
minat ke institusi tertinggi yang dijamin kuasa dan kedudukannya oleh
Perlembagaan Persekutuan ini.
Sudah menjadi kelaziman apa sahaja yang kontroversi dan
panas sudah pasti menarik minat ramai dan kali
ini giliran Majlis Raja-raja.
Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataannya itu
menyatakan bahawa Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin
siasatan berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil
tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Isu kontroversial syarikat pelaburan 1MDB yang merupakan
inisiatif dan projek kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak yang sepatutnya membawa pulangan buat negara telah sebaliknya mencatatkan
kerugian mencecah RM40 billion.
Kerugian besar ini mempertingkatkan lagi kebimbangan dan
kemarahan rakyat yang telah sedia terbelenggu dan terhimpit dengan kos hidup
yang tinggi dan harga barangan dan perkhidmatan yang mencacak naik.
Kesengsaraan rakyat tidak terubat dan tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita
bahawa negara kehilangan berbillion ringgit angkara skandal 1MDB.
Rakyat menjadi bertambah resah apabila tiada satu pihak yang
diheret ke tengah untuk memikul pertanggungjawaban seaka-akan kehilangan angka
yang sedemikian besar itu disenyapkan dan disapu ke bawah tikar begitu sahaja.
Apabila pihak Raja-raja Melayu secara terbuka tampil membuat
kenyataan sedemikian sudah pasti menandakan pihak Istana juga akur dan turut
simpati dan bersama merasai denyut nadi keresahan rakyat jelata itu.
Selama ini Raja-raja Melayu tidak mudah diheret dalam isu
kontroversi atau isu-isu yang berkaitan politik demi memelihara kemuliaan
institusi mereka yang perlu sentiasa dilihat tidak memihak kemana-mana dan
bebas politik.
Namun dalam waktu-waktu meruncing khasnya apabila
kepentingan dan nasib serta masa depan rakyat dan negara terancam atau
dipersimpangan,diketika itulah Raja-raja Melayu seringkali menghulurkan tangan,
mendengar dan cuba memahami isi hati rakyat selain menitahkan perintah untuk
menyelamatkan keadaan.
Sesungguhnya kepada institusi Raja- raja Melayulah, talian hayat
terakhir buat rakyat mengadu dan menagih simpati khasnya apabila berlaku
kepincangan di pihak kerajaan dan parti yang memerintah.
Pada bulan November 2007 contohnya, semasa himpunan BERSIH
yang pertama dianjurkan. Rakyat menuntut agar pihak istana dalam hal ini Yang
Dipertuan Agong sendiri campurtangan bagi memastikan yang rakyat medapat satu
sistem pilihanraya yang bersih dan adil.
Satu memorandum telah dinukilkan untuk diserah kepada Yang
Dipertuan Agong bagi menyatakan hasrat rakyat jelata itu. Pada hari berkenaan
buat pertama kali dalam sejarah pintu pagar istana dibuka bagi membenarkan 7
orang wakil himpunan diketuai Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi
Awang untuk menyerahkan memorandum rakyat itu ke pihak istana.
Walaupun Yang Dipertuan Agong kemudiannya mengeluarkan
kenyataan tidak memihak ke mana-mana namun tindakan Tuanku mengarahkan pintu
pagar istana dibuka telah merawat dan menyejukkan hati rakyat jelata yang
gundah gulana ketika itu.
Demikian juga pernah pada tahun 2001 ketika PAS memerintah
Kelantan dan Terengganu, anasir-anasir tertentu membangkitkan polemik
mengharamkan penggunaan “Islam” pada parti politik. Agendanya untuk memastikan
PAS tidak lagi menggunakan nama Islam walaupun ianya telah digunakan parti
berkenaan sejak sebelum Merdeka lagi. Usaha berkenaan telah membangkitkan
keresahan bukan hanya dikalangan orang-orang PAS tetapi juga mereka yang menyokong
dan bersimpati dengan perjuangan PAS.
Akhirnya pada 22 Mac 2001 Majlis Raja-raja memutuskan tiada
halangan kepada penggunaan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan, malahan,
digalakkan tetapi ia hendaklah berdisiplinkan ilmu, iman dan ihsan. Dan kekal
lah PAS menggunakan nama Islam sehingga hari ini.
Demikianlah Raja-raja Melayu yang sesungguhnya sentiasa
berusaha untuk menepati ungkapan Raja dan rakyat berpisah tiada.
Banyak contoh-contoh lain boleh diberikan bagi membukitkan
bahawa institusi unik yang wujud dalam negara kita ini bukan sekadar satu
simbol atau institusi istiadat semata-mata tetapi ia sesungguhnya satu kuasa
yang besar yang boleh menjadi tempat rakyat mengadu simpati dan keresahan
mereka.
Semoga titah terbaru dari Majlis Raja-raja ini segera diberi
perhatian dan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Nasihat agar
isu ini ditangani dengan bijak dan jangan dibiarkan berlarutan tanpa tindakan
menandakan betapa pihak Raja-raja tidak mahu keadaan ekonomi negara terjejas
sehingga memudarat dan menyusahkan kehidupan rakyat jelata,
Kerajaan turut diingatkan agar prinsip keluhuran
perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Rukun
Negara sentiasa didukung dan dipelihara.
Seingat saya inilah kali pertama institusi tertinggi dalam
negara ini iaitu Majlis Raja-raja mengeluarkan nasihat dan teguran sedemikian
“direct” dan khusus.
Sesungguhnya kredibiliti kerajaan Perdana Menteri hari ini
sangat tercabar yakni pada tahap tertinggi kerana seruan dan teguran serta
kritikkan bukan kini sekadar bergema dari akar-umbi rakyat jelata kebanyakkan
sahaja tetapi ia telah kini kedengaran dari serambi-serambi istana, menandakan
keyakinan seluruh negara terhadap beliau dan kerajaannya sangat tipis.
Barangkali tindakan terbaik buat masa ini adalah untuk
Perdana Menteri dan mereka yang terlibat langsung dalam skandal 1MDB ini dirihatkan
dan suatu siasatan komprehensif dan besar-besaran digerakkan oleh semua badan
dan agensi berkaitan atas semangat teguran dan nasihat Raja-raja Melayu ini.
Kita mahu melihat dalam waktu yang terdekat ini satu
tindakan yang terbaik dan berkesan diambil.
Rakyat jelata pasti menjunjung kasih dan bergembira dengan
ketegasan dan keberanian yang ditunjukkan oleh pihak Raja-raja Melayu dalam
melaksanakan tugas mereka sebagai Raja-raja berdaulat.
Kita percaya keyakinan rakyat kembali bertaut apabila mereka
menyedari bahawa di sana terdapat institusi yang lebih bertanggungjawab yang
lebih tinggi yang boleh mereka harapkan untuk membela dan menjaga kepentingan
mereka dan negara tercinta ini iaitu Majlis Raja-raja.
Daulat Tuanku. roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment