Sunday, October 25, 2015

Cadangan Dap tanda kurang yakin kemampuan Pan

Ikuti ROSLAN SMS di Harakah (print) Bil. 2091 Edisi Isnin muka F15

Beberapa hari sebelum pimpinan dan ahli-ahli PAS dari segenap pelusuk negara berhimpun di Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu, Kelantan, bagi menjayakan program Himpunan Fastaqim (H60K) yang diadakakan bersekali dengan ulangtahun ke 25 pemerintahan PAS di Kelantan, penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan bersahaja telah terbitkan satu cadangan yang sangat tidak mencerminkan kematangan dan statusnya sebagai seorang ahli politik veteran.

Mungkin beliau menerima ilham tertentu namun ternyata ianya sangat hambar dan tidak mengambil kira senario dan suasana politik sebenar yang seringkali sebelum ini menjadi tumpuan dan panduannya apabila berhujah.

Beliau akui sendiri dalam blognya bahawa apa yang beliau lahirkan itu tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak sebelum ini dan mungkin juga tidak mampu dilaksanakan namun beliau tetap mahu mengenengahkannya juga. Mengemukakan sesuatu yang sedemikian sudah pasti punya matlamat dan agenda tertentu yang hanya Kit Siang seorang arif dan faham akan maksudnya.

Dalam blog beliau itu Kit Siang mencadangkan, salah satu cara untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihanraya Umum ke 14 nanti adalah untuk PAS menumpukan kekuatannya pada 4 buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Parti Amanah Negara, rakan politik baru DAP, memberi tumpuan pada negeri-negeri lain.

Ternyata Kit Siang begitu prihatin dan sayang akan kawan barunya yang baru sahaja diisytiharkan menggantikan PAS dalam pakatan baru politiknya iaitu PAN. Begitu kasih beliau pada PAN sehingga boleh beliau beri cadangan pada PAS sedangkan beliau dan partinya telah memutuskan hubungan dan enggan berkerjasama dengan PAS. Walaupun PAS telah di “ceraikan”nya namun demi PAN sanggup Kit Siang memberanikan diri melontar cadangan pada PAS.

Cadangan itu telah diajukan oleh para wartawan kepada Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang semasa menghadiri Himpunan Fastaqim di Kota Bharu. Tuan Guru telah menolak cadangan itu mentah-mentah dan memang ia pun layak sangat ditolak.
Kata Tuan Guru: “Kita parti peringkat nasional dan kita bertanding di seluruh negara... belum ada DAP kita dah bertanding (pada pilihan raya umum). Kita bukan parti kenegerian dan parti perkauman,”

Kata Tuan Guru lagi kali ini PAS bukan sahaja akan bertanding di kerusi-kerusi tradisionalnya malah akan menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya.
Saya pasti reaksi Tuan Guru itu akan segera sampai ke pengetahuan Kit Siang. Apa lagi yang Kit Siang harapkan dari PAS setelah PAS beliau “ceraikan” dan kemudiannya tendang keluar dari pakatan pembangkang. Dan sebelum itu DAP terang-terang campurtangan dalam urusan pemilihan PAS dan kemudiannya menjadi penaja kuat dalam melahir dan membidankan PAN.

PAS bukannya parti setahun jagung, hakikatnya antara semua parti-parti pembangkang yang ada, PAS lah yang paling “senior” dengan kematangan usia melebihi 60 tahun, bersaing dan bertarung dengan Umno sebelum pun DAP lahir lagi.

Lantaran itu cadangan Kit Siang agar PAS hanya beri tumpuan pada 4 buah negeri berkenaan dan melupakan 9 buah negeri lain jelas memang merendah dan menghina status dan kedudukan PAS serta maruah ahli-ahlinya.

Benar sebagaimana dinyatakan Tuan Guru, PAS adalah sebuah parti nasional. PAS mempunyai kawasan dan cawangan di kesemua negeri-negeri di Malaysia dengan keahliannya menjangkau 1 juta orang. Malahan dalam pilihanraya umum yang lalu PAS menang di 21 kerusi Parlimen di 6 buah negeri dan 85 kerusi DUN di 10 buah negeri sebelum beberapa kerusinya dibawa lari oleh para pengkhianat parti yang hari ini menyertai PAN.

Adilkah atau lebih tepat logikkah cadangan, demi mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan PAN agar PAS hanya tumpu di 4 buah negeri di utara? Sejauh manakah PAN telah diuji di negeri-negeri lain itu, sedangkan PAS telah istiqamah bertungkus-lumus membina kekuatan sejak 60tahun lampau di seluruh negara.

Kit Siang saya lihat sebenarnya cemas dengan kemampuan PAN setelah melihat kukuhnya PAS dalam menghadapi cabaran dan mehnah yang melanda partinya. Himpunan Bersih 4.0 tempuh hari sesungguhnya tidak membantu dalam meletakkan PAN sebagai pengganti PAS, kerana terbukti PAN gagal menggerakkan massa khasnya orang-orang Melayu sebagaimana PAS. Begitu juga ceramah-ceramah dan program PAN kebelakangan ini semakin hilang serinya, apabila gagal menarik kehadiran ramai. PAS seakan goreng pisang yang hangat seketika tetapi sejuk dan tidak menyelerakan setelah terbiar.

Apa yang tinggal pada mereka yang mendorong DAP keluar menghulurkan leher membantu PAN adalah kerana Islam yang kononnya kontemporari dan bersifat tolak ansur yang cuba dibawa dan digambarkan oleh perjuangan PAN. Kecenderungan DAP pada konsep yang ia kira populis inilah yang terus menhantuinya untuk berkorban buat PAN.

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis barangkali dalam perkiraan Kit Siang tidak subur buat PAN. Apatah lagi contohnya kerusi Kuala Krai dan malahan juga Tumpat yang dicuri dari PAS itu. Bermakna PAN jika bertanding di negeri-negeri ini, akan kalah dan ditolak rakyat berkemungkinan lebih teruk dari tolakkan rakyat terhadap Umno dan BN sendiri.

Lalu berilah laluan buat PAN di negeri-negeri lain.

PAS jangan sekali-kali dipandang remeh dan rendah oleh DAP. DAP perlu ingat dalam Pilihanraya Umum 1999 contohnya, apabila berlaku lonjakkan pengundi Melayu/ Islam dalam menolak BN dan Umno,  PAS lah yang telah mengaut laba yang paling besar. Ketika Kit Siang dan mendiang Karpal Singh kecundang di kerusi parlimen Bukit Bendera dan Jelutong tahun itu, PAS mampu menang di Kelantan dan Terengganu dengan mengaut 26 kerusi Parlimen di 4 buah negeri dan 99 kerusi DUN di 8 buah negeri termasuk Selangor buat pertama kalinya.

Siapa boleh jamin bahawa kali ini lonjakkan yang sama tidak boleh berlaku?

Dengan kegagalan BN khasnya Umno dalam menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir dan memimpin negara dengan membawa kesejahteraan dan keamanan sebagaimana yang telah dijanjikan, ternyata hari ini dengan pelbagai krisis dan skandal kewangan yang melibatkan negara berserta kesempitan hidup rakyat yang tidak nampak akan pulih, siapa boleh jamin bahawa pengundi-pengundi Melayu/ Islam contohnya akan kekal bersama Umno?

Pengundi bukan Melayu rata-rata telah melahirkan kehilangan keyakinan mereka terhadap BN. Kita yakin sentimen yang sama turut membahang dan membakar dalam jiwa pengundi Melayu hari ini yang terkesan dengan suasana semasa. Lantas tidak mustahil ianya akan meletus membuakkan undi protes terbuka yang kemungkinan lebih besar dari 1999 lagi.
Dengan semangat Fastaqim, pimpinan dan ahli-ahli PAS sedang menyusun langkah bersedia untuk menggantikan Umno, disaat Umno tenat dan goyah.

Mungkin Kit Siang dengan kematangan bacaan politiknya sudah mengesan perkara ini kerana itu beliau mengharapkan laluan diberikan kepada anak buahnya PAN, untuk meraih hasil di 9 buah negeri yang dimaksudkan.

Malangnya PAS tiada hubungan dengan DAP apatah lagi PAN. Oleh itu mimpi Kit Siang itu tinggalah mimpi, kerana PAS sudah melangkah ke hadapan dan bersedia membuka lembaran politik baru tanpa DAP apatah lagi PAN. roslansms@gmail.com

No comments: