Monday, October 12, 2015

Apa lagi diharap pada Umno


Baru-baru ini Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyarankan sudah tiba masanya bagi Umno untuk dirihatkan dan digantikan dengan PAS. 

Dalam kenyataannya itu beliau mengatakan telah lebih 50 tahun rakyat memberikan mandat, keyakinan dan kepercayaan kepada Umno untuk memerintah.Ternyata dengan pelbagai krisis dan skandal hari ini, dengan suasana dan keadaan ekonomi yang menyiksa rakyat, Umno terbukti tidak mampu dan malah tidak berjaya melaksanakan dengan berkesan amanah yang diberikan oleh rakyat itu.

Kata Tuan Guru tiba masanya Umno dirihatkan, dan PAS pula diberi peluang untuk membawa pendekatan Islam bagi menyelamatkan agama, bangsa  dan negara.
Sebentar tadi beberapa pemimpin Umno dan veteran Umno berkumpul di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya diketuai bekas PM Tun Dr Mahathir Mohammad bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan khasnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

Di majlis tersebut Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa anggota Umno supaya lebih berani untuk menyatakan pendirian mereka berhubung isu-isu yang melanda parti itu ketika ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata anggota parti perlu berani menyuarakan pendapat mereka dengan menggunakan saluran dan pentas yang betul.

Malah, beliau meminta supaya Umno menjadi lebih terbuka dengan memberi peluang kepada ahli melahirkan pendapat mereka seperti di mesyuarat bahagian dan Perhimpunan Agung Umno.

Kata Muhyiddin:

"Umno merupakan parti berdasarkan demokrasi dan kita mempunyai cara untuk melahirkan pendapat dalam sesuatu isu dan platfom itulah kita gunakan.

"Perwakilan tidak takut tetapi guna platform yang sewajarnya. Tidak pasti sama ada Perhimpunan Agung Umno akan datang akan menjadi platfom yang mana semua pimpinan akan berkumpul dan mendengar.

"Saya rasa mereka (perwakilan) sepatutnya dibenarkan untuk melahirkan pendapat mereka. Masa yang betul ialah perhimpunan agung nanti.”

Itu saranan dan keluhan Timbalan Presiden Umno, bukannya ahli biasa di kampung, yang membuktikan mekanisma politik Umno ternyata telah gagal dan tidak lagi memberi pulangan dan manfaat buat ahli-ahlinya.

Jika Umno sendiri sebagai parti gagal dan tidak beroperasi sebagaimana dicita-citakan, maka apalagi yang ahli-ahli Umno, apalagi rakyat jelata mahu berharap pada Umno.
Islam adalah penyelesaian kepada permasalahan ummah. Tiada pendekatan dan formula lain yang lebih sesuai didalam kita menangani kemelut politik, ekonomi dan sosial ini kecuali kita kembali kepada Islam. Sudah tiba masanya untuk kita berubha haluan.

PAS sudah lebih 50 tahun mengemukakan formula dan kaedah ini kepada masyarakat, namun ramai yang masih mahu menoleh dan memberi kepercayaan kepada Umno.

Hari ini bukan sahaja Umno gagal tetapi lebih serius lagi kegagagalan itu telah menyeret negara kepada jurang kemusnahan yang meghimpit dan mendera kehidupan rakyat.
Tiada forum tiada ruang lagi yang boleh ahli-ahli Umno guna untuk menyelamatkan partinya. Negara juga tiada akan selamat jika kepimpinan yang ada terus diberikan nafas.

Tak perlulah Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin, Sanusi Junid, Shafie Apdal atau Tengku Razaleigh menyarankan ahli-ahli Umno terus memaksa tubuh Umno yang sudah tidak bermaya itu untuk bergerak kerana ia sudah lumpuh. Dilumpuhkan angkara kerakusan pimpinan yang ada dan malah oleh mereka yang sama yang bersuara di Yayasan Kepimpinan Perdana itu ketika mereka pernah berkuasa dahulu.

Langkah terbaik adalah bagi seluruh ahli-ahli Umno yang masih cintakan agama, bangsa dan negara ini agar bersatu, melepaskan tangan dan pujukan pimpinan tertinggi mereka yang telah gagal itu, dan marilah bersama-sama kita memaut tangan kami dari PAS, bersama kita melangkah denga kibaran panji-panji Islam, kita menuntut keadilan Islam bagi memacu dan memandu kita semua ke arah kejayaan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul Nya s.a.w.

Segala-galanya bergantung pada kesedaran dan keikhlasan kita.

Umno sudah lama mencuba tetapi hari ini ia telah gagal. Rihatkanlah mereka yang telah penat itu. Kini bersama kita beralih pada PAS pula. Ayuh kita bernaung di bawah panji-panji PAS demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara yang tercinta. Demi Malaysia yang semua kita sayangi.



No comments: