Tuesday, October 20, 2015

Berbeza pandangan dengan Lim Hong Siang

PAS kebelakangan ini menjadi tumpuan dan perhatian ramai. 

Walaupun sebelumnya dikatakan telah berpecah apabila sebilangan bekas pemimpinnya termasuk beberapa wakil rakyat keluar parti dan menubuhkan parti baru yang kononnya telah menarik puluhan ribu ahli bersamanya namun PAS tetap bergerak seperti biasa. 

Walaupun sebelumnya PAS ditendang keluar dari Pakatan Rakyat oleh bekas rakan politiknya DAP dan ditubuhkan pula pakatan baru tanpa PAS, PAS tetap bergerak seperti biasa.

Himpunan Fastaqim di Kota Bharu, Kelantan hujung minggu lepas adalah bukti hidup yang PAS kemukakan pada rakyat Malaysia bahawa partinya masih relevan, terus mendapat sokongan dan dukungan akar-umbi, dan insyallah akan kekal berjuang memartabatkan Islam di persada tanahair.

Namun masih ada sebilangan pihak, pengkritik dan kononnya penganalisa yang mahu menggambarkan bahwa PAS terkesan teruk hasil dari pengkhianatan ahli-ahlinya dan tertubuhnya pakatan baru yang meminggirkannya.

Terpulanglah, tetapi apabila ada pandangan yang keterlaluan, kita terpanggil untuk memberi respon agar apa yang cuba dikeruhkan dapat dijernihkan kembali.

Dalam satu forum bertajuk "Tanpa PAS ke mana Pakatan Harapan" di Petaling Jaya, baru-baru ini seorang ahli panel yang juga seorang pemerhati politik, Lim Hong Siang telah dilaporkan sebagai berkata 

Tun Dr Mahathir Mohamad memperlihatkan komitmen lebih tinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui usul undi tidak percaya berbanding Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun Hadi seorang pemimpin pembangkang veteran, beliau dilihat tidak mempunyai pendirian berbanding Dr Mahathir yang sudah berumur 90 tahun dan lebih 10 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan. “

Dan beliau menambah:

"Dalam kes ini Dr Mahathir lebih tinggi komitmennya berbanding Hadi. Tujuan Dr Mahathir jelas, dia nak jatuhkan Najib untuk selamatkan Umno - BN,".

Begitu tinggi pujian Lim terhadap Tun Dr M, sedangkan rekod Tun selama ini saya percaya Lim sendiri ketahui. Bagi saya dosa Tun terhadap rakyat Malaysia terlalu besar untuk mahu diberi pujian pula dizaman tuanya, walau banyak mana amal pun yang mahu beliau tunjukkan.

Mengapa Tun tiba-tiba terlalu baik sehingga mahu menyelematkan Umno dan kerajaan?
Mustahil Lim tidak boleh baca agenda Tun. Mustahil Lim sebagai pemerhati politik dan pengamal media yang berpengalaman tidak boleh hidu apa yang mahu dicetuskan oleh Tun.

Tun bukan mahu selamatkan Umno tetapi anak dan kroni-kroninya. 

Tun “makhluk politik” oportunis yang paling ketara dalam politik Malaysia hari ini. Sanggup haidr perhimpunan BERSIH walaupun beliaulah yang terkenal mengekang dan merantai kebebasan bersuara dan berhimpun dizamannya. Tun sanggup duduk sebaris dengan Ku Li sedangkan dulu Ku Li musuh utamanya dan dialah yang menyekat kemaraan politik Ku Li diwaktunya.

Tun serang Peguam Negara tetapi semasa beliau PM bukan sahaja Peguam Negara malah Hakim-hakim pun beliau pecat dan ambil tindakan.

Kerana itu saya agak tertarik apabila Lim boleh memuji komitmen Tun Dr Mahathir.

Apa pun itu hak Lim.

Sesungguhnya pendirian PAS dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang adalah jelas. Tuan Guru pernah tegaskan perkara ini berkali-kali. Bagi PAS biarlah Najib kekal sebagai PM yang pincang sehingga akhir penggal. Menjatuhkan beliau melalui undi tidak percaya tidak akan menamatkan pengaruh Umno dan BN.

Apa yang berlaku adalah Umno akan menggantikan Najib, kepincangan tidak tamat malah akan berterusan dan mungkin lebih kronik lagi. Malah idea ini kebelakangna ini turut dipersetujui oleh beberapa pimpinan dalam PKR sendiri.

PAS mahu merehatkan terus Umno bukannya menggantikan pemimpin nombor satunya dengan pemimpin yang lain.

Mengapa Lim mahu sokong Tun Dr M menjatuhkan Najib demi menyelamatkan Umno?

Lim Hong Siang adalah kenalan saya. Saya kenal beliau sejak beliau bekerja di The Oriental Daily, sebuah akhbar berbahasa Cina dan kemudiannya menyertai Merdeka Review.

Blog ini pernah memberi promosi kepada beliau seawal bulan Julai 2009 ketika beliau menyertai Merdeka Review.


Bagi saya bacaan politik Lim di dalam kes ini kurang kemas dan ternyata Lim tidak maklum darihal sikap dan pendirian PAS dalam isu undi tidak percaya ini.

Dan dalam hal Tun Dr M ini, kalau Lim cenderung pada sikap Tun hari ini saya sendiri tidak sekali-kali boleh lunak dan memaafkan Tun yang sesungguhnya adalah punca permasalahan kita hari ini.

No comments: