Friday, September 29, 2006

Umno memancung lagi Sang Kelembai

Semalam Sang al Gojo bertindak menghayunkan kapaknya yang tajam lagi berbisa itu. Sekali lagi mangsanya adalah Sang Kelembai yang sebelum ini telah pernah merasai bisa kapak puaka itu. Kalau orang lain mati dipancung cuma sekali tetapi terbukti Sang Kelembai dipancung sekali tak mati dan kini dipancung lagi, mungkin tak mati juga.

Sahabat saya Sdr. Abdul Zaharin Mohd Yassin , bekas Setiausaha Umno bahagian Bandar Tun Razak, seorang penulis dan BLOGGER yang aktif dengan nama pena Sang Kelembai hari ini menjadi hero dan sebutan ramai. Majlis Tertinggi Umno yang bersidang di PWTC semalam menjatuhkan hukuman pecat ke atas beliau kerana dikatakan bertindak menghina parti dan pucuk pimpinan.



Anehnya pada tahun 1996 dahulu Zaharin pernah dipecat oleh parti yang sama kerana dikatakan telah mengkritik Anwar Ibrahim (yang ketika itu Pengerusi Lembaga Disiplin Umno) dan kini 10 tahun berlalu sekali lagi Zaharin dipecat.

Adakah Zaharin menghina Umno dan pucuk pimpinannya atau sekadar menegur dan mengkritik pucuk pimpinan yang kebetulan megepalai Umno? Apakah pucuk pimpinan Umno hari ini sudah kebal dan tidak boleh dikritik lagi?

Saya percaya di dalam Umno pada hari ini ramai yang bosan dan tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan Umno tambahan sejak konflik Tun Dr Mahahtir dan Pak Lah tercetus. Mereka marah dan tidak senang tetapi cuma manusia seperti Zaharin sahaja dalam Umno yang nampaknya berani bangun mengkritik disamping Tun dan beberapa kerat lagi.

Yang lain ternyata diserang sindrom bisu yang mula melanda Umno secara kronik sejak Khairy Jamaluddin menang tanpa bertanding untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno. Kalau kita masih ingat ketika itu ramai yang berhajat mahu bertanding jawatan itu yang dikosongkan oleh Aziz Sheikh Fadzir (termausklah Azimi Daim dan lain-lain). Tetapi sebaik sahaja Khairy yang kebetulan menantu Presiden Umno mengisytiharkan mahu bertanding, maka semua yang lain menjadi kecut dan terpaksa membiarkan Khairy yang mentah dan masih berhingus itu (meminjam istilah Tun Dr M) untuk menang tanpa dicabar.

Satu lagi yang aneh saya lihat di dalam pemecatan Zaharin ini adalah alas an pemecatan. Menurut UTUSAN hari ini:

Setiausaha Agung Umno Datuk radzi Sheikh Ahmad ketika ditemui pemberita menjelaskan keputusan itu tidak ada kena mengena dengan BLOG beliau

Manakala menurut THE STAR (Radzi dipetik sebagai berkata):

He came out with comments in his Sang Kelembai blog which ran down the party and the leadership including the president on countless occasions.

He (Radzi) said the board had also recommended that if Zaharin continued with his attcks in his blog he should be sacked.

Hebatnya jampi Sang Kelembai sehinggakan dua akhbar utama pun memberi laporan bercanggah darihal alas an pemecatan beliau. Namun demikian kiranya tulisan beliaulah yang merupakan alasan pemecatnnya, maka Zaharin saya kira ahli Umno yang kedua selepas Tun Dr Mahathir yang dihukum kerana tulisannya.

Kalau bercakap tak boleh (sebagaimana dalam kes Tun hari ini) dan menulis pun tak boleh, sampai bila suara dan hati nurani ahlinya dapat disampaikan kepada pucuk pimpinan? Jelas pemecatan ini merupakan sejarah hitam bagi demokrasi dan hak bersuara dalam Umno.

Kepada sahabat saya itu, saya tahu yang beliau akan terus menulis dan mengkritik kerana ia merupakan darah dagingnya. Syabas Saudara kerana berani berdiri kerana benar. Teruskan perjuangan anda Malaysia memerlukan orang seperti anda.

No comments: