Thursday, September 07, 2006

Antara anak Nik Aziz dan anak Pak Lah

Semalam di Dewan Rakyat berlaku kekecohon semasa wakil Kubang Kerian yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub bangun membahaskan Bajet 2007. Semasa berucap Salahuddin telah menyentuh tentang penglibatan dan pembabitan anak sulung dan menantu Perdana Menteri dalam bidang perniagaan dengan mendakwa kedua-dua ahli keluarga Dollah itu mendapat projek kerajaan dengan menggunakan nama Perdana Menteri.

Sejurus nama PM dibabitkan maka bergegaslah bangun soldadu-soldadu beliau dalam dewan untuk memeprtahankan maharajanya.



Antaranya Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Umno-Larut) telah bingkas bangun dan berkata (UTUSAN):

Kalau seseorang itu mengkritik, kita boleh terima tetapi apa yang Yang Berhormat katakan ini seperti satu tuduhan. Kalau apa yang diperkatakan ini hanya dengan khabar angin, ini sudah menjadi satu tuduhan.

Kalau Yang Berhormat ada bukti, cuba buktikan. Jangan buat tuduhan tidak berasas, ini akan makan diri sendiri.

Manakala rakannya Alwi Che Ahmad (Umno_Ketereh) pula berkata:

Saya yakin Perdana Menteri sendiri tahu bahawa jika ahli keluarganya membuat salah, maka mereka perlu disiasat. Pihak pembangkang tidak perlu membuat tuduhan tidak berasas terhadap kedua-dua ahli keluarga Perdana Menteri.

Sebagai wakil rakyat, kita sendiri tidak mahu berlaku rasuah atau salah laku tetapi jika benar seseorang itu melakukan kesalahan, ia, perlu dikenakan tindakan.

Kemudian Alwi menambah (sebagaimana terdapat dalam HANSARD):

Saya hendak tanya ini sahaja, Yang Berhormat sebut mengenai Perdana Menteri, anaknya dan menantu. Saya baru dapat maklumat mengenai Yang Berhormat Menteri Besar Kelantan.

Saya hendak tahu Yang Berhormat tahu atau tidak sahaja iaitu anaknya dahulu tidak bekerja tetapi sekarang bekerja di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) atau KSEDC ringkasnya dalam bahasa Inggeris semasa Yang Berhormat Menteri Besar jadi pengerusi.

Kemudian, anak lelaki dia pula bekerja di Majlis Perbandaran Kota Bharu, dia pun tahu.

Saya baru sahaja menelefon sahabat saya seorang ADUN Kelantan untuk mendapatkan pengesahan. Menurut beliau anak Tok Guru yang dimaksudkan itu adalah anak perempuannya. Jawatannya bukanlah pegawai kanan dan dia memperolehi kerja tersebut atas dasar MERIT (bermakna berdasarkan kelayakkan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri). Sebagaimana saya percaya Puteri DYMM al Sultan Kelantan yang kini bertugas sebagai Majistret di Mahkamah Tinggi KB juga atas dasar MERIT.

Manakala tentang anak lelakinya yang dikatakan bekerja di MPKB, jelas ianya suatu pembohongan. Ustaz Nik Abduh yang dimaksudkan itu bukannya seorang pekerja di MPKB tetapi ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri berdasarkan jawatan politik beliau iaitu Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan dan ahli EXCO Pemuda PAS Pusat.

Berbalik kepada isu yang dibangkitkan Salahuddin ternyata perbandingan yang mahu dibuat oleh soldadu-soldadu Umno itu jauh laksana langit dan bumi bezanya.

Anak dan menantu Dollah, bukan hanya dikhabarkan oleh media alternatif malah turut didedahkan oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir sendiri, iaitu tentang penglibatan dan pembabitan mereka dalam perniagaan dengan mengunakan pengaruh Pejabat PM dan Menteri Kewangan.

Isu Scomi dan pembabitan Khairy dalam ECM Libra (walaupun saham beliau telah dijual) terus menjadi perbualan di dunia perniagaan, dan ini bukan lagi merupakan rahsia yang tersembunyi dari pengetahuan orang-ramai.

Bagaimana kita nak samakan anak perempuan Nik Aziz dan Ustaz Nik Abduh dengan Kamaluddin Abdullah dan Khairy Jamaluddin. Takkanlah wakil Umno dari Ketereh tak ada idea lain kalau pun bersungguh mahu mematahkan hujah Salahuddin.

(Kenapa tak pula disebut nama seorang lagi anak Nik Aziz iaitu Nik Adli yang sehingga kini merengkok dalam tahanan di Kamunting kerana ditahan tanpa bicara oleh Dollah di bawah ISA)

Ternyata soldadu-soldadu Umno seakan menembak angin apabila Raja Zainuddin mengatakan (sebagaimana dalam HANSARD):

Takkanlah anak seorang pemimpin tidak boleh langsung hendak berniaga? Takkanlah kita hendak lihat anak pemimpin kita nak jual pisang goreng? Hendak mengemis?

Siapa yang kata anak pemimpin tak boleh berniaga? Isu yang dibangkitkan Salahuddin adalah anak-anak pemimpin yang berniaga dan menggunakan kedudukan bapa mereka untuk kepentingan perniagaan itu. Itu isunya.

Tak perlulah kita menegakkan benang yang basah dalam hal ini. Dan memang cabaran soldadu-soldadu Umno itu supaya laporan dibuat kepada BPR perlu segera disambut oleh Salahuddin. Dan kita berharap BPR yang walaupun duduk di bawah ketiak PM akan berani menyiasat dan menjalankan tugas apabila laporan telah dibuat.

Syabas Salahuddin kerana telah memaksa pimpinan Umno mendedahkan kelemahan dan tembelang mereka sendiri.

No comments: