Tuesday, September 05, 2006

Di sebalik Allahyarham Rashid Maidin yang tidak kita kenali

Ayah saya pernah terlibat dalam perjuangan menentang PKM diambang kemerdekaan. Ketika itu beliau sebagai seorang Inspektor Polis cawangan khas bertugas di bawah pegawai kanan Inggeris di Kajang. Dari kawasan hitam, Kajang akhirnya menjadi kawasan putih setelah sebuah kem besar PKM berhampiran Sg Jelok hari ini berjaya dimusnahkan.

Sepanjang saya dibesarkan sebagai anak seorang pegawai kanan polis saya membenci perjuangan PKM dan tokoh-tokohnya termasuklah Chin Peng dan Rashid Maidin. Kominis ini tidak mempercayai Tuhan, pengganas dan tidak berperikemanusiaan.



Saya masih mengingati persitiwa pengeboman ke atas Tugu Negara, serangan ke atas Kem PPH di Flat Jalan Pekeliling dan pembunuhan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Perak semuanya sekitar tahun 70an yang dilakukan oleh anggota PKM.

Kemudian PKM dan para pejuangnya hilang begitu sahaja dari ingatan sehinggalah Perjanjian Damai antara PKM, Kerajaan Malaysia dan Thai ditandatangani pada 2 Disember 1989 yang menutup episod perjuangan bersenjata PKM di tanahair.

Dan baru-baru ini pada tanggal 1 September 2006 kita dimaklumkan darihal kematian Allahyarham Rashid Maidin, salah seorang tokoh PKM yang terlibat dengan pergerakkan tersebut sejak akhir tahun 1940an semasa parti tersebut belum diharamkan lagi.

Walaubagaimanapun sejak akhir-akhir ini kerajaan sudah tidak menganggap individu bekas PKM sebagai ancaman lagi. Kerana itu banyak buku-buku tulisan mereka yang mengisahkan pengalaman dan pahit-maung perjuangan mereka sejak berjuang secara terbuka sebelum penaklukan Jepun dan kemudiannya secara gerila apabila British kembali dan mengharamkan gerakan mereka telah diizinkan pengedarannya.

Sebagai seorang yang meminati sejarah tanahair dan dahagakan kebenaran saya telah berjaya mendapatkan hampir semua buku-buku berharga itu termasuklah:

Alias Chin Peng :My side of history (Media Masters, Singapore, 2003)
Memoir Shamsiah Fakih :Dari AWAS ke Rejimen ke 10 (UKM, 2004)
Memoir Ibrahim Chik :Dari API ke Rejimen ke 10 (UKM, 2004)
Memoir Abdullah CD :Zaman pergerakan sehingga 1948 (SIRD, 2005)
Memoir Suriani Abdullah :Setengah abad dalam perjuangan (SIRD, 2006)

dan

Memoir Rashid Maidin :Daripada perjuangan bersenjata kepada perdamaian (SIRD, 2005)



Berdasarkan isi kandungan buku-buku ini saya dapat sedikit sebanyak memahami perjuangan PKM walaupun tidak semestinya bersetuju dengan mereka.

Umpamanya dalam kes Allahyarham Rashid Maidin, apakah yang mendorong beliau menyertai PKM? Mengapakah beliau lari masuk ke hutan untuk meneruskan perjuangannya? Mengapa selepas Negara merdeka mereka masih meneruskan perjuangan? Mengapa mereka (PKM) akhirnya menyertai Perjanjian Damai dan bersetuju membubarkan PKM? Mengapa sejak perjanjian damai Allahyarham tidak pulang dan menetap di tanahair?

Allahyarham menulis di dalam prakata bukunya:

Saya berharap memoir ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran dari sudut perjuangan yang saya ceburi selam,a berpuluh-puluh tahun ini. Saya percaya ia berguna untuk melengkapkan sejarah tanahair.

Apakah latarbelakang Allahyarham yang berasal dari Kg Gunung Mesah, Gopeng, Perak ini? Menurut catatannya beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng sehingga darjah lima dan dalam waktu yang sama belajar agama di Madrasah Kg Gunung Mesah sehingga khatam al Q uran. Menurut Allahyarham beliau berhenti belajar kerana tekanan kemiskinan sekitar tahun 1929.

Allahyarham merantau dan mencari kerja sehingga ke Cameron Highlands. Disitu beliau mempelajari bahasa Inggeris dari seorang mubaligh Kristian dan kemudiannya megambil kursus bahasa tersebut secara pos selama 1 tahun.

Beliau kemudian pulang ke Gopeng dan bekerja di sebuah syarikat janakuasa elektrik milik Perancis sebagai apprentice. Di sana beliau meneruskan pembelajaran dalam bidang elektrik sehingga lulus dan memperolehi sijil kelas dua diikuti dengan sijil electrical chargeman kelas 1 beberapa tahun berikutnya
Beliau kemudiannya terlibat dalam kesatuan sekerja dan terus menyertai PKM sebagai anggota Melayu nya yang pertama.

Beliau memberi alasan penyertaannya ke dalam PKM kerana semangat anti penjajah yang menebal ketika itu dan kebetulan gerakan Melayu atau nasionalis lain tidak terdapat di sekitar kawasan beliau ketika itu

Selepas itu Jepun menduduki tanahair dan PKM melalui Pasukan Tentera Malaya Anti Jepun atau MPAJA telah melancarkan gerakan gerila terhadap penjajah fasis Jepun itu (bersama bantuan kepakaran Biritsh). British kemudiannya kembali selepas tamatnya peperangan, dan PKM serta parti-parti Melayu dan nasionalis lain kemudiannya diharamkan dengan pemuka-pemukanya semuanya ditahan British termasuklah Rashid sendiri.

Dari situ PKM telah melancarkan perjuangan bersenjata sehinggalah perjanjian damai 1989.

Kita selama ini kurang mendapat versi pihak sebelah sana. Apa yang ada pada kita adalah warisan sejarah yang ditulis oleh pihak British. Saya tidak mengatakan ianya bohong dan palsu belaka tetapi sebaik dan seadilnya kita harus juga mendengar dan memberi peluang kepada pihak sebelah sana walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan mereka.

Allahyarham menganggap dirinya seorang nasionalis, pejuang kemerdekaan, sedangkan kita menganggapnya sebagai pengganas dan terrorist.

(Semasa ditangkap British di Teluk Intan, beliau telah dipindahkan dengan menaiki keretapi ke Taiping. Menurut catatan beliau semasa digari dan berada di atas keretapi beliau terserampak dengan tokoh persuratan Melayu, Aminuddin Baki. Aminuddin bertanya: Bung Rashid kena tangkap? (sambil menggelengkan kepalanya) Aminuddin menyambung: Bung jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang)

Semasa beliau berjaya melepaskan diri dari tahanan British di Melaka pada tahun 1952 dan bergerak berjalan kaki sehingga sampai ke hutan Kerdau di Pahang, tentera British telah menyibarkan surat-surat rayuan agar Rashid kembali menyerah diri. Kandungan surat itu berbunyi:

Awak baliklah keluar (serah diri). Kami tahu kehendak awak. Awak hanyalah daging busuk kepada PKM.

Menurut Allahyarham beliau telah bertindak membalas surat itu dengan menulis:

Tamatkan darurat dengan segera. Awak (British) menimbulkan keadaan porak peranda dan kesengsaraan kepada rakyat Malaya. Awak penjajah Britishlah yang perlu balik ke Negara kamu.

Semasa perundingan damai di Haadyai pada tahun 1989 Rashid telah merakamkan penadangannya kepada delegasi Malaysia:

Bagi kami menyerah diri itu hina sekali, separuh menyerah diri pun kami tidak mahu. Anggaplah kami manusia biasa, rakyat Malaysia yang mempunyai hak pegangan poltik dan yang telah berjuang bermandi darah menentang penjajah. Konflik selepas meredeka itu satu tragedi warisan penjajahan British yang kini kita sama-sama sedang berusaha menamatkannya.

Jelas banyak persoalan yang masih belum berjaya dibongkar dan dirungkai, teruatama darihal perjuangan mereka ini, Rejimen ke 10 contohnya yang pemimpin dan anggotanya rata-rata orang Melayu yang beragama Islam.

Kini Rashid telah pun meninggal dunia dan disemadikan di bumi asing, sedangkan sewaktu hidupnya beliau teringin benar mahu kembali ke tanahair dan menamatkan sisa hidupnya di sini. Kiranya beliau dibenarkan pulang tanpa syarat semasa hayatnya, saya pasti pakar sejarah, para penganalisa politik semuanya berpeluang mencungkil dan menyelami rahsia perjuangannya untuk tatapan jenerasi hari ini dan yang mendatang.

Apa pun Rashid sudah tiada, yang tinggal pada kita hanyalah kisah keganasan PKM, Rashid dan lain-lain. Mungkin demi menghargai sejarah yang sebenar kita seharusnya mengambil kesempatan yang ada untuk memanfaatkan kehadiran saki baki pimpinan PKM untuk kita merakamkan pengalaman mereka buat dikaji dan diteliti.

Kita benci dan menolak ideologi komunis yang dianuti mereka namun kita tidak boleh menulis sejarah mengikut kehendak dan pentafsiran kita semata-mata kerana di sana masih banyak yang sengaja dipadam dan dipendamkan.

Wallahualam.

No comments: