Rashid Maidin meninggal dunia
Bekas anggota jawatankuasa Pusat Parti Kominis Malaya PKM Rashid Maidin 89 tahun meninggal dunia pagi tadi di rumah anak perempuannya di Sisakoin, Narathiwat, Thailand dan dijangka dikebumikan di situ petang ini.
Rashid dilahirkan pada 10 Oktober 1917 di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Beliau pada awalnya terlibat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM dan menyertai PKM pada tahun 1951 dan kemudiannya mengetuai Regimen Ke 10 PKM.
Rashid pernah ditahan oleh penjajah British dan merupakan salah seorang tahanan yang telah berjaya membolos diri semasa tahanan tersebut.
Beliau terkenal kerana pernah mengiringi Setiausaha Agung PKM Chin Peng, dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dengan Tunku Abdul Rahman.
Pada tahun 1989 setelah Perjanjian Damai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM yang telah bersetuju meletakkan senjata Rashid memilih untuk terus tinggal di Narathiwat sehinggalah meninggal dunia.
Samada kita suka ataupun tidak Rashid merupakan seorang ikon sejarah yang telah menyumbang ke arah perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Selama ini Rashid digambarkan sebagai seorang pengganas, seorang yang telah terlibat membunuh askar Melayu dan penduduk tempatan.
Bahan sejarah versi penjajah yang ada di tangan kita semuanya menghukum Rashid. Malangnya Rashid tidak diberi peluang membela diri dan kini beliau telah pun meninggal dunia. Namun Alhamdulillah Rashid sempat merakamkan memoirnya dalam sebuah buku yang diterbitkan di sini.
Insyallah saya akan cuba merakamkan dalam BLOG ini beberapa perkara penting yang dinukilkan oleh Allahyarham dalam memoirnya itu untuk kita sama-sama renungi dan nilaikan.
Alfatihah.
No comments:
Post a Comment