Friday, September 08, 2006

Semoga Tun berjaya sebagai perwakilan Kubang Pasu

Tun Dr Mahathir, bekas Presiden Umno dalam sidang akhbarnya baru-baru ini mendakwa sudah tidak ada demokrasi lagi dalam Umno. Beliau mendedahkan bahawa terdapat usaha untuk mensabotaj cubaan beliau untuk bertanding sebagai perwakilan bahagian Kubang Pasu yang dijadualkan berlangsung esok sempena Mesyuarat Agung Perwakilan bahagian tersebut. (Sila lihat rakaman di http://wtv8.tv)

Tun bertanding untuk menjadi perwakilan kerana berhasrat hadir dalam Perhimpunan Agung Umno November depan untuk menyuarakan pandangannya dalam forum terbesar parti Melayu itu. Bagi beliau forum itu adalah tempat terbaik untuk beliau mencurahkan pandangannya terhadap kepimpinan Umno yang ada hari ini.



Pimpinan Umno termasuklah di Kubang Pasu seolah telah membayangkan suasana kiranya Tun berjaya menjadi perwakilan November nanti. Lalu usaha terus dibuat untuk menggagalkannya. Dalam UTUSAN harti ini di bawah tajuk:

Rayuan terakhir UMNO Kubang Pasu kepada Dr. Mahathir

UTUSAN
melaporkan:

UMNO Bahagian Kubang Pasu hari ini membuat rayuan terakhir kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menarik diri daripada bertanding merebut satu daripada kerusi perwakilan bahagian itu, Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, sepucuk surat juga telah diutuskan kepada bekas Presiden UMNO itu memohon agar beliau memikirkan semula keputusan untuk bertanding.

Ini rayuan terakhir sebelum persidangan perwakilan Sabtu ini. Dengan rendah hati saya merayu kepada Tun, katanya yang sesekali kelihatan sebak pada sidang akhbar di pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun Dr. Mahathir tidak dihalang untuk bertanding sebagai anggota perwakilan bahagian itu namun demi menjaga imejnya, UMNO bahagian itu merayu beliau menarik diri.

Kenapa sehingga jadi demikian? Sedangkan Tun sendiri menyatakan dalam sidang akhbarnya beliau tidak nampak yang usahanya untuk menjadi perwakilan itu seolah merendahkan kedudukannya. Kalau tuan punya badan pun tak kisah kenapa pula Johari sampai kononnya sebak merayunya menarik diri?

Tak pernah seingat saya berlaku dalam sejarah Umno dimana ada usaha seumpama ini untuk merayu agar calon untuk jawatan perwakilan bahagian menarik diri!

Benarlah yang banyak pihak sebenarnya takut dan kecut sekiranya Tun berjaya menjadi perwakilan November ini. Jika tidak takkanlah Johari bersusah payah sampai terpaksa berlakon sebak. Jika tidak masakan Radzi Sheikh Ahmad selaku Setiausaha Agung turun secara senyap-senyap ke Kubang Pasu untuk berjumpa pimpinan bahagian dan cawangan-cawangan di situ.

Kalau apa yang Tun perkatakan sebelum ini semua bohong dan palsu belaka sebagaimana yang didakwa oleh Dollah dan menantunya Khairy, maka apa yang mahu dibimbangkan sangat. Biarlah beliau jadi perwakilan, biarlah beliau bercakap. Pasti kiranya tiada yang benar ribuan perwakilan Umno yang hadir akan menyorak dan BOO beliau, sebagaimana yang pernah berlaku pada Tunku satu ketika dahulu (semasa beliau Presiden).

Agakanya yang dibimbangi adalah apabila Tun hadhir ramai yang akan terpukau dan terpaku dan akan memberi simpati pada beliau dan apabila beliau bercakap orang ramai akan memberikannya STANDING OVATION dan akhirnya beliau akan berjaya menggerhanai Presiden parti sendiri, dan ketika itu orang akan bersorak:

Turun Pak Lah turun!

Apa pun esok, Tun akan bertanding, sama-samalah kita lihat kesudahannya. Bagi saya samada Tun gagal atau berjaya, apa pun keputusan Dollah akan terus berada dalam dilemma dan bahaya, dan beliau dan Khairy lebih baik bersedia untuk menepis dan menampan diri dari terus dicakar dan dimamah oleh singa tua yang luka yang sudah pasti tidak akan tidur sehingga ia mati berjuang (menurut caranya)!

No comments: