Harga ayam naik lagi
Macam satu mimpi ngeri. Sedang kita heboh membicarakan tentang himpitan kos hidup yang semakin melemaskan berikutan kenaikkan harga barang-barang dan perkhidmatan tiba-tiba kita dikejutkan lagi dengan kenaikkan harga ayam pula.
Ayam!!
Ya baru minggu lepas, diambang menyambut bulan Ramadhan kita dipaksa dengan kenaikkan harga ayam mentah sebanyak 65sen se kilogram. Keluhan dan rungutan kenaikkan itu belum pun panas lagi tiba-tiba semalam diumumkan naik lagi harga ayam. Kali ini naik 40 sen lagi se kilogram.
Bermakna mulai hari ini harga ayam naik dari RM5.65 sekilo ke RM6.05 sekilo.
Jangan bimbang kata Persekutuan Penternak-penternak Ayam Malaysia PPPM, harga tersebut masih di bawah harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM6.70 sen sekilo.
Bagi saya para pengguna seolah dimain-main dan dipersendakan oleh PPPM. Adakah kerana harga siling kerajaan itu RM6.70 sen maka suka hati mereka untuk menaik dan meminda-minda harga, asal sahaja ia tidak lebih dari harga siling itu? Dan dalam hal ini saya kira kerajaan juga tidak terkecuali dari menjadi bahan untuk dipermain-mainkan oleh PPPM. Harga siling menjadi harga untuk dieksploitasi dalam keghairahan para penternak dan usahawan industri ini untuk mengaut keuntungan dari para pengguna.
Barangkali nanti akan ada bijak-pandai yang mencadangkan kalau harga ayam dah naik, makan sahaja ikan atau daging. Atau kalau dalam hal harga sayur dahulu kalau harganya dah naik maka pengguna perlu tanam sendiri sayur, lalu dalam hal ini, belalah ayam sendiri. Mungkin selepas ini pihak PBT kena membina rumah pangsa siap dengan sangkar ayam.
Memang kita boleh tinggalkan ayam dan makan barangan lain. Tetapi soalnya yang lain pun makin naik lalu kalau naik terus elok kita berpuasa sahaja terus, buka dengan minum air paip, itu pun naik juga. Malaysia Boleh!
(Semalam THE STAR melaporkan ekonomi Malaysia berada dikedudukan 26 peringkat dunia!)
No comments:
Post a Comment