JERIT menjerit di Bangunan Parlimen
Semalam seramai lebih 500 orang para pekerja kilang yang bernaung di bawah Gabungan Pekerja Kilang dan Kesatuan Jaringan Rakyat Tertindas atau singkatannya JERIT telah berhimpun diperkarangan Bangunan Parlimen. Mereka berada di sana seawal pagi untuk menyerahkan memorandum dan petisyen kepada PM bagi menyatakan suara hati dan tuntutan mereka.
Namun sebagaimana diketahui PM kini berada di luar negara manakala TPM pula ketika itu tidak berada di Parlimen.
Adalah difahamkan ketika itu kalangan ahli-ahli Parlimen BN telah berpakat untuk keluar berjumpa dengan kumpulan ini. Barangkali mahu menangguk publisiti, mahu menjadi juara kerana sepatutnya dalam ketiadaan PM atau TPM, mana-mana Menteri Kabinet atau Timbalan atau Setiausaha Parlimenlah yang paling layak mewakili kerajaan dalam urusan sebegini.
Maka muncullah empat orang pendekar Parlimen iaitu ahli-ahli Parlimen Jasin, Sri Gading, Larut dan Jerai bagaikan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (berita bergambar sila lihat http://wtv8.tv )
Yang sedihnya wakil-wakil kumpulan tersebut tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen, bangunan yang merupakan simbol kemegahan demokrasi dan suara rakyat di Malaysia. Mereka hanya dilayan di pintu pagar sahaja di bawah terik matahari.
Yang jelas keempat-empat pendekar tadi sekadar dapat mendengar dan menerima sahaja memorandum dan lebih 80,000 kad petisyen yang dibawa dengan beberapa kereta sorong oleh para pekerja tadi. Kemudian mereka berlalu dengan janji kononnya akan membangkitkan isu tersebut semsa sessi perbahasan nanti.
Tiada diantara mereka yang mengambil serius bahawa nasib pekerja kilang sungguh malang di negara kita hari ini. Tiada peruntukkan undang-undang atau peraturan yang menetapkan gaji minima bagi mereka. Ada yang menerima gaji minima dari RM300 ke RM500 sahaja sebulan. Kerana itu kumpulan ini menuntut sekurang-kurangnya gaji minima RM900 melalui penguatkuasaan undang-undang. (Adalah difahamkan jangkamasa kerja mereka pun bukan semuanya 8 jam sehari sebagaimana pekerja disektor lain. Ada diantara mereka dikenakan waktu bekerja sehingga 12 jam!)
Dengan kos hidup yang melambung naik sudah pastilah tuntutan mereka itu berpada.
Diharapkan pihak kerajaan jangan hanya fokus pada gaji kecil anggota polis semata-mata. Sesungguhnya masalah gaji kecil ini ditanggung oleh semua sektor awam dan swasta. Ianya begitu ketara lantaran kegagalan kerajaan mengawal kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang telah mengakbatkan kesemptina hidup rakyat jelata seluruh negara.
Sampai bilakah penderitaan ini akan terus ditanggung rakyat?
No comments:
Post a Comment