Monday, September 04, 2006

Islam menghormati perbezaan agama

Pada hari Jumaat lepas saya merakamkan TAKZIAH BLOG ini ke rakan-rakan yang beragama BUDDHA di atas kematian Ketua Agama mereka Dr K. Sri Dhammananda Nayaka Maha Therra melalui artikel saya:

Condolence to my Buddhist friends

Dr Dhammananda merupakan Ketua Agama Buddha bagi rantau Malaysia dan Singapura.

Hakikat kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Sungguhpun majoriti rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun di sana terdapat juga sebilangan besar rakyat Malaysia dari bangsa-bangsa lain yang menganut agama pilihan mereka samada Kristian, Hindu dan termasuklah Buddha.


Gambar dari www.jeffooi.com

Kejayaan kita melahirkan keharmonian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang penting dan perlu dipelihara. Malah saya yakin kiranya masing-masing penganut berpegang teguh kepada agama masing-masing dan dalam waktu yang sama menghormati perbezaan itu, insyallah keharmonian kita akan semakin kukuh dan padu. Dan bukan sahaja itu saya turut yakin ketika itu segala bentuk kejahatan dan kesalahan moral termasuklah rasuah dan salah-guna kuasa akan dapat dibendung dan diperangi.

Saya tidak dapat menafikan bahawa ketika saya menulis artikel itu saya sangat mengharapkan agar golongan Islam terutama dikalangan mereka yang berpegang teguh pada Islam akan muncul dan hadir memberikan takziah di atas kematian Ketua Agama Buddha ini sebagai simbol keharmonian yang disebutkan itu.

Saya sengaja memaparkan usaha kerajaan PAS di Kelantan berhubung jalinan persahabatan yang telah sekian lama wujud di negeri itu antara penganut Islam dan Buddha dengan harapan kerajaan negeri Kelantan lah yang seharusnya berdiri dan mewakili masyarakat Islam bagi memberikan ucapan takziah masyarakat Islam terhadap rakan-rakan kita itu.

Seakan isyarat saya dibaca, dengan izin Allah swt PAS telah mengirim Naib Presidennya yang juga EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Dato Hj Husam Musa yang diiringi Bendahari Agungnya Dr Hatta Ramli untuk menghadiri majlis Eulogy atau memperingati jasa mendiang sebelum dikebumikan.

Mudah-mudahan melalui engagement ini akan menonjolkan Islam sebagai sebuah agama yang berjiwa besar dan menghormati anutan dan kepercayaan pihak lain, tidak sebagaimana digambarkan oleh musuh-musuhnya.

No comments: