Bajet 2007: Apa yang nak diharapkan?
Kira-kira beberapa jam lagi Menteri Kewangan yang juga PM akan membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2007. Kita mengharapkan bajet kali ini akan berupaya meringankan beban rakyat jelata yang semakin terhimpit hidupnya akibat kenaikkan harga minyak, perkhidmatan dan barangan sepanjang tahun 2006 ini.
Dulu pun kerajaan berkata Bajet 2006 berhemah dan baik untuk rakyat, akan membela nasib rakyat. Rupanya tidak. Kadar inflasi mencecah 4 peartus. Semakin berhemah semakin tenat rakyat tercungap-cungap nafas untuk hidup lantaran kenaikkan kos hidup yang semakin membebankan itu.
Rakyat jelata merasakan perit hidup mereka, dan bayangkan warga emas yang sudah pencen dan ada yang tidak berpencen. Bagaimana pula nasib mereka?
Kita mengharapkan kerajaan yang megah melaungkan slogan TRADISI MEMBELA RAKYAT kali ini akan benar-benar menepati retorik pilihanraya mereka itu. Kadang-kadang terfikir juga, apa guna berbelanja berpuluh billion untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, sedangkan rakyat jelata seluruh negara terus susah.
Saya sempat duduk dengan seorang pemandu teksi semalam dalam satu majlis kenduri kahwin. Kata beliau kalau diperhatikan ada dikalangan pemadu-pemandu teksi di Lembah Kelang sengaja menaikkan jalur gemilang di teksi masing-masing dalam keadaan terbalik. Mengapa tanya saya? Katanya PROTES terhadap kenaikkan kos hidup.
Dalam waktu yang sama saya mengharapkan kerajaan akan menekan dan menjerat industri maksiat (yang kerajaan halalkan itu) yang terus diberikan keizinan beroperasi itu. Jangan biarkan mereka bermaharajalela meraih keuntungan dari tahun ke tahun. Naikkan setinggi mungkin cukai perjudian (gaming tax), cukai arak dan minuman keras, cukai hiburan (entertainment tax) terutama yang berkaitan dengan kelab-kelab malam, rumah-rumah urut, pub dan karaoke. Cukai tembakau dan ke atas rokok juga mesti ditingkatkan lagi jika kerajaan serius dengan Kempen TAK NAK nya yang semakin SENAK itu.
Sepatutnya yang diturunkan adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan keperluan rakyat jelata supaya hidup ini semakin selesa. Barangan persekolahan anak-anak, buku, pakaian, bag sekolah, kasut. Mengapa barang-barang ini terlalu mahal sehingga membebankan ibu-bapa dan penjaga.
Naikkanlah gaji kakitangan awam, perkenalkanlah gaji minima untuk pekerja-pekerja swasta. Pastikan KWSP yang merupakan wang simpanan masa depan rakyat membawa pulangan yang baik.
Rabu lepas akhbar THE STAR melaporkan Kementerian Kerja Raya sedang berunding dengan 5 pemegang konsesi lebuhraya yang dijadulkan akan menaikkan kadar tol di lebuhraya masing-masing tahun hadapan. Iaitu LDP, Lebuhraya Karak, Grand Saga, KESAS, Guthrie. Sudahkah kerajaan memikirkan implikasi kenaikkan tol ini ke atas rakyat jelata? Atau memang kerajaan sudah tidak peduli kerana telah terima mandat yang besar pada Pilihanraya Umum ke 11 lalu?
Dan sementara itu tepat sebagaimana diperkatakan oleh bekas CEO Proton Tengku Mahalel dan bekas PM Tun Dr Mahathir sebelm ini, Proton yang merupakan syarikat yang berkaitan dengan kerajaan GLC terus mencatatkan kerugian.
Bagi suku pertama berakhir 30 Jun ia rugi sebanyak RM58.6 juta. Jualannya jatuh sebanyak 31peratus ataupun RM1.42 billion. Adakah ini kesan langsung dari isu AP? Dan dalam pada Proton rugi syarikat judi Genting terus mencatatkan keuntungan berlipat ganda. Bagi separuh tahun pertama 2006 Genting mencatatkan keuntungan bersih RM579.5 juta dengan jualan sebanyak RM2.9 billion!
Demikianlah Malaysia kita. Rakyat bingung dengan tekanan hidup yang semakin berat, syarikat-syarikat maksiat terus untung, syarikat kerajaan terus rugi dan menteri-menteri kabinet terus menyatakan kami sokong, kami sokong.
No comments:
Post a Comment