Wednesday, September 19, 2007

Tapak sekolah agama dibangunkan untuk tujuan lain

Pada hari Isnin lepas sisipan akhbar The Star yang memuatkan berita-berita perniagaan, Starbiz ada menerbitkan satu iklan projek perumahan baru. Di USJ17 Subang Jaya yang dipanggil RESTREES.

Dari iklan satu muka itu ternyata projek perumahan di tanah seluas 15 ekar itu disasarkan kepada masyarakat berpendapatn tinggi. Apa tidaknya nilai jualan rumah-rumah berkembar dua setengah tingkat itu dijual pada harga minima RM1.5 juta seunit. Pemaju projek ini menurut iklannya adalah sebuah syarikat yang diberi nama Utusan Seni Sdn. Bhd. Manakala pemilik tanah adalah Majlis Agama Islam Selangor atau MAIS. Beruntung juga MAIS memiliki tanah di prime area di USJ Subang Jaya.

Yang menjadi kemusykilan adalah apabila saya menerima maklumat dari bekas orang dalam yang terlibat dalam pembangunan USJ Subang Jaya, bahawa tanah tersebut sebenarnya adalah merupakan tanah wakaf yang telah diserahkan oleh pemaju USJ Subang Jaya kepada MAIS dengan maksud ia dibangunkan bagi tujuan Sekolah Agama. Bolehkah MAIS pandai-pandai mengubah status tanah itu untuk dimajukan sebagai taman perumahan?

Satu-satu Sekolah Agama KAFA yang berada di kawasan USJ adalah di premis Masjid Al Falakh USJ 9. Sekolah itu cuma mampu menampung sekitar 500 orang pelajar pada satu-satu sessi sedangkan permintaan untuk menghantar anak-anak ke sekolah itu berlipat kali ganda. Kerana itu ada dikalangan kanak-kanak Islam disekitar USJ samada tidak mengikuti kelas KAFA atau terpaksa dihantar ke Sekolah Agama Masjid Darul Ehsan di SS15 Subang Jaya.

Bagaimana ini boleh berlaku?

No comments: