Tuesday, September 25, 2007

PM perlu lahirkan cadangan yang lebih rasional dan praktikal

Saya percaya semua pihak masih rancak memperkatakan darihal kematian ngeri dan menyayat hati adik Nurin Jazlin. Siapakah yang menculik, menderanya secara seksual dan membunuhnya? Sehingga kehari ini pihak polis masih lagi mencari-cari binatang yang bertopengkan manusia itu. Simpati kita semua terhadap kedua ibu-bapa dan keluarga Nurin.
Kini masing-masing pihak prihatin bagaimana caranya kita mahu mengelakkan kejadian ini dari berulang ke atas anak-anak kita yang lain.

Saya turut membcaca bagaimana PM yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dollah Badawi turut melahirkan kebimbangan beliau. Memang selaku ketua negara dan menteri yang bertanggungjawab, kita semua menunggu-nunggu bagaimanakah jalan penyelesaian yang boleh beliau kemukakan kepada rakyat bagi mengatasi kejadian malang seumpama ini.

Semalam selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Tertinggi Umno, maka terbitlah Dollah dikaca TV seluruh negara memaklumkan cadangan beliau supaya diwujudkan persekolah satu sesi bagi membolehkan kanak-kanak berada lebih lama di sekolah. Ini menurut beliau bagi membendung jenayah seksual dan pembunuhan terhadap golongan ini.

Saya tidak tahu adakah cadangan Dollah itu telah pernah dibincangkan olehnya bersama para pegawainya terlebih dahulu atau semata-mata terpacul keluar dari benak pemikirannya secara spontan. Kerana bagi saya jika Dollah merujuk kepada insiden yang terjadi terhadap adik Nurin Jazlin, Dollah barangkali terlupa bahawa adik Nurin diculik pada 20 Ogos lalu ketika berada di kawasan pasar malam di Wangsa Maju. Bermakna ancaman terhadap beliau berlaku di luar waktu sekolah, sesi pagi mahupun petang sudah berakhir ketika itu. Lalu mengapa jika Dollah mengambil kes ini sebagai landasan, maka perubahan sesi sekolah pula yang dicadangkannya?

Cadangan kedua beliau mengenai menghidupkan kembali Rukun Tetangga. Yang ini mungkin ada rasionalnya sedikit, cuma cara bagaimana ia dilaksanakan perlu difikirkan, contohnya jika kita mengambil kira kawasan flet kos murah yang pelawat dan penghuninya keluar masuk 24 jam, seperti di Wangsa Maju, Cheras, Kg Lindungan (kerajaan patut telah fikirkan masalah ini semasa memperkenalkan jenis penginapan seperti ini buat rakyat). Bagi mereka yang tinggal di taman perumahan mungkin ia lebih berkesan.

Berbalik kepada sekolah satu sesi, saya rasa kita masih ingat cadangan kerajaan satu waktu dahulu untuk memperkenalkan jenis persekolah ini tetapi ia kemudiannya ditolak kerana masalah kos dan logistik. Kini Dollah mahu menghidupkannya kembali. Soalnya jika sekolah sudah menjadi satu sesi, bagaimana dengan sekolah agama atau KAFA?

Untuk makluman Dollah kes pencabulan anak-anak juga berlaku di sekolah-sekolah.
Saya rasa untuk memperkenalkan satu penyelesaian yang efektif biarlah PM mengarahkan satu kajian komprehensif dilakukan. Tubuhkan satu Jawatankuasa Khas melibatkan cerdik-pandai, NGO dan parti-parti politik untuk menggubal satu formula bagi mengelakkan dari berulang kes seumpama ini terhadap anak-anak kita. Tak perlulah macam melepaskan batuk ditangga, memperkenalkan sesuatu yang tidak rasional, tidak praktikal, akhirnya tidak kemana.

Masalah ini serius dan kerajaan serisu dalam membendungnya. Kebetulan kes seumpama ini menular diwaktu pentadbiran Dollah, mengapa, wallahualam.

No comments: