Monday, September 17, 2007

Raja berjiwa rakyat lebih penting dari orang politik

Raja berjiwa rakyat adalah istilah yang selalu digunakan bagi menggambarkan betapa intim dan rapatnya, pihak istana dengan rakyatnya. Tidak dapat dinafikan golongan istana dianugerahkan oleh Allah swt kelebihan serba-serbi mengatasi sebahagian besar rakyat kebanyakkan. Itulah adat dan cara masyarakat Melayu turun-temurun sehinggalah negara mencapai kemerdekaan, maka institusi Raja-raja Melayu terus diterima sebagai sebahagian dari kerajaan dengan kewujudan diiktiraf oleh perlembagaan negara dan negeri-negeri.

Lazimnya apabila istana pandai mengambil hati rakyat, prihatin dan mengambil berat hal kebajikan rakyat, maka mereka akan disanjungi rakyat, dan kemana sahaja mereka kunjungi, rakyat akan terima mereka dengan bangga dan besar hati.

Raja-raja Melayu turun-temurun ada yang disanjungi, ada juga yang ditakuti dan malah dibenci rakyat.

Almarhum Sultan Selangor Sultan Hishamuddin Alam Shah (Yang Dipertuan Agong Kedua) contohnya dikenali sebagai sultan yang warak dan menitki-beratkan hal agama. Almarhumlah yang telah menaja kumpulan NGO dan parti-parti Melayu yang akhirnya menubuhkan Umno bermula dari Kelab Sultan Sulaiman di Kg Baru, KL. Almarhum juga menghadiahkan istana nya di Kelang untuk dijadikan Kolej Islam Kelang.

Kemudian kalau kita baca catatan Allahyarham Ahmad Boestamam di dalam bukunya Tujuh Tahun Malam Memanjang, beliau menulis:

Di dalam banyak-banyak Sultan hanya Sultan Pahang seorang sahajalah yang pernah melawat ke khemah-khemah tahanan sepanjang ingatan saya.

Semasa kunjungan Tuanku ke kem dimana beliau ditahan Boestamam mencatatkan bahawa Tuanku Sultan pernah bertitah:

Kalau sekiranya Encik Boestamam ini ditahan di Pahang, sudah lama saya membebaskannya.

Abdullah CD di dalam bukunya juga ada menulis betapa pejuang-pejuang yang berjuang menentang British telah menerima galakkan dan sokongan besar dari pihak istana termasuklah dari istana Terengganu dan Pahang.

Demikianlah contoh-contoh pihak istana mengambil langkah proaktif, mencampakkan diri mereka ke hadapan demi membela kepentingan rakyatnya.

Saya membangkitkan hal ini kerana sejak kebelakangan ini kita melihat pihak istana semakin aktif mengambil peranan sebagai payung tempat rakyat berteduh. Bermula dari Raja Muda Perak, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Puan Pahang, Tengku Mahkota Johor dan lain-lain.

Semalam Raja Zarith Idris, isteri kepada Tengku Mahkota Johor di dalam ruangan mingguannya dalam akhbar The Sunday Star – Mind Over Matters, menceritakan keprihatian beliau terhadap permasalahan rakyat dan kesederhanaan hidup beliau dan anak-anak walaupun dikelilingi kemewahan. Raja Zarith mengakui beliau lebih selesa dengan sandal dari Bata dan membeli-belah di kedai tempatan.

Dalam kita semakin muak dan bosan dengan kelakuan dan tingkah-laku orang-orang politik dan anak-beranak mereka, mungkin membaca dan melihat perubahan dikalangan penghuni istana-istana kita, mereda dan menyejukkan hati kita. Tambah-tambah mereka yang ada kesedaran agama seperti SPB Yang Dipertua Agong dan Permaisuri dan yang lain-lain

Mudah-mudahan mereka yang berada di istana akan semakin dekat dengan rakyat, kerana pemimpin politik ini datang dan pergi tetapi Raja-raja Melayu insyallah akan terus kekal bertakhta. Mudah-mudahan akan ramai yang nanti sehebat Almarhum Sultan Selangor dan Pahang satu ketika dahulu.

Daulat Tuanku, jangan bairkan rakyat merana ditangan orang politik yang rakus.

No comments: