Thursday, June 29, 2006

Bukti pembohongan kerajaan di Parlimen

Semalam dalam BLOG ini saya menulis betapa Setiausaha Parlimen Kementerian Luar dan Ahli Parlimen Dungun telah berbohong dalam isu HAMAS di Dewan Rakyat.

Berikut saya sertakan HANSARD Parlimen yang diperolehi dari Laman web Parlimen Malaysia:

Datuk Rosli bin Mat Hassan [Dungun]:

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Dalam Persidangan NAMCoB ataupun Mesyuarat Negara-negara Berkecuali di Peringkat Biro Penyelarasan baru-baru ini di antara 27 hingga 30 Mei, yang mana ada dinyatakan dalam media Harakah, lidah rasmi parti pembangkang PAS di Malaysia kita ini yang menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia telah memberi layanan yang buruk kepada Dr. Mahmoud Al-Zahar iaitu Menteri Luar Palestin yang mewakili daripada parti Hamas.

Kalau ini benar sehingga ada kenyataan dalam Harakah yang menyatakan Dr. Mahmoud memboikot mesyuarat tersebut dan ini menjejaskan kredibiliti kepimpinan negara kita, dan kalau ini dinyatakan benar, apakah sebenarnya yang berlaku dalam isu yang dinyatakan dalam media Harakah berkenaan. Terima kasih.

Tuan Ahmad Shabery Cheek:

Tuan Yang di-Pertua, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat bagi Dungun. Saya kira kalau benar apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat, adalah tidak benar sama sekali. Kita tidak pernah memberikan layanan buruk kepada sesiapa terutama sekali kepada pihak Hamas yang menjadi tetamu kita juga pada sidang tersebut.



Mesranya PAS dengan HAMAS

Perlu dijelaskan juga, Tuan Yang di-Pertua, bahawa Malaysia telah menghantar surat
jemputan bagi sidang NAM-CoB di Kuala Lumpur baru-baru ini kepada pihak Kementerian Luar Palestinian Authority ataupun Autoriti Palestin di mana pihak Menteri Luar, Mahmoud Al-Zahar sendiri telah menyatakan bahawa beliau akan datang. Tetapi dalam pertemuan antara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam sidang di Sharm El-Sheikh baru-baru ini, perlu dijelaskan bahawa Presiden Mahmoud Abbas turut menyatakan bahawa pihak beliau akan menghantar Farouk Al-Kaddoumi sebagai wakil daripada PLO untuk hadir di sidang NAMCoB baru-baru ini.

Oleh kerana itu pihak Malaysia mengatakan bahawa kedua-duanya boleh hadir dan
kedua-duanya sepatutnya datang untuk menyampaikan pandangan-pandangan mereka di dalam sidang tersebut dan juga kita ada satu sesi khas mengenai Palestin yang sepatutnya kedua-duanya boleh menunjukkan bahawa mereka boleh bersatu dan sama-sama bercakap tentang kepentingan rakyat Palestin dalam sidang tersebut.

Tetapi malangnya, mungkin ada perselisihan antara kedua belah pihak. Wakil daripada
Hamas menyatakan bahawa mereka tidak mahu untuk menghadiri sidang tersebut dan
sebaliknya hanya ingin mengadakan pertemuan dua hala antara pihak beliau dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita.

Saya kesallah sekiranya ada pihak yang tertentu memburukkan kerajaan Malaysia kerana, pihak PAS terutama sekali yang seolah-olahnya merendahkan pemimpin Islam Hamas yang kononnya kepada pihak PAS dia itu adalah seorang yang kurang ajar selepas datang menjadi tetamu kerajaan Malaysia dan keluar daripada sidang tersebut menghentam dan mengkritik kerajaan Malaysia. Saya tidak fikir bahawa seorang pemimpin Islam sanggup berbuat demikian, tetapi yang memburukkan nama baik Hamas ialah PAS itu sendiri.

Terima kasih.

Terbukti Shabery telah BERBOHONG di Dewan Rakyat.

Benarkah PAS pernah pada bila-bila masa merendahkan pemimpin HAMAS? Shabery mengatakan kononnya PAS menganggap Menteri Luar HAMAS itu sebagai kurang ajar kerana datang sebagai tetamu tetapitelah menghentam dan mengkritik kerajaan Malaysia?!

Ternyata SU Parlimen itu telah memperolehi maklumat yang palsu, berbohong dan menghina Parlimen.

Untuk rekod PAS telah sekian lama menjalin hubungan politik dengan HAMAS. Malah Tabung RM1 Untuk Palestin anjuran PAS adalah untuk disalurkan bagi membantu kerajaan HAMAS di Palestin. Oleh itu menuduh PAS sebagai merendahkan HAMAS jelas suatu pembohongan terang-terangan.

Sebenarnya Kementerian Luar dan kerajaan Malaysialah yang kurang ajar kerana mengundang wakil PLO dari Fatah sedangkan Fatah inilah yang telah ditolak oleh rakyat Palestin. Mustahil Kementerian Luar tidak tahu akan pergolakan antara Fatah dan HAMAS, sedangkan budak sekolah rendah pun tahu!

Bagi saya sikap kerajaan Malaysia mengundang tokoh Fatah yang ditolak rakyat Palestin untuk digandingkan dengan Menteri Luar Palestin yang sah dari HAMAS itu merupakan satu kesilapan besar, dan inilah punca segala-galanya.

Mungkin kerajaan Malaysia dah biasa sangat dengan perkara seumpama ini. Kerana dalam negara itulah amalan mereka. Mereka sukar mengiktiraf kerajaan PAS di Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Abd Aziz, kerana itu diwujudkan Jabatan Persekutuan di Kelantan, dan Kelantan menerima kekangan dan sekatan pelbagai, saling tak tumpah macam di Palestin juga. Jadi tak hairnalah dalam hal ini kerajaan Malaysia keliru dan terpaksa berbohong.

No comments: