Monday, June 26, 2006

Berjiwa besar terhadap Tun Dr Mahathir (walaupun pedih)

Ramai yang tidak senang dengan Tun Dr Mahathir, terutama sepanjang 22 tahun beliau sebagai PM Malaysia. Walaubagaimanapun kita juga perlu menerima hakikat bahawa ramai juga yang selesa dan senang dengan kepimpinannya. Apa pun memang kita berhak untuk menilai dan membuat keputusan kita masing-masing terhadap beliau dan kepimpinannya.

Tun pernah terlibat dalam merancakkan pembangunan negara. KLIA, Menara KL, KLCC, KL Central, Lebuhraya, Proton, Perodua, Putrajaya, MSC, Sukan Komanwel dan berbagai lagi berlaku dan dibina dizaman beliau.


gambar Malaysiakini

Demikian juga Peristiwa Memali, pemecatan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim lain, skandal BMF, Operasi Lalang (yang menahan lebih 100 orang pemimpin politik, NGO dan agama), pemecatan DSAI dan pendakwaan terhadap beliau atas kes rasuah dan liwat, diskriminasi terhadap kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu dan banyak lagi juga berlaku dizaman beliau.

Namun sekarang Tun bukan lagi PM, bukan juga Presiden Umno dan Pengerusi BN. Tun sekadar seorang bekas negarawan, bekas PM dan kini sekadar rakyat dan warga biasa.

Tetapi Tun kelihatan terus bersuara dan menyatakan pandangan dan pendiriannya. Sejak akhir-akhir ini pandangan beliau itu kelihatan sungguh kontroversial dan mula membimbangkan kerajaan PM Dollah Badawi sehingga ke peringkat ada yang menyatakan bahawa beliau hampir dipecat keahliannya dari Umno lantaran keceluparan mulut beliau itu dari kacamata puak Abdullah.

Tun membongkar rahsia disebalik pembatalan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor. Tun terus mengkritik isu AP dan Proton serta pemecatan CEO Proton dan penjualan MV Augusta. Malah Tun kini turut mengkritik Islam Hadhari.

Tetapi yang paling kontroversial adalah apabila Tun menganggap PM yang ada ini tidak layak, dipengaruhi oleh menantunya dan sanggup tunduk kepada kerajaan Singapura.

Bermakna Tun kini sudah menyongsang arus, mengkritik bukan sekadar PM malah TPM dan seluruh kabinet Dollah yang dikatakannya tiada kualiti, mengampu dan menyokong walaupun dalam perkara yang tidak benar. Dan Tun tidak sekadar mengkritik kosong tetapi penuh dengan fakta dan bukti.

Saya menghadiri Majlis Ucapan Khas dan Dailog oleh Tun di Kelab Century Paradise Sabtu lepas anjuran Gabungan Badan-badan NGO dan Malaysia Today.

Secara peribadi memang saya juga (sebagaimana sahabat-sahabat yang lain) terguris hati dan benci pada Tun terhadap apa yang pernah beliau lakukan semasa beliau PM dahulu. Tetapi saya merasakan saya berlaku tidak adil terhadap Tun dan diri saya sendiri jika saya tidak mengambil kesempatan untuk mendengar apa yang mahu beliau perkatakan.

Sekurang-kurangnya saya lihat Tun berani hadir dengan isteri beliau di majlis yang turut dihadiri sama oleh mereka yang tidak pernah senang dengan beliau selama ini. Saya lihat PAS diwakili oleh kepimpinan tertingginya diketuai Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin, Dato Husam, YB Salahuddin, Dr Lolo, Dr Siti Mariah, Hj Mahfuz (yang pernah ditahan dizaman Tun). Turut hadir adalah Ronnie Liu dari DAP, aifuddin Nasution dan Rahman Othman dari PKR dan ramai lagi.

Ternyata dalam majlis tersebut Tun membuktikan yang beliau kini membawa satu perjuangan yang sama-sekali berbeza semasa beliau PM dahulu (kerana itu Hj Mahfuz Omar pernah mengeluarkan kenyataan nakal yang menyatakan bahawa perjuangan Tun kini sama dengan perjuangan beliau). Tun kini kelihatan sebagai seorang antagonis, seorang pengislah, seorang revolusiner yang cuba membongkar kedurjanaan kerajaan yang ada dengan harapan suatu perubahan besar akan berlaku.

Yang pastinya perubahan besar itu bukan untuk beliau sebab mustahil beliau mahu kembali ke jawatannya. Perubahan besar yang ingin dicetuskannya itusaya yakin adalah untuk rakyat Malaysia, amnya.

Saya melihat setakat majlis semalam, Tun telah membuktikan kesediannya untuk menyumbang ke arah perubahan itu. Sewajarnya kita memanfaatkan kesediannya itu.

YBM Tengku Razaleigh Hamzah pernah memberikan sumbangan seumpama ini (walaupun beliau adalah arkitek yang telah menghancurkan kerajaan PAS Kelantan dahulu), beliau diterima sehingga akhirnya PAS berjaya menawan kembali Kelantan. Begitu juga DSAI (yang pernah mengecewakan PAS ketika menyertai Umno dan kemudian bertembung secara langsung dengan PAS atas pentas politik Umno) pernah memberikan sumbangan sehingga PAS berjaya menawan Terengganu dalam PRU 1999, dan kini sedang terus menyumbang.

Mungkin Tun juga berhak untuk menyumbang jika beliau mahu menyumbang, semua kita seharusnya berjiwa besar dalam hal ini sebagaimana kita berjiwa besar semasa menerima Ku Li dan terus berjiwa besar bersama DSAI kini.

Memang kita perlu berhati-hati, memang kita perlu bijak membaca suasana (sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor sebelum ini). Namun yang pentingnya kita berusaha dan sentiasa membuka ruang dan peluang.

Saya masih ingat Almarhum Tunku dahulu yang pernah dikritik oleh pembangkang semasa beliau PM (terlibat dalam menangkap Almarhum Dr Burhanuddin dan ramai pimpinan PAS dan pembangkang lain), semasa wujudnya pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (PAS dan 46) pernah berceramah atas pentas PAS semasa PAS di bawah pimpinan Almarhum Tuan Hj Yusof Rawa.

Mungkinkah Tun juga akan sampai ke peringkat begitu, wallahualam.

(rakaman dailog ini disiarkan di http://wtv8.tv)

No comments: