Umno tetap bergelora walaupun pemilihan ditangguhkan
Umno kini dalam musim mengadakan mesyuarat agung bahagian masing-masing. Tahun ini tiada pemilihan kerana pemilihan yang sepatutnya diadakan tahun ini ditangguhkan kerana kononnya mahu menghadapi pilihanraya umum. Dalam erti kata lain jika Umno mengadakan juga pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini (sebagaimana PAS dan PKR, kecuali DAP yang ikut jejak Umno) berkemungkinan ianya akan menganggu kelancaran jentera pilihanraya Umno. Bila jentera Umno kacau maka seluruh jentera BN juga nanti akan turut kacau.
Kerana itu atas kebijaksanaan Presiden dan MT Umno maka ditundalah pemilihan itu, walaupun sepatutnya pemilihan pucuk pimpinan adalah merupakan asas kepada pembentukan sebuah parti yang demokratik. (Benarlah Ku Li pernah berkata bahawa sudah tidak ada demokrasi dalam Umno).
Kalau kita perhatikan majlis-majlis peresmian mesyuarat-mesyuarat agung Umno kebelakangan ini, Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak khususnya sering membangktikan masalah dalaman partinya yang berkaitan dengan perebatan kuasa, politik wang dan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.Inilah penyakit lumrah yang akan menjadi wabak apabila sahaja Umno mengadakan pemilihan peringkat partinya.
Malah dalam tahun-tahun tiada pemilihan inipun berlaku juga perebutan iaitu untuk dipilih menjadi perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung nanti. Sehinggakan bekas PM Tun Dr Mahathir baru-baru ini mengisytiharkan tidak mahu bertanding untuk menjadi perwakilan bahagian Kubang Pasu kerana sudah tidak yakin dengan pengurusan parti itu diperingkat bahagian. (Dalam cubaannya untuk menjadi perwakilan tahun lepas Tun Dr M mendakwa ada pihak menggunakan politik wang untuk menghalang beliau dari dipilih).
Dalam pada mahu mengelakkan masalah (dengan menunda pemilihannya tahun ini) cakap-cakap tentang pemilihan tahun hadapan sudah pun bermula dalam kelambu Umno. Hisahmuddin Tun Hussien dikatakan akan bertanding Naib Presiden dan melepaskan kerusi Ketua Pemudanya. Siapa pula akan jadi mangsa kalau Hishamuddin naik ke atas (antara Naib-naib yang ada)? Bila kosong pula kerusi nombor satu pemuda, sudah tentu yang di bawahnya akan menyusun gerak untuk naik. Menantu Presiden sudah pasti selaku orang nombir dua akan merasakan dirinyalah yang paling layak (walaupun sebenarnya beliau menang percuma kerusi nombor dua kerana semua yang mahu bertnading jawatan itu melarikan diri apabila mendengar menantu Presiden mahukan jawatan itu).
Sebelum ini kita sudah membaca bahawa anak bekas Presiden iaitu Mukriz Mahathir dikatakan akan mencuba nasibnya untuk jawatan tertinggi Pemuda Umno itu. Jika ini berlaku maka pemilihan tahu hadapan akan melihat pertembungan terhebat dalams ejarah Umno!
Pemilihannya tahun hadapan, tetapi gawat dan gegak gempitanya sudah bermula seawal pertengahan 2007, itulah Umno. Memang kasihan, bayangkan jika diteruskan juga pemilihan tahun ini, pasti parti Melayu terbesar dalam negara itu akan melihat pecah-belah dan porak peranda skala terbesar berlaku lagi dalam partinya.
Bermakna pilihanraya umum akan mendahului pemilihan Umno. Ramai yang dalam Umno tidak berpuas hati, sebab ini memberikan kuasa besar kepada Presiden untuk membuat pemilihan sendiri calon-calon Umno dan tidak lagi bersandar kepada kemahuan pimpinan dan ahli-ahli bahagian yang dicerminkan melalui barisan kepimpinan yang mereka pilih sendiri.
Sudah tentulah Presiden dan mereka yang dikeliling-kelalangnya akan memilih calon-calon yang mereka rasakan selesa dengan mereka dan telah berjasa kepada mereka. Gugurlah orang-orang yang taat setia pada bekas Presiden, gugurlah orang Ku Li, dan gugurlah ramai lagi. Tetapi mereka yang gugur ini tidak dapat bersuara lagi kerana demokrasi dalam Umno sudah ditunda kepada waktu yang selesa buat Presidennya.
Kerana itulah barangkali dimana sahaja Najib pergi kebelakangan ini beliau meminta agar ahli-ahli dan pimpinan peringkat bahagian agar kembali ke semangat perjuangan Umno yang asal, yang tidak ada politik wang, tidak ada cantas-mencatas dan berebut jawatan. Mungkinkah Najib dan orang-orangnya juga bakal masuk ke dalam senarai yang akan gugur juga?
No comments:
Post a Comment