Monday, July 02, 2007

Isu WPI: Opera Cina dan Bangsawan Melayu

Gempar juga bila baca berita Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew yang mengeluarkan kenyataan melalui Berita Harian Singapuran berkenaan Wilayah Pembangunan Iskandar WPI di Johor. Kononnya Lee menasihatkan para pelabur Singapura agar jangan mengharapkan layanan istimewa dari kerajaan Malaysia. Kononnya Lee menasihatkan agar mereka menyemak semula kehadiran mereka di sana kerana Umno khasnya Umno Johor tidak berpuas-hati dengan mereka.

Akhbar-akhbar tempatan menghabiskan ruangan masing-masing dengan jawapan dari TPM Najib Tun Razak, reaksi Hishamuddin Tun Hussien (yang tidak relevan pun saya kira), kenyataan Menteri Luar Syed Hamid dan lain-lain.

Ia seolah-olah menggambarkan Singapura mula tidak selesa dengan WPI, ia seolah menggambarkan kerajaan Malaysia mengulangi yang WPI tidak akan dikuasai Singapura.


Bagi saya (saya mungkin salah) ini semua drama, sandiwara disiang hari antara Umno dan Kuan Yew. Yang sebenarnya memang banyak rungutan dan sungutan dibangkitkan tentang penyertaan Singapura dalam WPI. Bukan hanya dari kalangan Umno malah para pengusaha dan pelabur tempatan juga seakan tidak berpuas hati. Dominsai Singapura dikatakan begitu kental hasil dari bantuan pihak-pihak tertentu yang bernaung di bawah baying-bayang Putrajaya.

Lalu untuk menunjukkan pada dunia khasnya dunia Melayu bahawa kononnya pimpinan Umno tidak beri pun layanan istimewa terhadap Singapura, maka diambil pelakon veteran, Kuan Yew, untuk memulakan sandiria opera Cinanya, melalui pula akhbar berbahasa Melayu iaitu Berita Harian Singapura.

Yang lucunya bila tiba giliran Najib untuk naik pentas, kata Najib dia baca laporan dari akhbar Cina, takkanlah Berita Harian Singapura tidak sampai ke meja SU Akhbarnya sehingga perlu beliau menelaah akhbar Cina?

Skrip Najib berbunyi setelah mendapat tahu dari laporan akhbar Cina itu saya telah menelefon MB Johor untuk bertanyakan apakah benar Umno Johor membantah isu WPI ini, dan MB Johor kata tidak, malah mereka menyokong padu kerana itu merupakan hasrat Pak Lah!

Nampak semacam Najib tidak yakin pada Ketua Perhubungannya sehingga perlu menelefon beliau untuk mengetahui sikap Umno Johor, sejak bila pula Umno negeri berani menentang keputusan kerajaan Pusat?

Kalau benar kenyataan Kuan Yew itu merupakan satu ancaman, mengapa Pemuda Umno contohnya tidak mengambil sikap yang lebih keras (tak perlulah sampai mahu basahkan keris mereka dengan darah Kuan Yew), mengapa kenyataan Najib dan Syed Hamid langsung tidak terasa sengatannya?

Sedap juga tengok opera Cina yang dipentaskan bersekali dengan bangsawan Melayu. Cuma yang orang tidak sedar pelabur dan penyangak Singapura telah dalam diam-diam menakluki WPI, maka dialog bangsawan Melayu berbunyi (meminjam dialog soldadu-saoldadu yang mengiringi si Luncai) Biarkan, biarkan!

No comments: